Mungkin jika dilihat pada konteks hari ini, gelaran "Haji" ini nampak seperti murah dan tidak ada nilai tinggi atau biasa-biasa sahaja.
Namun, cuba bayangkan kalau kita hidup pada zaman pergi haji, perlu naik kapal laut dan tidak ada kapal terbang. Pelayaran ke sana jika pergi sahaja memakan masa berbulan-bulan. Kalau kapal canggih sedikit, mungkin jadi beberapa hari sahaja. Itu belum lagi balik. Itu pun tidak dapat berhubung dengan keluarga atau kenalan di kampung halaman kerana ketiadaan alat komunikasi yang maju seperti sekarang.
Malah, kalau Allah kehendaki, mungkin sahaja hamba-Nya dalam perjalanan pergi atau balik diwafatkan dan disemadikan di laut sebelum sempat sampai ke tanah suci atau kembali ke tanah air menemukan rumah yang dinantikan dan keluarga yang tercinta.
Zaman itu pula tidak ada Tabung Haji untuk muslimin buat simpanan sehingga cukup dananya. Untuk pergi haji, sampai perlu gadai tanah, jual ternakan dan jual semua pemilikan semata-mata sama ada barang kemas atau barang berharga untuk menjayakan ibadah ke tanah suci yang sementara dengan tanggungan kos yang mahal.
Bayangkan orang yang telah berjaya melaksanakannya dengan sempurna, pulang dengan selamat walaupun sebahagian rakan pelayaran meninggal dunia dalam perjalanan atau di tanah suci dan balik dalam keadaan serba dhaif kerana habis duit yang banyak untuk ekspidisi ibadah haji. Tidakkah kita akan nampak gelaran "Haji" atau "Hajjah" ini sangat tinggi dan bermakna sekali, bahkan mahal harganya yang tidak didapati oleh rata-rata orang ketika itu?
Saya tidak tahu kalau zaman ini masih relevan atau tidak meletakkan gelaran "Haji" atau "Hajjah" di belakang. Cuma, yang penting adalah apabila kita menyorot kembali pada masa lalu, kita akan nampak nilai yang besar pada gelaran itu.
P/S : Gambar sejarah haji menunjukkan suasana di pelabuhan Port Swettenham ketika jemaah berangkat menaiki kapal laut untuk ke Makkah.
No comments:
Post a Comment