Mungkin juga sebahagian orang masih kabur bagaimana peri pentingnya penguasaan bahasa Arab. Izinkan saya ambil kesempatan ini untuk mengongsikannya.
Gambar yang saya ambil ini adalah piscisan dariapda perbahasan dalam ilmu usul fiqh dalam bab al-Amr, iaitu perintah. Bagi yang tidak tahu bahasa Arab, pasti dia akan tersangkut untuk memahami perbahasan seperti ini. Dalam usul fiqh juga ada membahaskan praktik kemahiran bahasa Arab seperti an-Nahy (larangan), lafaz am dan khas. Ini boleh dikatakan merangkumi 1/4 dalam tema pembelajaran ilmu usul fiqh.
Itu belum lagi jika kita membaca tesis atau jurnal atau kertas kajian atau kitab yang mengkhususkan kajian secara terperinci dalam sesuatu bab. Pasti akan melihat bagaimana pentingnya penguasaan bahasa Arab supaya pembaca boleh mengikuti aliran kupasan dan perbincangan.
Jika sesiapa yang tidak mahir dalam usul fiqh, dia tidak terbekal dengan ilmu alat bagi penafsiran teks-teks agama dan metodologi sistematik dalam pemikiran fiqh. Sesiapa yang ada kemahiran ilmu ini, maka peluang untuk sampai ke tahap mujtahid terbentang. Sesiapa yang tidak ada kemahiran ilmu ini, maka jurang antara sang ʿālim dan awam masih nampak pemisah jelasnya.
Cukuplah contoh daripada gambar ini menunjukkan bagaimana jelas pemisahnya. Bagi yang tidak memahami bahasa Arab, jika dibentangkan ayat-ayat al-Quran, kemudian ditanya yang mana satu daripadanya lafaz perintah, pasti jelas antara dua darjat.
Sekarang, untuk yang bergelar ustaz, tetapi tidak ada kemahiran bahasa Arab. Bagaimana agaknya jika mereka semua ini sedar hakikat bahawa mereka sama-sama seperti sang awam yang apabila dibentangkan ayat al-Quran, masing-masing tidak mampu mengambil istifādah daripada bahasa Arab tersebut?
Sebab itu saya sangat setuju bahawa panggilan ustaz atau ustazah ini layak untuk mereka yang ada kemahiran bahasa Arab. Sebab itu juga saya sangat setuju apabila ustaz Nasaie Hanaffie berkata bahawa selagimana tidak ada penguasaan Arab, selagi itu dia sama seperti orang awam.
Bukanlah saya ingin kata bahawa tahap pendakwah kita sama dengan orang yang tidak pernah belajar langsung. Mereka mungkin masih di tahap awam, tetapi mereka berada di tahap awam yang tinggi. Jika yang menguasai bahasa Arab pun ada beza darjat antara sang mujtahid dan yang bukan mujtahid, sudah tentu lagi orang awam juga ada tahap yang berbeza.
Apapun, sekarang ini, kemahiran ilmu alat penting ini tidak ada disebabkan kejahilan bahasa Arab. Lihat apa yang disebutkan Taqiyuddīn as-Subkiyy :
فإن الإصوليين دققوا في فهم أشياء من كلام العرب لم يصل إليها النحاة ولا اللغويون
"Sesungguhnya ahli usul meneliti pada kefahaman sesuatu yang terdiri daripada kalam Arab yang tidak para ahli nahu dan bahasa sampai kepadanya". (Al-Ibhāj Fī Šharḥ al-Minhāj, jilid 1, m/s 7).
Sekarang, apabila usul fiqh sangat mementingkan bahasa Arab, maka pelajarilah bahasa Arab terlebih dahulu jika benar ingin menjadi sang ʿālim lagi faqih. Ingat! Ilmu usul fiqh adalah ilmu yang paling krusial dan vital untuk seseorang menjadi ʿālim lagi faqih, malah untuk menjadi mujtahid.
Kadangkala, sangat menghairankan ada orang mahu mendalami kitab yang kalau kita dengar judulnya dan nama penulisnya, cukup membuatkan seluruh kulit kita menggeletar dan mulut kita terngaga dan terkelu lidah.
Namun, apabila ditanya tentang bahasa Arab, mesti kita jumpa jawapan yang berbentuk dalih atau nampak seperti tidak ada minat yang kuat atau meletakkannya sebagai keutamaan. "Bahasa Arab susah! Serabut kepala aku dengan macam-macam!".
Apa pun alasan untuk tidak mahu mempelajari bahasa Arab sebagai keutamaan yang tertinggi, cubalah jamin kepada semua orang bahawa kamu boleh memahami perbahasan an-Nahy, al-Amr, al-Ām dan al-Kẖōṣ tanpa memahami bahasa Arab dan jamin bahawa kamu boleh aplikasikan kefahaman itu tanpa bekalan bahasa Arab apabila membaca teks-teks agama, iaitu al-Quran dan hadis.
Percayalah bahawa tanpa bahasa Arab, banyak tempat akan menemukan kesangkutan apabila mereka tidak mahu mempelajari bahasa Arab. Selagimana enggan untuk mendalami bahasa Arab, ikut tertib walau bagaimana sekalipun, ia tidak akan mendapat nilai istifādah yang sama sepertimana orang yang terisi dadanya dengan bahasa Arab.
Berakut-rakit dahulu, bersenang-senang kemudian. Biar kepala kita pecah sebab belajar bahasa Arab. Mereka yang mahu langkau bahasa Arab, pasti akan disadai kebingungan yang lebih teruk apabila melangkah ilmu yang berhajatkan penguasaan bahasa Arab.
Apabila belajar bahasa Arab, baru ilmu yang baru akan ditarik dan digapai dengan pantas. Mudah-mudahan sedemikian.
Bagi mereka yang masih belum ada kemahiran bahasa Arab, saya mendoakan agar tercapai hajat untuk menggapai kefaqihan yang dijanjikan kebaikan dari Allah. Bagi yang telah menguasai bahasa Arab, mudah-mudahan kita berada di atas jalan kebenaran, istiqamah di dalamnya dan sentiasa dibimbing serta dirahmati di dunia dan di akhirat.
No comments:
Post a Comment