Sudah ada usaha penterjemahan hadis 40 dari al-Imām an-Nawawiyy ke dalam bahasa Cina dan Tamil.
Cuma, dalam banyak hadis 40 dari al-Imām an-Nawawiyy yang menjadi pertikaian, rasanya hadis ini akan mencetuskan lagi bara api.أُمِرْتُ أَن أُقاتِلَ النَّاسَ حَتَّى يَشْهَدُوا أَن لا إِلهَ إِلاَّ اللَّه وأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ، ويُقِيمُوا الصَّلاةَ، وَيُؤْتُوا الزَّكاةَ، فَإِذا فَعَلوا ذلكَ، عَصَمُوا مِنِّي دِمَاءَهُمْ وأَمْوَالَهم إِلاَّ بحَقِّ الإِسلامِ، وحِسابُهُمْ عَلى اللَّهِ
"Aku diperintahkan untuk memerangi manusia sehingga mereka bersaksi bahawa tiada tuhan selain Allah, Muḥammad itu utusan Allah, mereka menunaikan solat dan melaksanakan zakat. Apabila mereka melakukan itu, mereka memelihara darah mereka dan harta mereka daripadaku kecuali dengan hak Islam dan perkiraan terhadap mereka terserah kepada Allah".
Justeru, sebelum ia akan menjadi polemik ketika sampai penterjemahan hadis ini, lebih baik saya respons awal-awal.
Pelik juga kadangkala sebahagian mentaliti yang apabila disebut perang sahaja, mesti dianggap ekstrimis dan keganasan. Sifir mereka perang adalah ekstrimis dan keganasan.
Lihatlah sejarah. Pernahkah ada suatu bangsa, wilayah, negara dan empayar akan bertahan lama tanpa perang? Anda yakin bangsa anda dan negara anda boleh nikmati kehidupan sekarang tanpa perang atau persediaan untuk perang?
Perang sememangnya terjustifikasi untuk ketahanan dan survival bangsa, wilayah, negara dan empayar. Bukan semua selesai dengan bincang dan berdiplomatik sahaja. Cuma, cara setiap manusia menjalankan peperangan itu adalah perbincangan yang lain.
Apapun, perang dalam Islam pun ada etika kalau pun perlu untuk berperang. Anda membaca hadis-hadis tentang perang tanpa lihat pula bagaimana hadis pada etika tentang perang dan memerhati falsafah ihsan dalam Islam, sememangnya anda hanya akan menemukan ekstrimis dan keganasan.
Anda pun sebenarnya sama sahaja dengan cara ekstrimis muslim yang anda selalu kutuk dalam memandang hadis. Anda dan mereka sama-sama lihat pada ayat al-Quran dan hadis hanya pada aspek perang sahaja.
Yang membezakannya adalah kelompok sana menjadi ekstrimis dan anda pula menjadi mata yang memandang dengan prejudis terhadap umat Islam. Punca anda dan mereka adalah sama sahaja dalam cara melihat kedua-dua sumber.
"Eh? Tengok hadis itu. Muḥammad sebut memerangi manusia sehinggalah manusia sampai ikut katanya".
Bahkan, anda sendiri pun akan perang dengan negara lain kerana tidak menerima demokrasi atau mungkin ideologi "woke" anda dan anda tidak akan berhenti sampai mereka terima demokrasi dan tunduk dengan ideologi "woke" anda. Tidakkah begitu?
Anda tahu negara lain menjadi lubuk ancaman dan mereka sampai bila-bila berdegil untuk tidak mahu ke meja rundingan serta berkeras untuk melawan tanpa mengira mereka membahayakan anda atau tidak. Anda rasa sememangnya wajar duduk dan tunggu serang wilayah, robohkan bangunan, bunuh orang awam dan hancurkan penempatan di situ?
Kemudian, kalau anda berjaya kekang kemaraan musuh, anda tidak mahu meneruskan kemaraaan tentera anda untuk menghapuskan akar ancaman negara anda dan duduk bersandar di sofa sambil berharap keajaiban agar musuh berubah fikiran dan tiba-tiba tunduk kepada anda?
Realistiklah. Lebih-lebih lagi jika anda jadi mangsa kepada serangan pertama dalam peperangan. Atau sekurang-kurangnya jika anda tahu negara sebelah anda sememangnya membahayakan nyawa rakyat anda dan kemakmuran yang anda nikmati.
Anda tahu negara sebelah anda komunis dan ia mengancam negara anda. Apakah anda yang demokratik akan berdiam diri dan tidak usaha bersungguh-sungguh memerangi mereka sehingga mereka meninggalkan komunisme?
"Tengok. Ada sahaja yang muslim ekstrim sehingga membunuh orang awam atas sebab tidak ikut ideologi Islam mereka!".
Kelakar cara pertikaian ini. Kalau hakim dan peguam buat kesalahan undang-undang, adakah undang-undang itu sendiri secara automatiknya adalah salah?
No comments:
Post a Comment