Tuesday, 5 September 2023

Ar-Robīʿ Bin Sulaymān al-Murōdiyy : Pelajar Yang Lambat Faham, Tetapi Menjadi Murid Yang Paling Kanan Kepada al-Imām ašh-Šhāfiʿiyy Dan Orang Yang Penting Dalam Periwayatannya Daripada al-Imām ašh-Šhāfiʿiyy


Tanpa ar-Robīʿ Bin Sulaymān al-Murōdiyy, hampir kesemua kitab yang penting daripada al-Imām ašh-Šhāfiʿiyy seperti al-Umm dan ar-Risālah pasti tidak akan sampai ke tangan kita pada hari ini. Jika kita membaca karya al-Imām ašh-Šhāfiʿiyy, pasti naskhah akan tertulis: "Ar-Robīʿ Bin Sulaymān berkata". Beliaulah orang yang paling banyak meriwayatkan karya daripadanya.

Namun, sebagai pengetahuan, ar-Robīʿ Bin Sulaymān al-Murōdiyy adalah antara orang yang lambat faham.

Al-Imām Tājuddīn as-Subkiyy menukilkan daripada al-Qoffāl dalam Fatāwā miliknya :

كَانَ الرّبيع بطئ الْفَهم فكرر الشافعى عَلَيْهِ مَسْأَلَة وَاحِدَة أَرْبَعِينَ مرّة فَلم يفهم وَقَامَ من الْمجْلس حَيَاء فَدَعَاهُ الشافعى فى خلْوَة وَكرر عَلَيْهِ حَتَّى فهم

Ar-Robīʿ dahulu lambat faham. Lalu, al-Imām ašh-Šhāfiʿiyy mengulangi permasalahan yang sama sehingga 40 kali. Namun, dia masih tidak faham. Dia pun bangun dalam keadaan malu. Lantas, al-Imām ašh-Šhāfiʿiyy memanggilnya untuk sesi persendirian dan dia mengulanginya sampai faham. [Ṭobaqōt ašh-Šhāfiʿiyyah al-Kubrō].

Cuba bayangkan kalau seseorang mengulangi perkara yang sama sehingga 40 kali, tetapi masih tidak faham. Secara normalnya, kita sebagai guru pun akan sakit kepala dengan pelajar ini dan murid yang lain pun akan memandang betapa bengongnya pelajar ini.

Akan tetapi, berkat kesabaran al-Imām ašh-Šhāfiʿiyy melayaninya dan berbakti dengan muridnya yang bersungguh-sungguh untuk belajar dengannya, ar-Robīʿ menjadi murid kesayangannya, paling setia kepadanya dan murid paling penting baginya.

Al-Imām Tājuddīn as-Subkiyy berkata :

وَكَانَ يقْرَأ بالألحان وَكَانَ الشافعى يُحِبهُ وَقَالَ لَهُ يَوْمًا مَا أحبك إِلَى وَقَالَ مَا خدمنى أحد قطّ مَا خدمنى الرّبيع بن سُلَيْمَان. وَقَالَ لَهُ يَوْمًا يَا ربيع لَو أمكننى أَن أطعمك الْعلم لأطعمتك

Dahulu dia selalu membaca dengan lahn*. Dahulu ašh-Šhāfiʿiyy mencintainya. Dia berkata kepadanya pada suatu hari: "Betapa aku mencintai engkau". Dia berkata: "Tidak ada seseorang sama sekali pun yang berkhidmat kepadaku dengan apa yang ar-Robīʿ bin Sulaymān berkhidmat kepadaku". Dia berkata: "Wahai Robīʿ! Kalaulah aku mampu untuk memberi kamu makan ilmu, pasti aku akan memberi kamu makan!". [Ṭobaqōt ašh-Šhāfiʿiyyah al-Kubrō].

Pengajaran kepada pengajar, guru atau cikgu, bersabar dan raikan pelajar yang lambat faham, lebih-lebih lagi dia tidak mengalah dan setia untuk terus belajar. Jangan sisihkan dia hanya kerana lambat berbanding pelajar lain. Barangkali dia mungkin sahaja akan menjadi murid yang paling penting untuk kita, paling kita sayangi dan paling kanan dalam sekalian murid yang kita ada.

Cuba bayangkan kalau al-Imām ašh-Šhāfiʿiyy tidak mahu melayaninya, mengejeknya sebagai lembab dan ketinggalan berbanding pelajar yang lain. Kita sendiri pun tidak akan kenal kadar pengetahuan al-Imām ašh-Šhāfiʿiyy tanpa periwayatan kitabnya daripada ar-Robīʿ.

Pengajaran kepada pelajar adalah menuntut ilmu adakalanya ambil masa untuk faham dan kesetiaan yang berpanjangan. Ar-Robīʿ menjadi unggul kerana kekal terus setia mendengar penjelasan sehingga 40 kali dan setia dengan kelas-kelas al-Imām ašh-Šhāfiʿiyy. Beliau tidak mengalah dan terus berdamping dengan gurunya.

Memang adakalanya kita malu kerana kita lambat berbanding pelajar lain atau masih tidak faham sekalipun sudah diterangkan sehingga 40 kali untuk permasalahan yang lama. Namun, guru yang tetap komitmen untuk berbakti kepada muridnya yang setia akan membantunya dan menyampaikannya kepada kefahaman.

Sebagai pengajar, raikan kepelbagaian pelajar. Laju apabila perlu laju dan perlahan apabila perlu perlahan.

Di saat sistem pendidikan sekolah hanya melayan kepada "purata" tahap pencapaian pelajar, bukan melihat secara individu menyebabkan pelajar yang di luar "purata" dari kalangan yang bukan bijak pandai akan diketepikan dan dikucilkan kerana mencantikkan statistik dan orang atasan yang tidak pernah atau sedikit terbabit secara langsung dalam pengajaran.

Pendidikan adalah bukan untuk "purata". Tetapi, untuk semua orang yang ingin belajar dan setia dengannya. Kalaulah al-Imām ašh-Šhāfiʿiyy hanya melayani "purata" sahaja, sudah tentu ar-Robīʿ bin Sulaymān hanyalah habuk yang tidak ada apa-apa untuk dicartakan dalam senarai statistik atau sekadar menjadi sampel kes kepada pelajar yang keciciran dan gagal.

*Tersalah dalam tatabahasa Arab.

No comments:

Post a Comment