Tuesday, 5 September 2023

Mengutuk dan menyindir yang lain, tetapi diri sendiri pun tiada kualiti atau tiada usaha untuk peningkatan prestasi diri.

Mengutuk dan menyindir yang lain, tetapi diri sendiri pun tiada kualiti atau tiada usaha untuk peningkatan prestasi diri.

Kita lihat kutukan dan sindirian terhadap PAS sebagai contoh.

Sepanjang masa kutuk dan sindir PAS dengan kolot, jumud, kuno dan sempit. Yang mengutuk dan menyindir pula cuba menonjolkan diri untuk membawa alternatif kepada naratif politik dalam Islam atau pandang alam Islam itu sendiri, tetapi bahasa Arab pun tidak tahu apa. Apatah lagi untuk merujuk sumber primer dan rujukan yang berautoriti yang bermerit tinggi.

Sekurang-kurangnya, ahli PAS juga ramai barisan yang mahir bahasa Arab dan ada latar belakang pengajian agama yang mantap. Kalau disebutkan nama-nama yang menjadi sumber paling dasar dan sentral dalam tema politik atau selainnya, dengan izin Allah, mereka tahu atau cakna.

Yang mengutuk dan menyindir? Hanya tahu judul buku bahasa Melayu dan bahasa Inggeris atau nama kitab Arab yang tidak pernah ditelaah pun kerana tidak tahu bahasa Arab!

Faham PAS kepada persimpangan yang lain atau tidak, itu adalah soal kedua. Soal yang utama adalah apa yang mampu anda tonjolkan untuk menjadi penyeimbang, opposisi yang bermerit dan alterantif pilihan?

Kalau mahu bahawa pemahaman yang bertemakan antitesis atau bersifat alternatif, posisikanlah setara dahulu. Orang akan mempersoalkan kedudukan anda kerana anda dilihat sebagai orang yang lebih jitu kefahamannya daripada mereka yang telah senior dalam pengajian Islam.

Jika tidak ada sijil dari mana-mana institusi rasmi pun, tunjukkanlah apa kemampuan yang paling asas untuk menunjukkan pendapat anda ada merit untuk diambil kira. Kalau bahasa Arab pun usah kata lemah, satu habuk pun tidak tahu, lebih baik sibukkan diri belajar bahasa Arab dan tidak perlu menyibuk hal orang lain sambil mengangkat diri sebagai hero yang paling faham tentang Islam.

Yang mengutuk dan menyindir tidak semestinya lebih pandai daripada yang dikutuk dan disindir. Anda boleh londehkan aib orang lain. Namun, diri sendiri bagaimana? Mantapkanlah diri sendiri dahulu sebelum ingin cuba memantapkan orang ramai dan membetulkan parti lain.

Kalau PAS itu jumud, kolot, kuno dan sempit, anda bagaimana? Jahil murakkab, berlagak pandai dan perasan bagus. Bahkan, sama sahaja jumud, kolot, kuno dan sempit kerana masih di takuk yang sama. Hari-hari kutuk pemahaman Islam orang lain, tetapi masih tidak ada progres dalam pembelajaran yang sewajarnya bagi seorang yang berminda faqih, iaitu sekurang-kurangnya ada asas bahasa Arab.

Kalau PAS itu adalah parti menunggang agama untuk kepentingan politik, anda bagaimana? Anda pun adalah si jahil yang cari peluang dengan agama untuk kepentingan melawan PAS dan melagak satria sebagai penjuang kefahaman agama yang benar.

Itu belum lagi ada ustaz dalam parti itu luahkan rasa kecewa bahawa parti itu langsung tidak minat untuk memperkasakan pengajian agama dalam parti. Tidak malukah ingin menjadi pengutuk sebuah parti Islam yang lain, tetapi parti sendiri sangat mengabaikan pengajian Islam?

Nota : Jangan kata aku ini walaun pula. Banyak meme aku buat untuk membahan PAS. Cuma, aku sakit hati dengan orang perasan paling pandai dalam siasah Islam atau bab keagamaan yang suka kutuk parti lain, tetapi kualiti tahap pendidikan dalam agama jauh lebih teruk daripada senior PAS.

-----------

Begitu juga sebahagian kutukan terhadap Nāṣiruddīn al-Albāniyy. Jangan salah sangka saya membelanya atau mendukung fahamannya. Saya sendiri tidak berpegang kepada penilaian hadisnya, bahkan saya langsung tidak percaya penilaian hadisnya, khususnya dalam bab penilaian sahih. Dalam isu fiqh pun, saya langsung tidak ada minat dan tidak ada peduli tentangnya.

Cuma, adakalanya, agak menjengkelkan apabila melihat seseorang itu sepanjang masa mengutuknya seolah-olah lebih mahir tentang ilmu hadis daripadanya dengan pelbagai kutukan. Namun, dia sendiri pun tidak tahu bahasa Arab. Jauh lagi untuk yakin dia pernah membuka kitab al-Jarḥ Wa at-Taʿdīl dan bergelumang dalam kajian hadis secara praktikal.

Apa sebenarnya mereka ingin menampilkan? Mereka ingin menampilkan kefahaman alterantif yang terbaik untuk diikuti, tetapi apa yang mereka dapat tawarkan? Bahasa Arab pun langsung tidak ambil peduli untuk dimajukan. Apabila diajak untuk belajar, selalu sahaja beralasan ia adalah susah, tidak ada masa, sibuk dengan pelbagai perkara dan lain-lain!

Kalaulah saya tidak keterlaluan, saya katakan bahawa sesiapa yang tidak pernah belajar bahasa Arab, tiada usaha untuk memantapkannya terlebih dahulu dan tidak menjadikan ia prioriti lebih daripada ilmu yang lain, usah bersembang tentang diri itu sebagai penuntut ilmu, jauh lagi untuk dipanggil seorang faqih.

Kalau sebegini kelompongan, compang-camping dan kekurangan diri yang sungguh menghinakan bagi yang sedar diri, mengapa masih sibuk ingin menyandang panglima kepada orang sekeliling dan cuba menampilkan bahawa dialah yang paling faham tentang agama dan paling benar dalam kefahaman?

Kita lihat bagaimana tanggapan seteru kepada al-Albāniyy sendiri; al-Ḥāfiẓ Aḥmad bin Muḥammad bin aṣ-Ṣiddīq al-Ġhumāriyy :

وناصر الدين الألباني قدم إلى دمشق وهو لا يعرف العربية ، فتعلمها وأقبل على علم الحديث فأتقنه جداً جداً ، وأعانه مكتبة الظاهرة المشتملة على نفائس المخطوطات في الحديث ، وهو ممن رتبها بيده ، حتى أني لما زرتها في العام الماضي ، كان هو الذي يأتيني بما أطلبه ويعرفني بما فيها. ولولا مذهبه وعناده ، لكان من أفراد الزمان في معرفة الحديث ، مع أنه لا يزال فاتحاً دكان الساعات.

"Nāṣiruddīn al-Albāniyy sampai ke Damsyik dan dia tidak mengetahui bahasa Arab. Lalu, dia pun mempelajarinya dan menghadap ke arah ilmu hadis. Lantas, dia pun sangat sangat menekuninya. Maktabah aẓ-Ẓōhiroh yang mengandungi manuskrip-manuskrip berharga dalam hadis telah membantunya. Dialah antara orang yang menyusunnya dengan tangannya sehingga sesungguhnya tatkala aku menziarahinya pada tahun yang lalu, dialah yang mendatangkan dengan apa yang aku memintanya dan dia memperkenalkan aku dengan apa yang di dalamnya. Kalaulah bukan kerana mazhabnya dan perseteruannya, pasti dia termasuk dari sang alfard zaman dalam penguasaan hadis meskipun bahawasanya dia sentiasa membuka kedai jam". [Darr al-Ġommām ar-Roqīq Bi Rosāʾil ašh-Šhaykẖ as-Sayyid Aḥmad Ibn aṣ-Ṣiddīq].

Cuba tengok pula pada diri kita sendiri. Apakah kita ini berhak mendapat pujian sebagai orang asing yang mempelajari bahasa Arab, kemudian menekuni suatu ilmu dengan setekun-tekunnya, apatah lagi untuk menjadi alfard zaman oleh al-Ḥāfiẓ Aḥmad al-Ġhumāriyy? Jika sedar betapa teruknya diri, maka berhentilah ambil kerja perwira dan mulakan belajar.

Mengutuk orang lain tidak mesti menonjolkan orang itu lebih hebat dan lebih baik daripada yang dikutuk dan disindir. Jangan sebab ia rakan seperjuangan atau oranga yang sesama fikrah, lantas kita mengambil ringan tentang sikap ini.

Walaupun dari semasa rakan seperjuangan sendiri, perkara ini juga mustahak untuk diingatkan. Tanggungjawab sebagai orang yang ingin menjadi pembawa islah kepada masyarakat perlu islah diri sendiri terlebih dahulu. Kalau diri sendiri kusut-masai, kepada apa yang sebenarnya dia ingin bawa kepada masyarakat?

Ia umpama tikus membaiki labu, bahkan hanya menjadi bahan ketawa kepada orang yang menjadi seteru. Lebih teruk lagi, tujuan yang dia membilangnya sebagai mulia itu menjadi suatu kerja penghinaan kerana culas dan ambil ringan untuk belajar apa yang sewajarnya bagi seorang penuntut ilmu, apatah lagi seorang yang menonjolkan dirinya sebagai ilmuwan.

Akhirnya, dia cuba menggantikan kerosakan yang ada pada masyarakat dengan kerosakan yang lain pada dirinya sendiri dek kejahilan sendiri yang dia ambil ringan terhadapnya. Bahkan, menjadi sama-sama genus kepada orang yang dia gemar mengatakannya sebagai bodoh, jahil murakkab, celaru, dan rancu.

Kutuk orang lain dan sindir orang lain ada sokongan daripada sebahagian pihak dan orang sekeliling, tetapi ia sama sekali tidak menampilkan apa-apa keistimewaan pada diri. Ia boleh menjadi sorokan kepada kekurangan diri di balik postur dan lagak sebagai seorang wira yang lebih bagus daripada orang yang dikutuk dan disindir.

Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua. Jangan sangka sikap mengambil sambil lewa terhadap kejahilan sendiri dan culas untuk memperbaikinya tidak akan dilepaskan untuk ditonjolkan keaiban sendiri. Suatu hari nanti, orang yang berakal lagi saksama akan cakna padanya dan mengenal kebusukan pada dirinya.

No comments:

Post a Comment