Di sini, saya ada beberapa komentar pada tawaran yang saya jumpa dalam promosi kelas bahasa Arab. Saya menghasilkan artikel ini sebagai muhasabah untuk pengajar secara umum, termasuk diri saya dan sebagai panduan untuk orang yang ingin belajar bahasa Arab supaya mereka tidak terheret dengan perkara yang tidak sepatutnya mereka terheret dan cakna langkah yang mereka perlu ambil dalam mencari pengetahuan.
Dalam masa yang sama juga, ia juga menerangkan wawasan kelas bahasa Arab yang saya jalankan sekarang ini. Kalau ada orang yang berminat untuk sertai kelas saya, ini perkara yang saya akan kongsi bersama pelajar dalam kelas.
a) Kelas bahasa Arab untuk 4 kemahiran, iaitu membaca, mendengar, menulis dan bertutur.
Kelas ini mungkin sesuai untuk mereka yang ingin sambung ke negara Arab atau berpindah ke negara Arab atau ada interaksi dengan bahasa Arab seperti kerja yang rakan-rakan sekerjanya adalah orang Arab, ada pertemuan yang selalu bersama orang Arab dan lain-lain atau untuk orang yang sudah ada kemahiran bahasa Arab dalam pembacaan sebagai contoh, tetapi berkeinginan untuk memantapkan lagi kemahiran yang lain.
Cuma, untuk yang tiada keinginan untuk ke tahap itu bagaimana? Apa keperluan yang memadai untuk mereka mempelajari bahasa Arab?
Jawapannya adalah cukup dengan kemahiran membaca, bahkan ini sepatutnya yang dicapai terlebih dahulu. Kita tinjau dari beberapa aspek kenapa kemahiran pembacaan perlu menjadi keperluan utama dan sewajibnya fokus untuk penguasaan ini terlebih dahulu.
Pertama, apa kriteria paling asas untuk menentukan seseorang itu mahir bahasa Arab? Ia adalah pada sejauh mana kemampuan seseorang untuk membaca dengan i'rab yang tepat bersama analitikal sorof yang jitu.
Walaupun adakalanya pertuturan boleh menampilkan kemampuan yang telah dia pelajari, tetapi akhirnya pembacaan juga akan menjadi hakim utama sama ada seseorang itu menguasai bahasa Arab atau tidak.
Jika kurang jelas dengan fakta ini, maka lihat konteks di negara kita. Agamawan atau pelajar agama yang dinilai sebagai mahir dalam bahasa Arab akan ditinjau dari aspek kemampuan bertutur atau kemampuan pembacaan kitab sebagai kriteria pertama dan asas?
Sudah tentu pembacaan. Jika seseorang tidak mampu membaca dengan baik dan memahami teks bahasa Arab dengan sepatutnya, maka kemampuan bercakap seakan-akan tiada nilai pun bagi seorang agamawan atau pelajar yang berpengkhususan dalam agama.
Kedua, persekitaran keagamaan Islam yang meratai penjuru Malaysia sememangnya patut disyukuri. Sekarang, kita sudah melihat percambahan beberapa pengajian kuliah yang berteraskan kitab yang berbahasa Arab. Tidak semata-mata hanya dengan terjemahan.
Kita lihat mana-mana kuliah walaupun di surau sekalipun, kitab yang diajar adalah kitab bahasa Arab. Apatah lagi pengajian yang lebih serius daripada nuansa santai seperti kuliah Maghrib dan Subuh.
Maka, apa keperluan lebih utama untuk jemaah surau atau pelajar yang mempelajari kitab? Tidakkah mereka lebih berhajat untuk pembacaan supaya mereka faham teks kitab yang dijadikan silibus pengajaran dan merujuk silang beberapa rujukan lain yang berbahasa Arab untuk penyemakan fakta, penambahan pengetahuan dan perluasan kefahaman?
Interaksi guru dan murid pun bukannya dengan komunikasi bahasa Arab, tetapi dengan bahasa ibunda di tempat masing-masing. Hanya sahaja teks yang dirujuk dan dibaca di meja kuliah dalam bahasa Arab. Maka, kemahiran selain membaca seeloknya diketepikan sebentar dan fokus kepada pembacaan.
Ketiga, adakah mereka yang mempelajari bahasa Arab adalah orang yang berpengkhususan dalam agama? Kalau berpengkhususan agama, semamngnya wajib. Jika wajib pun, tidak perlu sampai ke tahap boleh mendengar, menulis dan bertutur. Cukup sepertimana yang saya terangkan tadi.
Bagaimana pula untuk mereka yang pengkhususan agama hanya sekadar pengkhususan sekunder untuk mereka? Apa tujuan orang yang bukan pengkhususan agama untuk belajar bahasa Arab? Untuk menjadikan bahasa Arab sebagai bahasa kedua atau tambahan untuk lisan mereka? Atau sebenarnya mereka ingin faham kandungan teks bahasa Arab dan mereka boleh mendalami ilmu agama dengan termudah perjalanannya berbekalkan kemahiran pembacaan?
Sebab kedua inilah yang menjadi sebab mereka yang bukan pengkhususan agama berminat untuk belajar bahasa Arab. Sepatutnya bagi para pengajar adalah didik dan latih mereka yang bersesuaian dengan kehendak mereka, bahkan kehendak mereka ini bukanlah jauh daripada keperluan semasa dan secara realitinya.
Keempat, adakah tuan guru di pondok kita yang berpengetahuan tinggi dalam ilmu agama ini mampu bertutur bahasa Arab? Jawapan graduan daripadanya adalah rata-ratanya tidak. Namun, adakah kerana mereka tidak mampu bertutur, lalu itu menjadi ketempangan dalam penguasaan bahasa Arab? Tidak! Tidak! Sama sekali tidak!
Kebanyakan yang belajar bahasa Arab di tanah air kita sebenarnya supaya mereka boleh membaca kitab demi mendalami ilmu agama dan mampu mengikuti pengajian yang berteraskan teks Arab. Tidakkah perhatian pertama yang sewajibnya diberikan adalah kemahiran pembacaan?
Kelima, setuju atau tidak bahawa kosa kata akan didapati lebih banyak dengan pembacaan? Saya pasti bahawa tidak ada mana-mana ilmuwan dalam bahasa Arab tempatan pun akan mengingkari perkara ini. Jika sedar perkara ini, sepatutnya kemahiran pembacaan lebih patut disorotkan sebagai keutamaan pertama dalam pengajaran dan pendidikan.
Kalau mereka boleh menjadi berkepakaran dalam agama tanpa perlu mahir bertutur, mengapa perlu kita terlalu fokus kepada kemahiran lain selain pembacaan atau bersama pembacaan dalam konteks tanah air kita? Jadikan kemahiran pembacaan sebagai keutamaan pertama dalam pengajaran!
Keenam, setuju atau tidak bahawa kemahiran menulis adalah cerminan kepada kemahiran pembacaan? Setuju atau tidak bahawa kemahiran bertutur adalah kerana mereka sudah biasa bagaimana pengungkapan dan penyusunan kata dalam menyampaikan isi bicara?
Saya antara yang menentang keras dengan sekeras-kerasnya terhadap para pengajar yang tamak memahukan pelajar menguasai keempat-empat sekaligus tanpa mengklasifikasikan keutamaan penguasaan yang sepatutnya diambil berat terlebih dahulu.
Akibatnya, pelajar keluar dengan penulisan atau pertuturan yang sangat jauh daripada roh bahasa Arab dan kedengaran atau kelihatan caca merba yang mana-mana orang yang sudah sebati jiwa bahasa Arab akan merasakan getik untuk mendengarnya atau melihatnya disebabkan ia sangat jauh daripada bicara orang asing yang mantap bahasa Arabnya, apa lagi orang Arab itu sendiri. Lebih kaprah lagi, pelajar tidak menguasai apa-apa langsung atau hanya semrawut pengetahuan yang tidak kemas.
Dalam bahasa Arab, adakalanya perkataan al-Jumlah al-Ismiyyah lebih sesuai digunakan berbanding al-Jumlah al-Fi'liyyah. Adakalanya, mengkehedapankan Šhibh al-Jumlah yang menjadi al-Kẖobar dan membelakangkan al-Mubtadaʾ lebih sesuai digunakan berbanding al-Mubtadaʾ terlebih dahulu.
Pelbagai lagi yang demikian dalam aspek pengungkapan. Bagaimana untuk tahu semua ini? Jawapannya adalah dengan rajin membaca dan memerhati pengungkapan orang Arab ketika menulis. Kalau tidak mahir membaca, bagaimana akan mencicipi kejiwaan ini?
Hafal seratus ribu kosa kata pun tidak ada guna apa-apa jika tidak biasa bagaimana orang Arab itu sendiri meletakkan perkataan di ayat, menyusunnya dan menyeleraskan konteks bicaranya. Orang yang hanya terus mengungkapkannya tanpa meniru terlebih dahulu akan menghasilkan kata-kata yang ganjil dan pelik di sisi penutur jatinya, bahkan mampu merosakkan makna dan kualiti jiwa bahasa itu sendiri.
Berbicara atau menulis bahasa asing perlu berfikir sepertimana orang asing itu sendiri berfikir dalam menyusun ayat, menggubah ungkapan dan menyeleraskan konteks.
Cara paling berkesan untuk mendidik ini adalah mantapkan dahulu kemahiran pembacaan, kemudian biasakan dengan pembacaan yang banyak supaya mendapat kesan daripada corak pengungkapan orang asing itu sepertimana seseorang perlu biasa dengan bau wangian sebelum menghasilkan minyak wangi sendiri. Akhirnya, orang itu sendiri akan mampu mencuba sendiri untuk menulis dan bertutur sesuai dengan apa yang diamalkan oleh orang asing.
Yang lebih mendukacitakan adalah kelas pertama atau yang awal ditekankan untuk membuat ayat dan menulis sendiri, padahal pelajar langsung tidak tahu apa itu al-Mubtadaʾ, al-Kẖobar, al-Mamnū' Min aṣ-Ṣorf, Ism al-Ma'rifah, Ism an-Nakiroh, al-Ism al-Mabniyy, al-Ism al-Mu'rob, al-Muʾannaṯs, al-Muḏzakkar dan pelbagai lagi.
Semua ini adalah aspek yang paling penting untuk diambil kira membuat ayat. Untuk membentuk ayat yang paling mudah pun seperti "أحمد كاتب" pun perlu ambil kira aspek-aspek yang disebut tadi sebagai contoh. Apa pula beza "أحمد كاتب" dan "أحمد الكاتب"? Tidakkah ada pertimbangan tatabahasa yang diambil kira?
Jangan gopoh wahai pengajar! Ajar satu persatu. Jangan benarkan pelajar membiasakan yang salah terlebih dahulu atas alasan cuba-cuba dan berlatih atau bersikap: "Biar mereka salah dahulu. Kita akan betulkan kemudian" kerana salah yang berterusan akan dianggap betul dan apabila mereka tahu ia adalah salah, sukar untuk berubah dan mereka mula merasai pertembungan antara amalannya yang lama dengan kefahamannya dengan baru.
Dalam penggunaan nombor pula, adakalanya bilangan dan yang dibilang yang dijadikan al-Iḍōfah lebih sesuai dan adakalanya dengan aṣ-Ṣifah dan al-Mawṣūf. Bahkan, dalam topik bilangan dan yang dibilang ini adalah yang paling banyak ragam untuk i'rabnya. Pelajar perlu kenal bab at-Tamyīz, kesesuaian jantina antara bilangan dengan yang dibilang dan pelbagai lagi.
Itulah sebabnya saya sangat menekankan kepada pengajar, lebih-lebih lagi untuk yang baru mengenal bahasa Arab agar fokus kepada kemahiran nahu dan sorof, seterusnya pembacaan terlebih dahulu. Jangan tergesa-gesa mendambakan pelajar mahir 4 kemahiran sekaligus secara serentak dalam pengajaran.
Untuk mahir menulis pun, seseorang perlu baca pelbagai kitab, artikel dan penulisan untuk faham dan rasai sendiri jiwa pengungkapan dan penyelerasan kosa kata dalam bahasa Arab ketika berbahasa.
Bahkan, saya sememangnya mengingatkan kepada orang ramai bahawa mana-mana pembelajaran yang tamak kepada 4 kemahiran ini sekaligs dan tidak menjadikan pembacaan sebagai keutamaan nombor satu sebelum yang lain adalah lebih patut untuk ditinggalkan dan tidak perlu sertai.
b) Faham al-Quran.
Sememangnya ini adalah matlamat utama dalam pembelajaran bahasa Arab. Banyak iklan-iklan kelas bahasa Arab mempromosikan ini dan menjadikannya sebagai janji manis dalam pengiklanan.
Cuma, ada dua perkara yang krusial yang perlu diperhatikan.
Pertama, jika faham al-Quran adalah destinasi yang terbesar, apa pula stesen-stesen yang kecil untuk para pelajar perlu sampai dan berada padanya terlebih dahulu sebelum sampai kepada matlamat?
Ingat! Belajar bahasa Arab bukan magik untuk membuatkan seseorang terus faham al-Quran. Ia adalah pembelajaran yang berperingkat. Bukan terus terbang ke langit.
Apa peringkatnya? Ini perkara yang jarang untuk ditinjau, dianalisis dan diambil perhatian. Jika tidak tahu stesen dan perhentian yang perlu dia ambil cakna untuk progres satu persatu, pelajar seolah-olah tidak pernah belajar sesuatu atau keluar dengan terpinga-pinga tanpa tahu kepentingan topik yang dia pelajari.
Selalunya, pelajar merasa kering dan terpinga-pinga disebabkan mereka tidak tahu stesen yang patut mereka tuju dan sampai. Bahkan, mereka tidak ada peta yang menjadi panduan untuk mereka berjalan. Adakalanya, pengajar mengabaikan perkara ini dalam kelas dan pembelajaran.
Saya tidak berkata tentang silibus yang mereka pelajari semata-mata. Walaupun dibentangkan kandungan pembelajaran, pelajar sebenarnya lebih patut untuk tahu adakah mereka sudah berada di stesen yang sebetulnya dan bergerak di trek yang tepat.
Faham al-Quran? Namun, sebelum faham al-Quran, apa yang patut mereka faham terlebih dahulu? Kalau bahasa Arab, apa yang mereka patut faham satu persatu supaya mereka boleh faham bahasa Arab? Mereka sekarang sudah belajar yang ini, maka adakah semakin cerah kefahaman dan rasa semakin dekat untuk kefahaman bahasa Arab? Inilah persoalan yang perlu direnungi sama ada pelajar atau pengajar.
Kedua, tidak semua orang yang mahir bahasa Arab boleh faham al-Quran secara langsung. Kefahaman al-Quran ini ada lapangan yang partikular untuk mujtahid dan ahli tafsir sama ada untuk istinbat hukum, tafsir atau tadabbur.
Apakah pelajar bahasa Arab ini mujtahid dan ahli tafsir? Tentu tidak. Mahu atau tidak, seseorang itu sememangnya wajib untuk merujuk tafsir dan menjejaki cara pertukangan para ulama dalam mendirikan tafsir.
Bagaimana seseorang itu boleh untuk telaah tafsir jika kemahiran pembacaan pun kurang dan banyak lompong, khususnya pada bahagian yang paling kritikal, mendasar dan asas? Inilah stesen yang patut para pelajar untuk tuju dan sampai terlebih dahulu. Jangan terus terbang tanpa arah dan mengikut landasan.
c) Faham al-Quran Melalui Kemahiran Bertutur
Saya pun ingin tahu juga bagaimana pedagogi pengajar yang mempromosi kelas bahasa Arab dengan cara sebegini. Walaupun ada testimoni bahawa pelajar yang mengikut serta kelas itu mendapat kefahaman, apa maksud mereka tentang faham? Saya tertanya-tanya.
d) Pengajian Dengan Kitab Klasik
Saya sudah lama memegang pendirian bahawa kitab-kitab klasik seperti Matn al-Ājurrūmiyyah, Qoṭr an-Nadā dan lain-lain adalah kitab untuk orang Arab yang ingin belajar bahasa Arab, bukan orang bukan Arab untuk belajar bahasa Arab.
Saya bersyukur pandangan saya ini selari dengan pengajar bahasa Arab lain dari negara Kanada, Dirie Ahmad dan pengasas kepada kursus bahasa Arab daripada Legacy Institute.
Ini argumen saya untuk perkara ini. Kita ambil contoh topik keempat pembelajaran Matn al-Ājurrūmiyyah tentang tanda-tanda i'rab. Antara tanda al-Majrūr adalah dengan kasrah, al-Yāʾ dan al-Fatḥah. Rata-rata orang yang sudah belajar tajwid akan kenal kasrah. Cuma, mereka akan tertanya tentang majrūr dengan al-Yāʾ.
Orang Arab sudah cakna tentang majrūr dengan al-Yāʾ dan apa konsep al-Yāʾ di situ. Bagaimana pula yang bukan Arab? Tidakkah kita perlu ajar terlebih dahulu tentang al-Muṯsannā dan Jam' as-Sālim terlebih dahulu?
Bahkan, cuba jujur pada diri sendiri. Pernahkah kitab klasik ini berjaya menerbitkan pelajar yang telah khatam kitab klasik ini yang faham bahasa Arab? Tidak pernah. Yang ada mungkin bawa balik maklumat yang tidak dimengerti apapun. Jika berjaya pun, ia adalah dengan susah payah.
Apa yang patut buat? Ajarlah cara apapun yang sampai kepada objektif kefahaman. Selepas guna cara tersendiri atau guna model pembelajaran yang semasa atau cara tersendiri, ajarilah pula kitab klasik dan barulah kitab klasik itu bermanfaat kefahamannya.
Kita ambil contoh ilmu tajwid. Adakah kita ingin mengajarkan orang yang kosong dalam ilmu tajwid dengan menggunakan kitab klasik seperti al-Muqoddimah al-Jazariyyah? Tidak! Gunalah buku bahasa Melayu atau apapun seperti buku Haji Abdul Qadir Leong. Apabila dapat membaca al-Quran dengan baik walaupun cukup kriteria untuk melepaskan diri dari fardu ain, barulah boleh diajarkan kitab klasik.
Sama juga dengan pembelajaran mazhab ašh-Šhāfi'i. Betul bahawa kitab at-Taqrīrōt as-Sadīdah Fi al-Masāʾil al-Mufīdah tidak akan membentuk aptitud dalam penguasaan mazhab ašh-Šhāfi'i. Akan tetapi, bukankah berbaloi menjadikan kitab ini untuk diajarkan supaya pelajar dapat faham terlebih dahulu hukum, syarat, rukun, beberapa permasalahan dan pelbagai lagi, lantas dengan itu, dia boleh melangkah untuk kitab yang lebih klasik?
Kita bukan sama sekali merendahkan sumbangan dan nilai besar pada kitab klasik. Yang menjadi area penumpuan kita adalah perletakan keutamaan dalam pengajaran dan pembelajaran. Kitab klasik sepatutnya hanya disajikan apabila pelajar sudah mahir dengan cara yang moden atau menggunakan modul luaran.
---------------------
Lampiran di bawah sebagai menguatkan poin yang saya utarakan.
No comments:
Post a Comment