Abū Bakr ʿAbdul Roḥmān bin Aḥmad ʿAbdullah al-Marwaziyy atau dikenali dengan al-Qoffāl aṣ-Ṣoġhīr adalah nama yang tidak asing bagi pelajar, apalagi ilmuwan daripada mazhab ašh-Šhāfiʿiyy.
Beliau disifatkan oleh Yāqūt al-Ḥamawiyy dalam Muʿjam al-Buldān sebagai salah seorang tonggak fuqaha ašh-Šhāfiʿiyyah. Seakan-akan zaman mazhab ašh-Šhāfiʿiyy tidak boleh lepas ke zaman lain melainkan perlu melalui transit daripada beliau.
Akan tetapi, pada masa dahulunya, beliau bukan seorang yang berminat dengan ilmu agama semenjak kecil sepertimana ilmuwan yang lain dan beliau juga bukanlah sama kapasiti memorinya seperti para ulama yang lain yang bermula pembelajarannya dengan gilang-gemilang pada hafalannya.
Yāqūt al-Ḥamawiyy menyebutkan memoirnya :
أن القفّال الشاشي صنع قفلا ومفتاحا وزنه دانق واحد فأعجب الناس به جدّا وسار ذكره وبلغ خبره إلى القفّال هذا فصنع قفلا مع مفتاحه وزنه طسّوج وأراه الناس فاستحسنوه ولم يشع له ذكر فقال يوما لبعض من يأنس إليه: ألا ترى كلّ شيء يفتقر إلى الحظ؟ عمل الشاشي قفلا وزنه دانق وطنّت به البلاد، وعملت أنا قفلا بمقدار ربعه ما ذكرني أحد! فقال له: إنما الذكر بالعلم لا بالأقفال، فرغب في العلم واشتغل به وقد بلغ من عمره أربعين سنة وجاء إلى شيخ من أهل مرو وعرّفه رغبته فيما رغب فيه فلقّنه أول كتاب المزني، وهو: هذا كتاب اختصرته، فرقي إلى سطحه وكرّر عليه هذه الثلاثة ألفاظ من العشاء إلى أن طلع الفجر فحملته عينه فنام ثم انتبه وقد نسيها فضاق صدره وقال: أيش أقول للشيخ؟ وخرج من بيته فقالت له امرأة من جيرانه: يا أبا بكر لقد أسهرتنا البارحة في قولك هذا كتاب اختصرته، فتلقنها منها وعاد إلى شيخه وأخبره بما كان منه، فقال له: لا يصدّنّك هذا عن الاشتغال فإنك إذا لازمت الحفظ والاشتغال صار لك عادة، فجدّ ولازم الاشتغال حتى كان منه ما كان فعاش ثمانين سنة أربعين جاهلا وأربعين عالما
Bahawasanya al-Qoffāl ašh-Šhāšhiyy[2] membikin kunci dan mangga yang timbangannya adalah seketul dānaq[3]. Orang ramai begitu kagum dengannya dan menyebar penyebutannya.
Khabarnya itu sampai kepada al-Qoffāl yang ini[3], lalu dia pun membikin mangga bersama kuncinya yang timbangannya adalah satu ṭossūj[4]. Dia memperlihatkannya kepada orang ramai. Orang ramai memandang bagus padanya, tetapi tidak tersiar penyebutan tentangnya.
Dia berkata kepada orang yang menyenanginya pada suatu hari: "Adakah kalian tidak melihat bahawa setiap sesuatu memerlukan habuan? Ašh-Šhāšhiyy membuat mangga yang timbangannya adalah sedānaq, tetapi bergema seluruh negara dengannya. Aku pula membuat mangga dengan kadar seperempat daripadanya, tetapi tiada siapa pun mengingatinya!". Orang itu berkata kepadanya: "Sebenarnya ingatan itu adalah dengan sebab ilmu, bukan sebab mangganya".
Lantas, dia pun berminat dengan ilmu dan komitmen dengannya. Dia telah pun sampai ke usia 40 tahun. Dia datang kepada seorang syeikh daripada penduduk Merv dan dia memperkenalkannya kepadanya minatnya pada apa yang dia berminat padanya. Lalu, syeikh itu mengajarinya kitab al-Muzaniyy dan ia adalah :
هَذَا كِتَابٌ اخْتَصَرْتُهُ
"Ini adalah kitab yang aku meringkaskannya"
Dia pun naik ke bumbung rumahnya dan mengulangi tiga lafaz ini dari waktu Isyak hingga ke Subuh. Lalu, matanya mula mengantuk dan dia pun tertidur.
Kemudian, dia tersedar dan dia telah terlupa akannya. Dadanya menjadi sesak dan dia berkata: "Apa yang aku ingin berkata kepada syeikh?".
Dia pun keluar dari rumahnya, lalu seorang wanita dari jirannya berkata kepadanya: "Wahai Abū Bakr! Engkau mengganggu tidur kami pada kata-kata kamu: "Ini adalah kitab yang aku meringkaskannya"". Dia pun teringat padanya.
Dia kembali kepada syeikhnya dan dia pun memberitahunya tentang apa yang jadi daripadanya. Syeikh itu berkata: "Janganlah sama sekali sampai ini menghalangimu daripada komitmen. Sesungguhnya engkau apabila engkau lazimi hafalan dan komitmen, ia menjadi biasa untukmu".
Lalu, dia pun bersungguh-sungguh dan melazimi komitmen sehingga menjadi apa yang dia menjadi daripadanya. Dia hidup 80 tahun yang 40 tahun dalam keadaan jahil dan 40 tahun dalam keadaan berilmu. [Muʿjam al-Buldān].
Daripada kisah ini dapat beberapa pengajaran penting.
Yang pertama adalah tidak ada dikira usia yang lewat untuk mula mempelajari agama atau ingin menjadi seorang yang faqih dalam agama. Selagimana nyawa dikandung badan dan masih ada kesempatan hidup, selagi itulah peluang menuntut ilmu masih terbuka.
Jangan sama sekali rasa terlambat untuk memulakannya hanya kerana melihat faktor usia. Sememangnya benar para ulama lain yang apabila umurnya sudah 40 tahun, mereka sudah menempa namanya di kedudukan yang gemilang.
Ambil contoh al-Imām an-Nawawiyy yang wafat pada usia 40-an. Kalaulah al-Qoffāl aṣ-Ṣoġhīr hidup sezaman dengan al-Imām an-Nawawiyy sememangnya pasti akan ada beza dari segi darjat keilmuan walaupun sebaya dari segi usia,
Cuma, kalaulah ini menjadi sebab al-Qoffāl aṣ-Ṣoġhīr untuk rasa terlambat dan tidak ada kesempatan lagi, tidaklah akan lahir tokoh lagenda bagi mazhab ašh-Šhāfiʿiyy.
Kedua, apa pun masalah pelajar sama ada lambat faham atau kurang kapasiti memori, tidak ada pengubat untuk keluar dari kemelut ini melainkan konsisten dan komitmen.
Cuba bayangkan serendah-rendah orang yang di sekeliling kita jika mengulang-ulang tiga patah perkataan dari Isyak ke Subuh, siapa sahaja yang akan mudah terlupa hanya dengan sebab tertidur? Namun, lihat apa yang terjadi al-Qoffāl aṣ-Ṣoġhīr. Kita pun jika terjumpa pelajar seperti ini, kita akan pandang teruk kepadanya.
Namun, bagaimana al-Qoffāl aṣ-Ṣoġhīr atasi masalahnya ini? Jawapannya adalah konsisten dan komitmen. Itulah yang akan membezakan pelajar lain dalam menuntut ilmu.
Rata-rata kita mungkin akan mengalah kerana tidak mampu menghafal tiga patah perkataan yang telah kita mengulang-ulanginya dari Isyak hingga ke Subuh. Namun, sesiapa yang cekal dan tabah, dia pasti akan mengungguli yang lain.
Masalah pembelajaran ini juga bukan pada al-Qoffāl aṣ-Ṣoġhīr, tetapi juga pada ar-Robīʿ bin Sulaymān al-Murōdiyy yang merupakan murid kanan al-Imām ašh-Šhāfiʿiyy. Masalah pada ar-Robīʿ pula adalah lambat faham sehingga satu permasalahan yang sama yang telah dijelaskan sehingga 40 kali pun masih tidak dapat difahami.
Saya telah menceritakannya secara lanjut di sini : https://marzukamartillo.blogspot.com/2023/09/ar-robi-bin-sulayman-al-murodiyy.html
Namun, ar-Robīʿ bin Sulaymān dan al-Qoffāl aṣ-Ṣoġhīr tidak berhenti di setakat itu sahaja. Kedua-dua mereka tetap beriltizam dan konsisten sehinggalah mereka dapat apa yang mereka ingin menjadi.
Ketiga, zahir daripada cerita ini adalah motif al-Qoffāl aṣ-Ṣoġhīr untuk belajar agama adalah kerana ingin mendapatkan penyebutan orang ramai dan diiktiraf sepertimana pendahulunya, al-Qoffāl ašh-Šhāšhiyy.
Kita sebagai guru, lebih-lebih lagi guru agama akan melihat ini sebagai niat yang tidak baik dan tidak murni. Saya tidaklah berkata ini sememangnya motif sebagai al-Qoffāl aṣ-Ṣoġhīr dalam menuntut ilmu agama. -Saya berlindung daripada Allah dari menuduh buruk terhadap para ulama dan dituduh sedemikian-. Namun, kita andaikan jika ini menjadi motif sebenar bagi seseorang yang datang bertandang untuk belajar.
Namun, seyogia bagi seorang guru adalah terus menyambut minat seseorang yang hadir untuk belajar, tetapi dalam masa yang sama tidak lupa untuk mengingatkannya agar membersihkan jiwa dan menuluskan niat dalam menuntut ilmu agama.
Kalau dari awal kita enggan memberikan ruang kepada seseorang penuntut ilmu kerana diketahui motifnya untuk kemahsyuran, barangkali dari sebab sikap kita, orang itu mungkin tidak lagi mahu mempelajari ilmu agama sama sekali.
Sepertimana yang kita maklum bahawa jika tidak dapat buat semua, maka jangan tinggal semua. Bahkan, pengislahan juga bukan mesti dengan sehari dua untuk selesai. Adakalanya, berperingkat dan memakan masa.
Sebagai pendidik, kita perlu bersabar dengan karenah pelajar yang mungkin datang untuk suatu niat yang kita tidak menyukainya. Proses pendidikan sama ada dari segi pengetahuan dan kefahaman pun ambil masa yang panjang. Apakah kita ingin mengharapkan kejernihan jiwa hanya selesai dengan seminggu sahaja?
Atas sebab itulah, guru tetap memberikan ruang kepada mereka dan dalam masa yang sama, aspek akal dan jiwa disinergikan bersama dalam pendidikan.
[1]Panggilan untuk usahawan mangga kunci.
[2]Sebelum al-Qoffāl aṣ-Ṣoġhīr, ada juga yang dikenali dengan Qoffāl. Beliau adalah Abū Bakr Muḥammad bin ʿAliyy bin Ismāʿīl ašh-Šhāšhiyy atau dikenali dengan al-Qoffāl al-Kabīr.
[3]Seperenam dirham.
[4]Al-Qoffāl aṣ-Ṣoġhīr yang kita sedang menceritakannya sekarang.
[5]Seperempat daripada dānaq.
No comments:
Post a Comment