Saya pun tidak tahu siapa yang menimbulkan persoalan yang tampak dilemma "pilih wanita yang menutup aurat, tetapi tidak solat atau pilih wanita yang tidak menutup aurat, tetapi solat?".
Soalan ini rasanya semua orang agamawan akan pilih lebih baik ada kedua-duanya sekali. Akan tetapi, mencetuskan soalan ini sehingga menjadi polemik dan pertengkaran antara sesama agamawan adalah keji. Rasanya kalau dilemma pun, mereka akan saksikan atau berhadapan dengan situasi, barulah mereka mengusulkan jawapan.
Tidak belajar lagikah sejarah persoalan sama ada al-Quran itu makhluk atau tidak telah memecahbelahkan umat hatta hingga imam hadis sendiri?
Al-Imām Aḥmad bin Ḥanbal pada akhir hayatnya bermasam muka dengan al-Imām Yaḥya bin Maʿīn kerana perbezaan jawapan dalam menghadapi ini walaupun kedua-duanya adalah sahabat paling erat untuk tempoh yang panjang. Al-Imām al-Bukẖōriyy akhirnya berkonflik dengan al-Imām Muḥammad bin Yaḥyā aḏz-Ḏzuhliyy kerana isu ini juga.
Mahu ulangi seperti ini pada agamawan di Malaysia?
Itu belum lagi persoalan politik "Siapakah calon yang patut menjadi pilihan? Kafir yang kompeten atau Muslim yang tidak kompeten?". Lihat pelbagai jawapan sahaja sudah menyebabkan percakaran sesama agamawan.
Bukan semua soalan patut diberi respons dan diajukan. Fikirkanlah juga impak kepada umat dan asatizah. Walaupun atas wacana ilmiah dan keterbukaan, jangan lupa tentang netizen adalah suka mengapi-apikan dan membesar-besarkan perkara.
Ditambah lagi pula seteru dari kalangan asatizah yang entah jahat atau tidak matang yang membolot kesempatan untuk menjatuhkan asatizah yang lain. Ia bagaikan ditambah kayu-kayan yang minyaknya sudah tertuang pada api.
Dosa bertanya soalan ini, lebih-lebih lagi jika memang ada niat yang tidak baik atau tidak murni sememangnya tidak tumpah bezanya dengan dosa an-Namīmah (adu domba).
Moga Allah membinasakan mereka dan menghinakan mereka yang menjadi penyebab kepada konflik keharmonian sesama asatizah untuk perkara yang remeh dan suka menjadikan pertengkaran sesama mereka sebagai drama untuk menambahkan lagi kepuakan dan segregasi.
No comments:
Post a Comment