Tuesday, 13 June 2023

Kita Dan Zaydiyyah : Sejauh Mana Kepedulian Kita Pada Ulama Ahli Bait?

 

Apabila disebut tentang tokoh ahli bait, mungkin yang terkini hanya dikenali dengan gelaran al-Ḥabīb atau nasab al-Baʿlawiyy, al-ʿAlawiyy, al-ʿAṭṭōs, as-Saqqōf dan lain-lain. Atau yang dikenali pun nama-nama keturunan al-Imām al-Ḥusayn عليهم السلام yang mana sunni berebut dengan syiah pada siapa yang imam ini berpihak seperti ʿAliyy Zayn al-ʿĀbidīn, Muḥammad al-Bāqir, Jaʿfar aṣ-Ṣōdiq, Mūsā al-Kāẓim dan ʿAliyy ar-Riḍō.

Nama-nama yang lain sudah tidak mampu disebutkan lagi siapa. Seakan-akan sedikit sangat mereka yang dari zuriat al-Imām ʿAliyy Ibn Abī Ṭōlib dan Sayyidatinā Fāṭimah رضي الله عنهما.

Padahal, lebih ramai daripada yang disangka. Cuma, kemungkinan sebab nama-nama mereka ini tidak begitu dimasyhurkan kerana ramai leluhur dari zuriat yang mulia ini adalah daripada aliran Zaydiyyah.

Jika kita membaca lembaran sejarah, ramai nama besar dari leluhur ini dari kalangannya adalah tokoh-tokoh Zaydiyyah. Bahkan, dapat dikatakan mereka yang dipanggil al-Ḥabīb atau nasab al-Baʿlawiyy, al-ʿAlawiyy, al-ʿAṭṭōs, as-Saqqōf dan lain-lain hari ini sebenarnya serpihan kecil jika dibandingkan dengan mereka dari kalangan Zaydiyyah.

Pun begitu, agak terkilan kerana nama-nama ini sangat terasing dari mata dunia walaupun dari negara Arab. Sehingga ada yang tidak percaya, bahkan mengingkari bahawa ada juga imam-imam besar dari kalangan ahli bait sebenarnya adalah Zaydiyyah, malahan lebih ramai daripada apa yang mereka mampu teroka.

Tidak menghairankan perkara ini berlaku kerana Zaydiyyah sememangnya antitesis kepada ahli sunnah. Ditambah lagi isu politik yang membabitkan siri peperangan antara daulah Umawiyyah dan ʿAbbāsiyyah dengan Yaman yang merupakan lubuk pemerintahan ahli bait dan tempat pelarian ahli bait dari luar Yaman untuk mendapatkan perlindungan disebabkan pengusiran dan buruan dari pihak autoriti di bawah dua daulah itu.

Sejarah Yaman dengan ahli bait, khususnya dari Zaydiyyah sangat panjang hingga berdekad-dekad lamanya. Jika Iran sekarang sinonim dengan syiah al-Iṯsnā ʿAšharoh atau pecahan syiah yang pelbagai yang sefikrah, maka Yaman dahulu sinonim dengan Zaydiyyah. Yaman adalah Zaydiyyah dan Zaydiyyah adalah Yaman.

Namun, apa jadi sekarang? Zaydiyyah dilupakan dan diabaikan. Tempat di mana bergemerlapan khazanah keilmuan imam-imam besar daripada ahli bait kini menjadi suram dalam iklim hiruk-pikuk dan atmosfera kemunduran yang mencemarkan bumi para ahli bait.

Susah untuk mendapatkan karya yang bercetak dari sana melainkan perlu didapatkan di sana. Tidak seperti karya dari aliran yang lain. InsyaAllah. Banyak laman sesawang yang tersedia untuk kita beli dari negara asal. Tetapi, kitab dari Zaydiyyah? Hanya PDF sahaja yang menjadi mudah untuk kita dapat.

Buku untuk kita membaca dengan menyentuh kertasnya agak susah untuk mendapatkannya. Apatah lagi kita ingin menemukan wacananya yang bersifat internasional. Sukar untuk menemukan laman sesawang yang selain bahasa Arab seperti bahasa Inggeris untuk memperkenalkan aliran ini, apatah lagi mewacanakan manhaj pemikiran mereka, menterjemahkan buku mereka dan membina pewaris di luar negara Arab atau teluk bagi menyebarkannya.

Disebabkan keterjauhan ini, Zaydiyyah sukar untuk bersaing di pentas antarabangsa yang setiap kelompok sedang berebut dominasi alirannya. Akhirnya, orang yang belajar di Yaman dan berlama-lamaan di sana tidak kenal siapa imam ahli bait Zaydiyyah yang menjadi sinaran pada negara itu pada berabad-abad lamanya pada masa lalu atau mungkin kenal hanya sepintas atau secuplikan daripadanya. Apatah lagi untuk menelaah dan meneroka turats mereka.

Malah, orang pun akan mempersoalkan atau mengingkari seingkar-ingkarnya bahawa terdapat imam ahli bait daripada Zaydiyyah. Alangkah malang mereka yang mendakwa mencintai ahli bait, tetapi mengabaikan mereka dan bersikap penidakan terhadap fakta sejarah yang hanya orang membacanya sahaja malu untuk menafikannya.

Walaupun saya bukan beraliran Zaydiyyah, tetapi perkara yang paling saya cemburu dalam Zaydiyyah adalah kerana imam dan ulama yang ternama, terkehadapan dan menjadi paksi kepada rujukan ramai daripada ahli bait yang berzuriat darah Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم yang mulia.

Bagi ahli sunnah, siapa imam yang menjadi paksi? Rata-ratanya adalah ahli bait atau bukan? Ya. Sememangnya sudah ada usaha untuk mengkaryakan ulama dari kalangan mazhab daripada setiap empat mazhab. Cuma, adakah mereka lebih tertonjol berbanding yang bukan ahli bait?

Mungkin agak berlebihan dan keterlaluan untuk saya bahawa sangat malu sebagai ahli sunnah, tetapi sangat terpencil imam-imam dari kalangan ahli bait. Nama-nama besar yang ada pun jika dikumpulkan bersama dengan yang lalin, pasti mereka ini dilingkari oleh bulatan yang besar lagi ramai dari mereka yang selain ahli bait.

Apapun, ini sebagai muhasabah untuk diri kita. Sepanjang hari mendakwa sayang ahli bait dan mengagungkannya, bahkan memperakui bahawa mereka adalah sebaik-baik keturunan berbanding manusia yang lain.

Namun, di mana nama-nama ahli bait yang menjadi inspirasi, panutan dan paksi kita? Adakah hanya sampingan dan kerdil tempatnya, lalu ditinggalkan sebegitu sahaja kerana tidak sepadan pendapat dengan nama yang besar yang bukan ahli bait yang diagungkan jauh lebih meninggi?

Apalagi sampai mengingkari kepelbagaian ahli bait dari pelbagai aliran. Seakan-akan tidak ada ahli bait dari selain ahli sunnah melainkan palsu atau dusta atau paling kurang pun, mereka dikurang meritnya dan diabaikan jika mereka mahu.

Setiap mazhab masing-masing sanggup berhempas pulas untuk memastikan pandangan mereka ada sandaran untuk dijadikan muktamad mazhab dan mana-mana yang menyalahinya dianggap qaul dhaif dan pelbagai lagi. Bahkan, sampai menghinakannya sesiapa yang mengambil selain muktamad, apatah lagi keluar daripadanya.

Cuma, di mana kita dengan imam dan ulama ahli bait? Tidak ada karya dari mereka yang menjadikan kita sandaran muktamad, membangunkan pilar-pilar keilmuan dan inspirasi kepada pelbagai aspek yang menjadi pilihan pertama? Tidak berasa malu jika langsung tidak tahu apa pun tentang akidah dan fiqh daripada ahli bait? Alangkah kita memalukan diri kita.

Aliran Zaydiyyah sangat kaya dengan khazanah pelbagai mereka dan karya mereka sangat berbobot yang tidak kurang hebatnya dengan ahli sunnah. Nama-nama imam dan ulama dari ahli bait sentiasa kedengaran apabila kita ingin menelaah dan meneroka karyanya.

Aliran ini walaupun didominasi oleh ahli bait, namun yang bukan ahli bait juga berpeluang untuk menyerlah dan diberi khidmat kepada peninggalan mereka.

Cuma, yang menyayat hati adalah apa sudah terjadi pada umat yang mendakwa dan mencanang tentang kecintaan dan mengutamakan ahli bait seperti kita. Karya mereka dibelakangkan dan menjadi mayat yang dikambuskan oleh orang yang tidak mempedulikannya lagi. Ia tidak dimanfaatkan sebagai warisan yang berharga sepertimana selain daripada ahli bait.

Sebaiknya, bagi mereka yang ingin berkenalan dengan ahli bait dan mula ingin mendalaminya, kenalilah Zaydiyyah dan melangkahlah ke gudang mereka kerana mereka adalah yang paling ramai. Menafikan Zaydiyyah samalah seperti menafikan lebih separuh dari ahli bait sepanjang sejarah.

Jangan kita mengulangi sejarah yang mana imam dan ulama diusir sehingga berpindah ke Yaman, diburu, dipenjara dan dibunuh dengan kita mengusir karya mereka, memenjarakan warisannya dan membunuh khazanah mereka.

Pun begitu, kita bersyukur kepada Allah dengan sebanyak-banyak pujian kerana Universiti Al-Azhar kerana mengiktiraf fiqh Zaydiyyah adalah muktabar selain daripada akidahnya. Ini adalah yang saya setuju dan sewajarnya dipuji atas usaha memperkasakannya.

Bahkan, saya berpendapat mazhab fiqh bukan hanya terhad kepada empat sahaja. Fiqh Zaydiyyah juga patut disertakan bersama dan sebaris dengan fiqh mazhab ahli sunnah yang lain. Tidak patut diabaikan sama sekali, apatah lagi dilupakan, lebih-lebih lagi jika daripada ahli bait.

Sepertimana setiap aliran telah menghasilkan buku untuk memperkenalkan apa aliran mereka dan siapa yang menjadi penonjolan kepadanya, aliran Zaydiyyah juga sudah ada pelbagai inisiatif untuk memperkenalkannya.

Sebagai permulaan, buku-buku Jamāl ašh-Šhāmiyy, al-Murtaḍō al-Maḥaṭwariyy, al-Kāẓim az-Zaydiyy dan ʿAbdul Salām al-Wajīh antara yang saya cadang kerana mereka ini berkhidmat sebaik yang dipuji untuk memperkenalkan aliran Zaydiyyah.

Buku yang pada gambar ini, iaitu Aʾimmah Ahl al-Bayt karya ʿAbbās Muḥammad Zayd pula adalah buku yang sekilas untuk memperkenalkan imam ahli bait yang ternama dalam kalangan Zaydiyyah.

Bayangkan, kita yang ahli sunnah yang seringkali mendakwa paling benar dan paling menyayangi ahli bait pun sangat sukar untuk mengkehadapankan nama-nama imam-imam ahli bait yang menonjol. Kalau ada pun, ia adalah takalluf yang tidak mencerminkan realiti sebenar, apatah lagi yang benar-benar dari sudut cetusan dalam dirinya.

Kita sebagai ahli sunnah patut muhasabah dan renung.

No comments:

Post a Comment