Wednesday, 19 April 2023

Syawal Menghampiri, Tetapi Di Mana Kita Sekarang Di Bulan Ramadhan?


Apabila hari Syawal semakin menghampiri dan lagu-lagu raya Aidilfitri semakin bergema di mana-mana corong pembesar suara, mata kita lebih meneropong kepada hari berikutnya yang semakin tidak lama lagi pertemuannya dan jiwa kita semakin mendebar untuk menyambut kehadirannya sehingga kita lupa pada hari ini kita masih di bulan Ramadhan yang mulia.

Sekalipun kemeriahan hari Syawal sudah mula bergegas dipersiapkan dan orang ramai mula berpusu-pusu untuk berlumba seakan-akan siapakah yang akan sampai dahulu untuk hari tersebut, kita yang masih berada pada hari ini jangan alpa disebabkan bayangan kemeriahan pada hari akan datang.

Lebih-lebih lagi ketika sekarang netizen saling bertikaian apakah bulan Syawal tiba hari Jumaat atau Sabtu dan netizen sedang mengasak para pemerhati bulan dengan pembulian yang seolah-olah peralihan bulan perlu ikut kehendak mereka.

Walaupun kita beranjak satu hari yang lebih, jangan kita lupa hari tambahan kita adalah hari di bulan Ramadhan dan jangan sampai terlupakan keutamaan bulan ini berbanding bulan-bulan yang lain.

Jangan kita terlalai mengapa kita menyambut Ramadhan dan bersusah payah untuk terus berpuasa. Jangan kita tidak ingat lagi kenapa kita mengucapkan selamat bagi kedatangan Ramadhan kepada rakan-rakan sekeliling.

Selamat meneruskan sambutan Ramadhan dan semoga kita tiba di hari Syawal dengan penuh keberkatan.

No comments:

Post a Comment