Aku pun setakat ini tidak tahu siapa yang dimaksudkan ulama itu. Entah-entah ustaz selebriti atau tukang jampi atau founder produk itu yang dianggap sebagai ulama. Cuma, kalau betul ia adalah ulama dengan kriteria maksimum sekalipun, ia bukan alasan untuk ikut secara membuta tuli.
Cubalah baca sejenak hujah, dalil dan alasan pihak pengharaman. Ambil masa untuk pertimbang, analisis dan buat hujahan balas secara adil semampunya. Jangan sebab tamak dengan duit menjadikan mata jadi kelabu dan otak menjadi tepu untuk berfikir.
Hujah pengharaman ini meritnya kuat. Di sini, saya bukan mahu membahaskannya.
Mazhab orang awam adalah mazhab muftinya? Soalannya adalah mufti yang mana dia ikuti? Kalau ingin ikut mufti dari segi bahasa pun, iaitu orang yang menyampaikan fatwa sekalipun bukan dilantik secara rasmi oleh kerajaan, ia tetap bukan alasan untuk tidak mengambil masa.
Orang awam tidak perlu kepada dalil? Kenapa dalam bab kewangan, sampai sanggup perah otak, baca artikel sebanyak-banyaknya, tonton video tips dari sifu berjam-jam lamanya, habis ribuan untuk sertai kursus kewangan dan laburkan banyak masa demi meraih untung, namun tiba-tiba soal halal dan haram, ambil sambil lewa dan cukup ikut buta sahaja?
Soal duit sampai sanggup cari seribu dalil supaya tidak rugi, terlabur di tempat yang salah dan pelbagai lagi. Hidup beragama ini kerana ingin duit atau ikhlas demi Allah?
Orang awam tidak tahu dalil? Sekali lagi, kesanggupan untuk dapat duit memotivasikan orang untuk belajar tentang duit, hadiri kursus jutawan walau dari hujung negara sekalipun, sanggup membayar sifu demi tunjuk ajar dan pelbagai lagi. Namun, di mana untuk soal agama pada halal dan haram?
Masalahnya adalah bukan orang awam tidak tahu dalil atau tidak faham dalil, tetapi sengaja tidak mahu tahu dalil, tidak mahu meneliti dalil, tidak mahu belajar, tidak mahu menganalisa, tidak mahu berfikir dan tidak mahu mempertimbangkan demi duit, duit, duit dan duit lagi.
Akhirnya, ikut sahaja kerana ada ustaz fulan berkata, ada ustaz berkata ia adalah boleh atau konon ada ulama membolehkannya. Bab duit sangat kritikal sampai sanggup berlutut untuk menadah ilmu dari sifu entah mana.
Saya tidak peduli kalau ini adalah cara wahabi atau dipanggil ingin melagak mujtahid sekalipun kerana ingin fokus pada hujah dan dalil. Cuma, sangat melelahkan orang yang kemaruk dengan Forex kerana ikut secara membuta pada figura agamawan yang mengatakan ia adalah boleh.
Jangan bagi alasan lagi bahawa kamu orang awam dan cukup hanya bertaklid. Kamu bukan pakcik makcik kampung pesawah pencen yang berusia 3/4 abad.
Kalau dapat sembang sana sini untuk menegakkan apa yang dia percaya dan sanggup berseteru dengan pelbagai pihak demi pendapatnya, itu cukup untuk menunjukkan ada kemampuan untuk faham dalil yang sewajarnya.
Cuma, sama ada ingin asah kemampuan untuk sesuatu yang lebih baik atau sebaliknya, itu adalah pilihan masing-masing. Masing-masing akan bertanggungjawab sendiri atas pilihannya
Kalau ini tidak cukup untuk menekankan bahawa pentingnya keberagamaan dengan mengikuti dalil, fikirlah sendiri kenapa ada kesanggupan besar pada duit supaya tidak terjebak dengan pelaburan yang merugikan?
Tidak hanya dengan isu Forex. Isu-isu yang lain yang relevan juga boleh masuk dalam topik perbincangan di sini.
Allah lebih mengetahui dan kepada Allah jualah segala pertolongan.
No comments:
Post a Comment