Apapun, ini bukan kes baru. Sebenarnya ada beberapa yang sekelompok dengannya yang suka canang beradab dengan ulama dan iltizam dengan jalan para ulama pun pernah menghina beberapa imam hadis.
Sebelum ini ada yang dari mereka berkata Abū Bakr al-Kẖollāl ini bapa kepada mujassimah. Kemudian, nukil secara dusta kalam al-Imām Ibn al-ʿImād al-Ḥanbaliyy kononnya beliau menuduh al-Kẖollāl sebegini.
Padahal, apabila disemak, rupanya salin dan tampal dari suatu laman web secara membabi buta dan laman web asal pun tidak pun berkata ia adalah al-Imām Ibn al-ʿImād al-Ḥanbaliyy.
Cakap orang lain suka belajar daripada Google dan tidak semak. Rupanya, dia pun ambil maklumat daripada laman web entah mana secara terburu-buru.
Sebelum ini juga ada yang menghina al-Imām Aḥmad tidak mampu berhujah dengan Muktazilah sehingga khalifah terpengaruh dan berkata: "Untuk melawan Muktazilah, Qōlallah dan Qōla Rosūl tidak jalan. Kalau jalan, sudah tentu al-Imām Aḥmad sudah selesai. Bungkus!". Malah, sampai berkata: "Mana pergi ulama salaf ketika itu?".
Beberapa minggu lepas ini pun ada yang menuduh dakwaan ijmak Ḥarb al-Kirmāniyy adalah propaganda Ḥanābilah yang bersulam fitnah dan dusta atas nama seluruh salaf dan menjual nama mereka semata-mata untuk memenangkan mazhab sendiri, di samping menaburkan lagi garam celaan dengan bahawa ini adalah suatu amalan yang hina dan meloyakan!
Untuk di luar negara pula, ada juga yang mendakwa bahawa Ibn ʿAbdul Barr bergoncang dalam bab akidah. Ibn Qudāmah pula mendekati mujassimah. Itu belum lagi ada yang memasukkan satu bab bagi suatu buku untuk menyenaraikan ahli hadis mujassimah. Ya! Tinggal imam dia sahaja yang paling suci akidahnya!
Walaupun penghinaan dari sudut akidah, tetapi sudut pandang kedua-duanya sama sahaja, iaitu walaupun mereka adalah imam hadis yang terbilang, mereka tidak faqih dalam akidah!
Bayangkan mereka ini mengamuk yang langit pun boleh pecah untuk menanggung berang mereka apabila dapat tahu al-Imām an-Nawawiyy dan al-Ḥāfiẓ Ibn Ḥajar al-ʿAsqolāniyy dikeluarkan daripada ahli sunnah oleh sebahagian pelampau.
Sekarang, mereka tidak ada masalah pula menghinjak imam yang mulia tanpa rasa segan pun dan rasa itulah perbuatan yang paling betul. Apa beza kedua-dua kelompok ini?
Kadang, boleh nampak semua pendidikan tentang adab tertelanjang serta-merta apabila masuk dalam perseteruan.
No comments:
Post a Comment