Wednesday, 28 September 2022

Antara Kontroversi Ašh-Šhaykẖ Yūsuf al-Qoroḍōwiyy Dan Jasanya


"Mendiamkan Anjing Yang Menggonggong, Iaitu Yūsuf al-Qoroḍōwiyy" karya ašh-Šhaykẖ Muqbil bin Ḥādī al-Wādiʿiyy.

Semasa zaman kehidupan ašh-Šhaykẖ Yūsuf al-Qoroḍōwiyy, bukan semua orang akan sambut baik dengan pemikirannya, pendapatnya, fikrahnya dan manhajnya. Ada yang menjadi pembangkang untuknya dengan perlawanan yang keras sepertimana tajuk judul kitab tadi.

Sejujurnya, kalau kita ingin membangkitkan semua kesilapan yang ada pada setiap orang, khususnya para ulama (itupun kalau seseorang menganggap ašh-Šhaykẖ Yūsuf al-Qoroḍōwiyy sebagai ulama) dan membesar-besarkannya, tidak akan ada siapa yang layak diberikan sanjungan dan penghormatan.

Sebutlah apa sahaja yang menjadi isu kontroversi dan sememangnya yang pahit untuk ditelan atau yang sejelas-jelasnya salah. Tidak akan ada siapa yang menafikan.

Contohnya, tidak akan ada siapa yang menafikan beliau antara punca yang mencetuskan huru-hara di negara Arab disebabkan pengaruh fatwanya untuk menentang pemimpin yang zalim (walaupun ada perbahasan dalam lingkungan ahli sunnah tentang ini dari segi konsep dan ašh-Šhaykẖ tidak sepatutnya dipersalahkan sepenuhnya).

Namun, jangan lupa bahawa khalifah dan pemimpin semasa zaman empayar juga walaupun membawa kezaliman, tetapi mereka masih ada jasa untuk dikenang dan tiada siapa yang akan menafikannya. Yūsuf bin Ḥajjāj aṯs-Ṯsaqofiyy antara orang yang bertanggungjawab telah menumpahkan darah ramai muslimin, termasuklah tabiin yang agung. Namun, semua orang akan hargai usahanya dalam meletakkan baris dalam al-Quran.

Khalifah al-Muʿtaṣim Billah juga menanggung dosa kerana menyebat al-Imām Aḥmad bin Ḥanbal disebabkan enggan untuk menyatakan bahawa al-Quran itu makhluk, tetapi sejarah mengenangnya bahawa dia adalah seorang khalifah yang berani yang sanggup menghantar tentera ke jajahan Rom untuk membela muslimah yang dicabul.

Khalifah Jaʿfar al-Mutawakkil adalah khalifah yang telah memikul dosa besar dengan pembantaian di Damsyik dan peruntuhan makam penghulu kita; Ḥussayn -*alayhissalām-, tetapi dia dikenang jasanya sebagai orang yang menamatkan perintah pengujian terhadap semua ahli ilmu di serata wilayah empayarnya, memecat Ibn Abū Duʾād yang menjadi dalang kepada perintah ini, membebaskan al-Imām Aḥmad bin Ḥanbal dari tahanan, dan mengembalikan semula ahli sunnah ke persada pemerintahan dengan menjemput mereka ke istana untuk pengajian ahli sunnah.

Kita semua bukan mengajak untuk melupakan dosa-dosa atau noda yang ditanggung dalam hidupnya, lebih-lebih lagi yang melibatkan orang lain. Bahkan, tidak akan ada siapa yang lupa dan menafikan apa yang menjadi 'dosa' kepada ašh-Šhaykẖ Yūsuf al-Qoroḍōwiyy.

Namun, kita memberikan kredit yang lebih padanya dalam soal pembaharuan dalam wacana ilmu dan kesegaran yang dia bina untuk memenuhi cabaran zaman ini. Ini adalah sesuatu yang orang sangat hargai dan menimba manfaat daripada telaga peninggalannya.

Mungkin sahaja dia lemah dari sudut isu politik, geopolitik dan arus masyarakat sehingga dia menjadi subjek kecaman pada hidupnya. Akan tetapi, setiap orang yang mengenali jasanya dalam dunia Islam, mereka berharap agar dosa-dosanya itu diampunkan disebabkan khidmatnya yang terbaik untuk medan keilmuan dan kebaikannya yang banyak memadamkan kesalahan yang lalu.

Karya kritikan terhadapnya pun ada manfaat untuk diambil. Cuma, janganlah sampai ia diperbesar-besarkan sehingga seolah-olah kesalahannya jauh lebih mengatasi daripada sumbangan baktinya kepada umat Islam, bahkan ulama sedunia.

No comments:

Post a Comment