Kita ambil contoh jika prinsip seseorang itu untuk sesuatu isu tidak jelas dan tidak difahami, maka kita lihat bagaimana perspektif, pengamalan dan pendirian yang diambil oleh orang yang terdekat dengannya seperti keluarganya, sahabatnya dan murid kanannya. Tindakan mereka dan apa yang mereka tampilkan itu sedikit sebanyak menjelaskan prinsip seseorang itu sama ada secara langsung atau tidak langsung.
Ditambah lagi pula jika prinsip yang ditampilkan oleh orang terdekat dengannya adalah semirip, sepakat dan tidak ada perselisihan. Ini mampu menguatkan lagi prinsip sebenar seseorang yang dilihat kabur dan tidak jelas.
Orang terdekat bagi seseorang itu boleh mejadi sumber primer kepada perkhabaran atau penafsiran. Mereka boleh dijadikan rujukan yang berautoriti atau tempat meleraikan kemusykilan jika berlaku.
Jika sumber ini diragukan, ia berpotensi menimbulkan banyak masalah dalam pelbagai perkara seperti epistemologi, pensejarahan dan pembinaan kepercayaan. Apatah lagi penolakannya atas dasar penafian kerana penerimaannya akan tidak menyebelahi mereka.
Sebegini orang antisunnah sebagai contoh tidak faham kepada kepentingan sunnah dan kehujahan hadis dalam pensyariatan. Mereka gagal melihat bagaimana yang dipraktikkan dari orang yang terdekat dengan Rasulullah صلى الله عليه وسلم dalam aspek sunnah dan hadis.
Tidak perlu bersusah payah kita berbahas dalil daripada al-Quran. Cukup kita lihat bagaimana didikan baginda صلى الله عليه وسلم kepada orang terdekatnya dari keluarganya dan sahabatnya. Melainkan jika antisunnah ingin berkata bahawa baginda adalah pendidik yang gagal dan tidak mampu melahirkan graduan yang dapat mempertahankan tradisi yang tulen, maka tamat bicara kita.
Kalau kita guna cara neraca sejarah dengan mengetepikan kaedah ilmu hadis atau seumpamanya pun, ia tidak akan mampu menolak bahawa para keluarga dan sahabat baginda صلى الله عليه وسلم tidak ada pertikaian pun tentang apa yang datang dariapda baginda selain daripada al-Quran adalah sesuatu yang absah untuk dijadikan hujah dalam hukum-hakam agama. Inilah juga yang diwarisi turun-temurun setiap generasi sepertimana tidak akan ada yang menafikan bahawa solat adalah salah satu kewajipan dalam agama Islam.
Kalau sumber dari orang terdekat pun sesuka hati diragukan, ini tidaklah diterima dalam akademik. Bahkan, antisunnah sendiri tidak dapat menerima jika persaksian daripada isteri seseorang atau anak-anaknya atau sahabatnya tentang seseorang itu ditolak sembarangan jika tanggapan tentang seseorang itu tidak menyebelahi sesuatu pihak.
Bagaimana mungkin agama Islam yang mencambahkan ketamdunan yang intelektual menerima kebodohan sebegini? Kemudian, antisunnah mendakwa bahawa merekalah umat yang paling progresif dan paling kritis?
Kalau orang rapat pun tidak boleh dipercayai dan seseorang itu boleh menolak sesuka hati perkhabaran atau penafsiran dari murid kanannya sebagai contoh hanya kerana ia tidak memihak kepadanya, jelaslah bahawa siapa sebenarnya mengikut nafsu citarasanya serta berkelubung dalam dunia sendiri sambil berdelusi bahawa dialah yang paling berhemat dan cermat.
No comments:
Post a Comment