Sunday, 20 March 2022

Kebimbangan Apabila Fatwa Kepada Kesesatan Tarekat Naqsyabandiah An-Naqšhābandiyyah al-ʿĀliyyah Pimpinan Nāẓim Al-Haqqōniyy Dirombak Semula

 


Antara yang merunsingkan apabila tarekat Naqsyabandiah al-Aliyyah di bawah pimpinan Nazim Haqqani sudah difatwakan kebenarannya baru-baru ini sebagai memansukhkan fatwa yang lama adalah :

(a) Mencemarkan kredibiliti bagi institusi fatwa kerana ia menggambarkan imej bahawa institusi ini mengharamkan sebuah gerakan, kemudian boleh dirombak balik seakan-akan pengharaman dahulu itu atas dasar semberono yang boleh ditarik balik bila-bila masa sama ada disebabkan pelobian atau didesak atau selainnya atau keabsahan pengharaman itu boleh dipertikaikan dan tidak dipercayai.

(b) Membuka ruang untuk ajaran sesat lain untuk menuntut dan mendesak agar fatwa pengharaman yang digazetkan itu ditarik balik dan diperbetulkan.

Sekarang wahabi, syiah dan Hizbut Tahrir yang diharamkan beberapa negeri sudah nampak hal ini berlaku. Rasanya adakah mereka akan duduk diam dan tidak akan menggiatkan operasi mereka? Bagaimana? Sudi menerima pengharaman gerakan ini ditarik balik, lebih-lebih lagi jika dilobi dan didesak berulang kali?

Institusi fatwa ada kehormatan dan kemuliaannya. Jika ia dalam menghukum sebuah gerakan atau aliran, institusi ini bertindak seumpama institusi mahkamah dan diputuskan oleh barisan hakim yang adil. Oleh itu, sepatutnya keputusan institusi fatwa memiliki sama merit dengan institusi mahkamah.

Kalau ia boleh dipinda, diubah atau dimansuhkan, lebih-lebih lagi setelah dilobi atau didesak berulang kali, maka ini adalah pencemaran maruah terhadap institusi fatwa.

No comments:

Post a Comment