Tuesday, 18 January 2022

Sediakan Bukti Yang Spesifik Jika Ingin Membuat Dakwaan Yang Besar



Satu di Twitter mengatakan al-Imam al-Ghazali menganggap wanita itu sebagai objek, kuli dan pemuas lelaki. Satu lagi pembentangan yang menyatakan bahawa tafsir Ibn Katsir dan nasikh dan mansukh yang berkaitan dengan ayat perang telah menjuruskan justifikasi tindakan barbarik golongan I S I S.

Kedua-dua persamaan adalah apabila ditanya di mana petikan secara spesifik, masing-masing kaget dan tidak dapat menunaikan permintaan dan desakan.

Lain kali pinpoint tempatnya di buku atau semat di otak baik-baik atau buat catatan yang boleh dirujuk jika ia adalah topik besar dan kenyataan yang dirasakan sensitif. Kalau tidak ingat, itulah masanya untuk ulangkaji dan teliti semula.

Janganlah buat kenyataan rambang dan kalau tak ingat di mana lokasi tempatnya. Ni cara orang nak cuci tangan dan lepas tanggungjawab secara tidak bermaruah dari melaksanakan hak keilmuan.

Nak cetuskan syubhat, memang mudah dengan satu ciapan (tweet). Tapi, kalau betul-betul mahu kebenaran dan objektif dalam wacana ilmiah, ia tidak akan semudah itu. Medan ilmiah bukan untuk orang yang culas dan nak main-main sahaja.

Tapi, biasalah. Yang suka main Weasal Word ni memang nak cepat tarik pengaruh atau cara mudah nak timbulkan kegusaran dan syubhat ke sekeliling. Lagi-lagi bila di zaman orang mahu pengetahuan dan kefahaman semudah dan seringkas dalam satu ciapan.

Saya ingat lagi dua tahun lepas ada orang membuat kenyataan bahawa ada hadis bahawa Rasulullah SAW mengoyak sebahagian jubahnya kerana ada kucing tidur di atasnya. Bila diminta, dia kata dia tidak ingat di mana. Warga liberal pula kata dia suruh kita cari sendiri.

Sebab itulah Rasulullah SAW bersabda :

الْمُدَّعِي أَوْلَى بِالْبَيِّنَةِ

"Pendakwa lebih utama pada pembuktian". [Riwayat ad-Daroqutniyy].

Kaedah ini sudah cukup baik diamalkan. Bila buat dakwaan sesuatu, sediakan bukti di belakang dan ada pinpoint spesifik di mana. Bukan dakwa secara serampangan, lepas tu cabut lari bila diminta bertanggungjawab untuk bersikap telus atau transparensi.

No comments:

Post a Comment