Saturday, 15 January 2022

Sebab Saya Malas Ingin Berargumentasi Di Twitter

Sebenarnya, saya malas mahu berargumentasi di Twitter walaupun di sana sudah ada macam-macam orang dan adanya keperluan untuk saya bersuara di sana.

Salah satunya adalah kerana bukan semua konsep boleh difahami dengan satu ciapan (tweet) atau dengan beberapa bebenang (thread).

Tambah lagi, satu ciapan ini ada had perkataan yang perlu diperhatikan. Saya memang cerewet dan merasa jengkel untuk menghabiskan masa dalam menyeleraskan satu perenggan agar setiap perkataan yang saya gunakan cukup untuk had satu ciapan.

Adakalanya, perlu menjelaskan lebih menyeluruh, perlu menjengah lebih banyak sudut dan perlu dikupas dengan panjang yang akan menjadi sangat tidak adil dan menjadi lompong jika hanya disebutkan secara ringkas.

Contohnya adalah pembahagian yang tidak sama rata dalam harta pusaka dan pemberian yang lebih banyak kepada lelaki. Sememangnya zahirnya tidak adil dan memang boleh cipta satu ciapan untuk mempertikaikannya.

Namun, pembahagian tersebut bukan sekadar agihan semata-mata. Ada falsafah dan roh yang terkandung dalam pengagihan tersebut. Ini tidak mudah diterangkan dengan hanya beberapa bebenang sahaja.

Ingat lagi kes di mana seorang Twittard mempertikaikan hafalan ratusan ribu para imam hadis? Saya menghasilkan beberapa siri penulisan yang panjang untuk membentangkan bahawa itu tidak mustahil, realiti yang benar-benar ada dalam sejarah dan bukan penyifatan berlebih-lebihan, apatah lagi pendustaan.

Kalaulah ini ditulis dalam twitter, entah berapa banyak bebenang yang akan meleret semata-mata untuk menjelaskan kepada satu dua ciapan yang dungu itu.

Ia bukan semudah nampak tidak logik atau pelik terus dipertikaikan dengan satu ciapan atau beberapa bebenang.

Dalam isu kekuatan dan keluasan hafalan para imam ini sebagai contoh, ia adalah bukti yang terlalu nyata dan bukti kendiri (self-evident) yang pasti akan dilihat sendiri oleh orang yang sudah bergelumang dalam bidang praktikal ilmu hadis ini.

Mereka yang tidak pernah mengenal kitab al-Jarḥ Wa at-Taʿdīl, apatah lagi menyelam dalam medan sebenar dalam ilmu hadis sememangnya tidak nampak bagaimana para imam hadis kita benar-benar memiliki hafalan yang luas.

Ini juga adalah refleksi dari masyarakat yang berfikiran: "Tolong lukis boleh tak?" atau sikap manja sangat atau mahu dapat cepat dengan ekspres. Mereka mahu segenap ilmu terisi dalam satu ciapan dan kemusykilan terungkai dalam beberapa bebenang.

Adakalanya, sememangnya perlu ambil masa yang lama dan berdepan dengan susah payah untuk menggapainya.

Ambil contoh, isu pertikaian hafalan imam para hadis. Saya dahulu pun ada sedikit rasa skeptik dan hanya sekadar percaya sahaja tanpa tahu bagaimana hakikatnya. Apabila saya mendalam ilmu hadis dan masuk ke lapangan kajian ilmu ʿilal al-Ḥadīṯs, barulah nampak bahawa sememangnya benar para imam hadis kita memiliki hafalan yang luas.

Saya tidak perlu lagi tumpang kekaguman daripada orang lain dalam penyifatan keluasan hafalan para imam kita. Kekaguman saya adalah genuine dari hati saya sendiri, bukan menumapng gembira dari orang lain dan buta tuli.

Itulah adakalanya kelazatan yang kita peroleh setelah kita susah payah dan menekuni dengan masa yang lama untuk mendapatkan pemahaman. Kalau hanya mahu satu ciapan untuk meraih kepuasan, ia bagaikan seseorang yang sekadar meminum setitik air sahaja daripada lautan manisan.

------------------------

Saya ingat lagi bagamainaa cara penulisan Dr. Yūsuf al-Qoroḍōwiyy dalam al-Fatāwā al-Muʿāṣiroh. Beliau tidak hanya menulis hukum-hakam, halal dan haram serta perbahasan dalil sahaja, beliau juga akan kupas latar belakang permasalahan, menjelaskan hikmah di sebalik sesuatu hukum atau konsep sesuai dengan falsafah agama Islam, membahaskan isu-isu semasa, menganalisis beberapa peristiwa dan mengaitkan beberapa perkara yang berkait untuk dibincangkan bersama.

Sesiapa yang baca bagaimana cara beliau menghasilkan fatwa yang dikumpulkan dalam kitabnya, pasti akan melihat seninya tersendiri sepertimana yang telah saya jelaskan. Sebab itu, kita akan merasakan fatwa yang disampaikan rasa kenyang untuk membacanya dan mendapat menjengah sudut yang berlainan daripada sekadar fatwa sahaja.

Bahkan, jika membaca kitab beliau yang lain pun, metod sebegini juga diamalkan. Dalam membincangkan isu kenegaraan, ekonomi, ketamadunan dan zakat, dia tidak hanya menjadikan kitab itu sebagai perbahasan hukum-hakam fiqh, tetapi kitabnya menjadi tebal kerana dia membahaskan lebih daripada perbahasan hukum dan dalil.

Ini kerana adakalanya yang menjadi kemusykilan atau jawapan yang dimahukan oleh sebahagian orang bukan sekadar ingin tahu hukum halal dan haram atau sekadar dalil, adakalanya orang lebih memerlukan jawapan berbentuk falsafah yang terkandung daripadanya dan memahami hikmah yang ada pada hukum-hakam tersebut atau pensyariatan bagi sesuatu.

Samalah juga dengan kes di Twitter ini. Adakalanya, pertikaian ini bukan berlatarbelakangkan hukum yang telah sabit dalam agama, tetapi ia bertunjangkan kecelaruan dari segi konsep dan kerancuan pada falsafahnya yang perlu diluruskan dan diperbetulkan.

Mereka ini bukan mahu hanya sekadar tahu hukum halal haram atau pensyariatan sudah kata sebegitu, mereka sebenarnya memerlukan pemahaman tentang falsafah yang menjadi tapak mendasar kepada pensyariatan atau hukum-hakam itu sendiri.

Namun, semua ini tidak semudah dengan hanya bergantung kepada beberapa ciapan atau beberapa bebenang. Ini kerana adakalanya kita perlu melihat kepada sejarah, latar belakang, kronologi, penerangan konsep dan analisis beberapa kes yang berkait supaya dapat difahami tempat yang menjadi pertikaian.

Ia tidak mudah untuk hanya semudah minta: "Minta tolong lukis, boleh tak?" atau minta untuk meringkaskan dalam beberapa ciapan.


No comments:

Post a Comment