Kadangkala, aku tak tahu apa sebahagian orang ini mahu pada mufti. Aku kesian betul kerana mufti selalu dipersalahkan tanpa sebab atau dipersalahkan akibat suatu kesan perbuatan yang bukan daripadanya sendiri.
Fokus mufti dan ahli agama yang berkepakaran adalah isu-isu agama. Apabila orang sudah mengajukan pertanyaan ini kepada mereka, itulah autoriti mereka untuk menjawabnya. Takkanlah nak suruh SPRM dan Azam Baki jawab soalan ini? Kalau ustaz dari PAS atau Amanah jawab, korang pun akan mengata macam-macam.
Sepatutnya, desakan terhadap membasmi rasuah ini adalah untuk orang yang ada autoriti dan mampu mencegah kemungkaran dengan tangan, bukannya mufti. Sekuat mana pun pengaruh mufti dan sebahagian tokoh agama dalam masyarakat, mereka hanya mampu mencegah dengan lidah sahaja.
Yang ada autoriti penuh untuk menangani rasuah ini buat apa? Sepatutnya muntahkan rasa geram korang pada mereka, bukan mufti. Lain ceritalah kalau jawatan mufti memang ada kuasa yang banyak untuk mengeluarkan waran tangkap dan heret pelaku rasuah ke mahkamah keadilan.
Pelik apabila ada mufti menegur sebahagian ahli politik dan beberapa dasar kerajaan atau mereka menyokong beberapa dasar kerajaan yang dianggap baik, masa itu koranglah suruh mufti jangan terbabit dengan isu politik dan cukup fokus dengan agama. Eh? Korang jugak tendang mufti macam bola apabila tak sesuai dengan keinginan korang.
Ingat lagi tak bila mufti wilayah pada tahun lepas kata haram merentas negeri untuk balik kampung? Masa itu sebahagian netizen maki tak ingat dah kepada siapa mereka tujukan makian itu.
Ingat lagi tak apabila mufti Selangor pada tahun lepas memberitahu bahawa penduduk Gombak yang terbuka puasa awal kerana azan awal wajib mengqadha puasanya? Masa itu pun sebahagian netizen pun tak boleh tahan diri dari kutuk mufti kerana kononnya tak meraikan pandangan yang lebih ringan.
Sejujurnya, korang nak apa pada mufti ini? Mufti tunaikan autoriti yang ada padanya pun korang kutuk.
Malah, yang lebih menyedihkan adalah mufti juga dipersalahkan sesuatu yang bukan dari perbuatan mereka.
Contohnya adalah memfatwakan keharusan pengambilan vaksin. Sebahagian netizen ini memang mencerca mufti kerana fatwa ini. Tetapi, diorang tak sedar sebenarnya bangsa koranglah yang lemah dan tak berdaya membangunkan vaksin atau ubat sendiri untuk merawat pesakit Covid-19.
Apabila mufti mengharuskan pengambilan vaksin yang dihasilkan dari orang kafir, tahu pula nak marah. Sepatutnya kalau korang tak nak mufti bagi fatwa sebegitu, koranglah bangunkan penyelidikan. Janganlah hanya tahu komplen memanjang.
Contoh yang lain adalah seseorang persoal kepada mufti kenapa tidak mempertahankan tanah orang Islam dan membiarkan pemaju membangunkan projek mega sehingga masjid terkepung sehingga orang sukar untuk ke masjid. Mereka juga persoal kenapa mufti diam dari menyuarakan hak-hak orang Islam dan orang Melayu di tanah air kita.
Padahal, rakan sebangsa koranglah yang berlembut sangat dengan kafir di sini, manjakan mereka, bodek mereka, jilat mereka dan sibuk nak jaga hati mereka. Bila dah mula buat perangai, barulah tengadah.
Kerabat, kenalan dan saudara sebangsa kau jugaklah yang jual tanah kepada bangsa luar kerana terpukau dengan tawaran berjuta-juta ringgit. Pemimpin korang yang korup jugaklah tidak menjalankan usaha untuk memperkasakan kedudukan bangsa korang dari segi kedudukan bahasa dan ekonomi.
Tiba-tiba mufti pula disergah dan mereka pula ditanggungjawabkan atas dosa yang bukan daripada mereka sendiri?
Janganlah buat mufti atau ahli agama macam bidak korang untuk dipergunakan dalam mengembangkan dan memperkukuhkan beberapa naratif korang. Apatah lagi menyalahkan mufti yang bukan daripada mereka sendiri, tetapi orang lain yang mengheret kepadanya.
Mufti bukan bola untuk kau tendang ke muka sesiapa yang engkau nak dan buang bila kau tak perlukan atau kau tak suka.
Tak setuju, objektiflah dengan bahagian tersebut. Tak perlu melalut ke isu lain. Nanti mufti bersuara pasal rasuah, dikata pulak mufti tak peduli yang ada orang di luar sana tak pandai al-Fatihah pun. Mufti bersuara pasal program maksiat, dikata pulak mufti patut sibuk dengan masjid dan surau yang tidak terurus. Macam-macam lah korang ni.
No comments:
Post a Comment