Sunday, 5 December 2021

Seseorang Boleh Menjadi Baik Tanpa Agama?


"Menjadi baik tanpa agama ibarat wang kertas yang nilainya hanya di atas angin sahaja".

Sememangnya sedap didengari kata-kata bahawa seseorang boleh menjadi baik tanpa agama. Perkataan ini selalu sahaja dicanang berulang seolah-olah kita tidak perlukan agama untuk menjadi seorang manusia yang baik lagi bertamadun. 

Akan tetapi, sebenarnya kata-kata ini terdedah kepada kelompongan yang tidak disedari oleh penuturnya.

Sememangnya menjadi baik dengan berperilaku santun, menuturkan dengan lunak, menjaga moral, bersikap pemurah, bermanis muka dan lain-lain boleh diterapkan bagi setiap orang meskipun tanpa beragama.

Akan tetapi, apakah sandaran nilai bagi sikap baik itu? Jika mata wang kertas itu dianggap wujudnya nilai apabila ditambat dengan emas dan perak, apakah pula sandaran nilai bagi sikap baik itu?

Untuk menelusuri nilainya, ia berbalik kepada persoalan: "Mengapa kita perlu menjadi baik?".

Dalam kesempatan ini, saya suka untuk memaparkan dua watak dari babak anime K : Seven Stories, episod 1; Munakata Reisi dan Mikoto Suoh.

Kedua-dua ini adalah seorang raja yang terpilih memiliki kuasa supernatural yang tidak ada pada semua orang. Kedua-dua mereka ini tidak ada pegangan agama. Cuma, yang membezakannya adalah Munakata ada prinsip tersendiri dalam visi menjadi seorang raja, manakala Mikoto tidak ada apa-apa penafsiran sepertimana Munakata.

Bagi mereka yang tidak ada agama, nilai sikap baik akan ditambat kepada apa? Tidak mungkin ia didasari sekadar suka-suka sahaja kecuali orang yang menjadikan sikap baik sebagai hobi sahaja. Semestinya ada justifikasinya.

Ia tidak akan terlepas daripada dua perkara utama yang akan ditambat; Undang-undang dan falsafah.

Kalau nilai sikap baik kita ditambat dengan undang-undang yang digubal dan dikuatkuasakan oleh pemerintah atau penguasa,

Kita lihat babak ketikaman Mikoto ditegur oleh Munakata kerana merokok di taman permainan kanak-kanak.

Munakata : "Ini adalah kawasan larangan merokok".

Mikoto : "Cuma kita sahaja yang berada di sini" (maksudnya tidak ada orang lain selain kita pun di sini).

Munakata : "Itu tidak penting. Ia adalah peraturan".

Mikoto : "Peraturan untuk siapa?".

Munakata : *Sedikit tersentak, tergamam dan terdiam sebentar*

Munakata : "Peraturan adalah peraturan. Kamu mesti patuh peraturan walaupun tiada siapa di sekeliling".

Mikoto : "Tidak ada sesiapa pun yang sempurna di dunia ini".

Munakata : "Apa yang kau cakap ni?".

Mikoto : "Peraturan yang dibuat oleh manusia akan terdedah kepada salah guna. Jadi, aku akan buat apa yang aku mahu".

Munakata : "Ya. Tiada siapa yang sempurna. Disebabkan manusia tidak sempurna itulah kita sebagai manusia menetapkan peraturan. Itulah bagaimana masyarakat terbentuk".

Dengan kata lain, Munakata pada babak ini ingin menjustifikasikan bahawa kita perlu ada moral dan bersikap baik kerana peraturan yang telah ditetapkan berkata sebegitu. Apabila dipersoalkan, mengapa perlu ikut peraturan? Munakata tidak dapat menjawab. Apa yang dia dapat mengatakan bahawa adalah peraturan adalah peraturan! Seolah-olah jawapan kepada pertanyaan: "Mengapa wang kertas kita perlu ditambat dengan gandum?" adalah: "Kerana gandum adalah gandum!".

Oleh itu, dapatlah kita melihat kelompongan bahawa bersikap baik hanya kerana undang-undang atau peraturan yang berkata sebegitu. Cuba fikirkan sebentar, mengapa Munakata terdiam sebentar apabila ditanya: "Peraturan untuk siapa?".

Kita cuba berikan kes yang sebenar. Contohnya adalah melanggar lampu trafik pada tengah malam di jalan kampung.

Bayangkan jika seseorang yang melanggar lampu merah, lalu ditanya mengapa melanggar lampu merah, lalu dijawab: "Tiada orang pun di waktu tengah malam buta ini dan tidak ada polis pun yang meronda di sini. Malah, kita tidak akan melanggar sesiapa dan menyusahkan hidup sesiapa pun kalau langgar lampu merah".

Kemudian, dijawab semula: "Kita perlu berhenti ketika lampu trafik berwarna merah kerana itu disebut dalam undang-undang. Undang-undang adalah undang-undang!".

Bagaimana kita ingin menjustifikasikan nilai bahawa pentingnya untuk mengikut undang-undang? Adakah kerana khuatir disaman polis? Atau undang-undang itu sendiri sebenarnya yang telah menjadi entiti seperti tuhan dalam menghukum dan menentukan salah dan baik untuk manusia?

Kalaulah kerana khuatir disaman, bermakna nilai sikap baik kita hanya kerana takut dengan penguatkuasa, bukan sebab itu yang sepatutnya kita menjadi. Maksudnya adalah kita menjadi baik pada hakikatnya kerana takut dengan penguatkuasa, bukan sebab kita patut menjadi baik. Itu sahaja.

Kemudian, kita perlu tahu bahawa undang-undang ini juga adalah ciptaan manusia jua yang mungkin ada percubaan untuk memberikan tambatan nilai moral kepada orang ramai.

Bagaimana jika undang-undang itu digubal oleh penguasa yang zalim? Atas sandaran apa untuk mengatakan bahawa ia adalah zalim dan ia adalah adil? Kalaulah undang-undang itu satu-satunya tambatan nilai bagi sesuatu itu baik atau buruk, maka undang-undang yang mana satu? Pihak yang mana?

Masing-masing pun akan ada justifikasi kebaikan undang-undang itu. Jadi, undang-undang bukan nilai tambatan yang universal supaya semua orang boleh mencapai kata sepakat bahawa inilah kerana sebab itulah manusia patut menjadi baik.

Malah, undang-undang juga ada penafsiran yang subjektif daripada seorang atau sekumpulan manusia. Ia tidak universal. Contohnya adalah undang-undang fesyen dan gaya rambut yang dibenarkan untuk negara tertentu. Jika undang-undang mengatakan bahawa fesyen rambut mencacak itu adalah salah dan hanya yang telah digariskan dalam prosedur undang-undang sahaja yang betul, itukah yang menjadi penentu mutlak baik seseorang bersikap baik dan bersikap buruk?

Ada yang berkata bahawa undang-undang digubal untuk menjaga kepentingan sejagat kepada umum. Kita katakan bahawa undang-undang yang digubal juga ada dari kepentingan pihak tertentu atau disalah guna sepertimana yang dinyatakan Mikoto. Kalaulah nilai sikap baik pada undang-undang sahaja, bagaimana dengan kelompongan yang telah dinyatakan ini? Adakah hanya ingin menjawab kerana undang-undang adalah undang-undang?

Kalaulah ia kerana kepentingan sejagat umum, apa yang penting bagi kebaikan sejagat umum dari individu sehinggalah ke masyarakat secara am? Kebaikan itu sendiri sebenarnya apa? Kebaikan dari sudut tafsiran siapa? 

Untuk individu, bagi yang tiada kepercayaan agama, boleh sahaja bunuh diri itu adalah perbuatan yang baik untuknya kerana menempuh kepahitan dalam hidupnya dan sepanjang hidupnya menjadi beban kepada masyarakat tidak berguna untuk diteruskan lagi. Bahkan, merelakan dirinya dimakan buaya adalah baik untuk hidupan liar dan rezeki untuk buaya tersebut. Bukankah ini kebaikan untuk individu?

Bagi keluarga pula, apa masalahnya kalau pasangan curang? Selagimana tidak kantoi dan pandai berdalih, tidak ada masalah! Apa masalahnya pula kalau sumbang mahram? Mengapa pula kena buat baik dengan mak ayah pulak? Aku pun tidak meminta untuk lahir ke dunia ini. Juga boleh dikatakan: "Malah, ibu ayah pula seorang yang langsung tidak belas kasihan terhadapku dan seksa psikologi. Aku sebagai anak perempuan pun dicabul oleh ayah! Biarlah mereka mampus seseorang diri dan mati mereput di atas katil mereka!".

Mungkin ada yang berkata undang-undang dicipta supaya manusia tidak huru-hara. Bagi yang tidak beragama, mereka berkata: "Apa masalahnya? Kalau ikut undang-undang pun, penguasa kita zalim, banyak hak kita dirampas, jenayah mereka pada kita tidak terbela! Malah, dari perang ini juga, kita dapat jual senjata kita, meniagakan dadah serta memperdagangkan manusia demi keuntungan organisasi kita! Bahkan, elok juga kalau seluruh manusia sejagat ini musnah dan biarkan alam semulajadi ini memerintah peradaban bumi in kerana kewujudan manusia inilah banyaknya bahan semulajadi kehabisan, kerosakan alam sekitar, penjarahan hutan, pembunuhan pelbagai habitat dan lain-lain! Bukankah ini kebaikan sejagat untuk manusia?".

"Kalaulah undang-undang itu benar untuk kebaikan sejagat, bukankah elok kita tembak sahaja mana-mana pendatang asing yang masuk negara tanpa izin, lebih-lebih lagi mereka yang ada potensi besar membawa varian Omicron? Bukankah elok kita bina undang-undang untuk penggal kepala mana-mana ahli politik yang lompat parti! Bukankah elok haramkan sahaja sukan yang ekstrim yang mencederakan seperti gusti, daki gunung dan lain-lain melainkan untuk latihan ketenteraan sahaja?".

Ada yang berkata: "Undang-undang seperti itu adalah ekstrim". Mereka yang non-religius berkata: "Atas dasar apa ia ekstrim? Pandangan peribadi engkau atau sekelompok yang setuju dengan kau? Engkau sahaja yang benar, adil dan tidak ekstrim? Pandangan kami pula macam mana? Kami pun melihat engkau sebagai salah, tidak adil pada kami dan orang lain serta keterlaluan dalam mendesak tentang baik dan salah menurut engkau!". Oh sudah! Kalau situasi sebegini, penafsiran tentang undang-undang tidak dapat direalisasikan nilainya kepada masyarakat kerana masing-masing ada alasan untuk menjustifikasikannya.

Falsafah mana yang hendak menjadi kita menjadikan sebagai batu asas sebagai kebaikan sejagat umum? Utilatrianisme? Kepelbagaian falsafah pun hakikatnya sama seperti kepelbagaian undang-undang! 

Bagi yang tambat nilai sikap baik itu kepada falsafah tanpa mengira apa jua falsafah yang ingin dibentangkan, kepelbagaian falsafah yang masing-masing ada perseteruan dan pergolakan pun sudah cukup membuktikan kelompongan tambatan nilai ini kerana masing-masing ada ideologi yang dicanangkan, dibawa dan dikuatkuasakan kepada orang ramai.

Kelompongan tambatan ini boleh dilihat pada babak ketika Munakata berlawan dengan Mikoto. Munakata marah mengapa Mikoto ini bertindak seperti samseng.

Munakata : "Mengapa? Engkau telah dipilih sebagai raja. Kenapa engkau tidak laksanakan tugas engkau?".

Mikoto : "Gi mampus lah! Aku tak nak biarkan sebahagian tanggungjawab mendefinisikan aku ini siapa!".

Munakata : "Mereka yang memperoleh kuasa ada tanggungjawab untuk menggunakannya dengan betul!".

Mikoto menjawab dengan nada berang : "Tanggungjawab untuk apa? Siapa pulak yang yang menentukannya?".

Respons Mikoto ini sungguhpun ringkas, sebenarnya sudah cukup mendedahkan kelompongan tambatan ini.

Bayangkan seorang ahli falsafah berkata kepada seseorang: "Kamu sepatutnya menjadi seorang manusia dan patut hidup dengan falsafah itu ini dan ideologi itu ini. Inilah tanggungjawab kita sebagai manusia". Kemudian, orang itu berkata: "Kenapa pulak aku kena kena ikut falsafah dan ideologi itu? Tanggungjawab untuk apa? Untuk engkau ke? Untuk idea daripada kau? Kau siapa pulak nak pakaikan aku dengan falsafah itu ini dan ideologi itu ini? Kau itu rasul? Atau kau itu tuhan sehingga aku perlu jadi sepertimana yang kau cadang, desak dan tuntut?".

Jika dikatakan kepadanya: "Kamu patut menjadi begitu begini kerana kamu seorang manusia!", akan dijawab semula: "Gi mampus lah! Aku tak nak biarkan sebahagian apa yang kau cakap itu mendefinsikan macam mana manusia patut menjadi dan macam mana patut aku menjadi! Kau bukan tuhan! Diri aku dan minda aku milik aku! Bukan milik engkau untuk engkau cat dengan pelbagai falsafah kau!".

Sekarang, falsafah atau ideologi yang mana yang memberikan kata sepakat? Masing-masing bertelagah bahawa falsafah yang mereka bawa itulah yang paling ideal, paling realistik dan paling terjustifikasi. Akhirnya, falsafah yang menjadi tambatan nilai dipertikaikan.

Bagi seseorang yang non-religius, Mikoto adalah seorang yang jujur sebagai non-religius kerana dia tahu tiada siapa dari kalangan manusia yang ada autoriti mutlak untuk menentukan nilai bagi sikap baik dan buruk. Semua manusia cumalah sama taraf yang memberikan pendapat masing-masing. 

Manakala, Munakata adalah seorang yang hipokrit dan membina prinsip atas angin sahaja, tetapi melagak menjadi tuhan untuk menentukan moral bagi manusia sejagat dan seolah-olah manusia perlu tunduk dengan idea dan falsafahnya. Watak Munakata ini adalah refleksi kebanyakan orang yang suka menjaja bahawa manusia boleh menjadi baik walau tanpa agama sekalipun. Mereka ini seperti wang kertas yang cantik pada cetakan, tapi kosong dari segi nilai harganya.

Mungkin ada yang akan bertanya: "Agama pun ada kepelbagaian sepertimana falsafah. Jadi, apa guna mempromosikan agama sebagai tambatan nilai bagi sikap baik seseorang itu, sedangkan ia sama sahaja seperti kepelbagaian undang-undang dan falsafah?".

Saya katakan bahawa kebenaran adalah sesuatu yang dicari, diperakui dan diterima untuk seluruh manusia dari sekecil-kecil perkara sehinggalah yang lebih kompleks.

Namun, apa itu kebenaran, khususnya bagi sesebuah agama? Saya katakan ia adalah sesuatu yang didasari fakta, masuk akal dan memberikan tambatan nilai.

Oleh itu, agama yang sebenar lagi sejati adalah agama yang orang akan berkata: "Aku menganut agama ini kerana ia masuk akal untuk aku". Maksud masuk akal adalah kita tidak akan beragama hanya semata-mata kita perlu percaya sahaja tanpa ada dasar bagi melahirkan rasa kepercayaan itu.

Misalnya adalah apabila kita ingin memberikan amanah kewangan kepada sesebuah institusi, kita tidak akan meletakkan kepercayaan semberono kepada orang lain. Kita sama sekali tidak akan menyerahkan kewangan kita dan percaya hanya kerana kita disuruh percaya sahaja.

Kita akan melihat terlebih dahulu rekod prestasi syarikat, integritinya, status kewangannya dan lain-lain. Apabila kita pasti, ia adalah baik, maka ia adalah masuk akal bagi kita untuk menyerahkan kepercayaan pengurusan kewangan kepada institusi tersebut. Ini adalah perbuatan yang sepakat diamalkan meskipun mafia dalam soal penyerahan kewangan.

Oleh itu, mana-mana ajaran agama yang disuruh sekadar percaya sahaja tanpa ada dasar yang mempertautkan rasa kepercayaan itu bukanlah agama yang sejati. Untuk mempertautkan rasa itu, sudah tentu kita akan melihat fakta bagi ajaran bagi perkara mendasar, menilai dari sudut kaedah ilmu yang disepakati dalam mencapai hasil yang saksama dan berasaskan metodologi yang tidak ada pertikaian antara setiap pihak. Apabila dapatan kita mulai bertunas keselarian fakta itu, barulah kita mula memberikan kepercayaan kepada agama itu.

Kenapa "masuk akal" ini sangat penting? Kerana manusia akan tertunduk, patuh dan menerima dengan apa sahaja yang boleh dicerna dengan akal. Tidak semestinya ia adalah berkaitan dengan pembentangan fakta atau hujah rasional. Dari segi pengurusan pun seperti isu penyerahan kewangan tadi, kita sendiri tidak akan menyerahkan wang kita kepada suatu badan institusi secara sewenang-wenang, bahkan mafia pun tidak akan melakukannya melainkan ia masuk akal mengapa institutusi atau organisasi atau individu itu masuk akal untuk dipercayai dalam urusan kewangan. Dari masuk akal inilah, benar dan salah boleh dibezakan dan dijustifikasikan.

Sama juga seperti tambatan nilai wang kertas kepada emas. Kita tidak akan menambatkannya melainkan diyakini ia menghasilkan kestabilan sepanjang zaman dan sentiasa relevan sepanjang masa. Kita tidak akan menambat hanya kerana kita percaya bahawa ia ada nilai tanpa ada perkara yang mendasar untuk mempertautkan rasa kepercayaan itu. Ia masuk akal dan diterima setelah kita mengamati sejarahnya dan kebaikannya dari sudut ekonomi masyarakat, lalu dari situlah kita menambatkan nilai wang kertas kepada emas. Maka, sedemikianlah juga penerimaan agama.

Kemudian, maksud tambatan nilai adalah ia memberikan faedah sebab mengapa kita perlu begitu dan begini. Jika dalam mata wang kertas, kita menambatkan nilainya kepada emas dan perak dengan justifikasi bahawa ia adalah nilai yang stabil sepanjang zaman berzaman. Semua ini tidak lain tidak bukan berada di atas fakta dan dapatan data yang berdiri di atas metod kajian yang disepakati semua untuk mendapat hasil yang saksama. Setelah itu, barulah kita meyakini nilai penggunaan wang kertas itu.

Mengapa nilai ini penting? Ini supaya kita ada justifikasi jelas lagi universal untuk mengamalkan atau menguatkuasakan bagi sesuatu. Contohnya adalah dengan adanya tambatan nilai, kita ada justifikasi mengapa wang kertas itu boleh digunakan sebagai transaksi dan urusan kewangan yang lain dalam membina ekonomi negara atau masyarakat buat seluruh manusia, bukan hanya kelompok tertentu.

Sebegitu jugalah tambatan nilai kepada moral dan sikap baik. Apabila kita ada tambatan nilai, kita ada justifikasi yang jelas yang didasari secara universal untuk menjelaskan, bahkan menguatkuasakan mengapa seseorang patut menjadi baik. Tinggal lagi yang berpaling adalah disebabkan kerana tidak mahu menghargai kebenaran atau sememangnya ingin menjadi jahat yang telah nyata nilai penentuan keburukannya.

Firman Allah SWT :

لَا إِكْرَاهَ فِي الدِّينِ ۖ قَد تَّبَيَّنَ الرُّشْدُ مِنَ الْغَيِّ ۚ فَمَن يَكْفُرْ بِالطَّاغُوتِ وَيُؤْمِن بِاللَّهِ فَقَدِ اسْتَمْسَكَ بِالْعُرْوَةِ الْوُثْقَىٰ لَا انفِصَامَ لَهَا ۗ وَاللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ

"Tidak ada paksaan dalam agama ini. Telah nyata petunjuk dan kesesatan. Sesiapa yang ingkar terhadap taghut dan beriman kepada Allah, maka dia telah berpegang erat dengan pautan teguh yang tidak ada kerapuhan padanya. Allah itu Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui". [Surah al-Baqarah ayat 256].

Telah jelas antara kebenaran yang memaparkan fakta, penerimaan cernaan akal dan tambatan maknanya untuk kita ikuti dan kebatilan yang ingkar kepada fakta atau tahu, tetapi memanipulasikannya demi suatu kepentingan, menelan segala karut-marut dan hidup dengan pemaknaan yang kosong dan tidak berdasar yang wajib dijauhi melainkan orang yang sudah bertekad untuk menjadi jahat.

Sebab itulah jawapan bagi menjustifikasikan moral dan sikap baik pada perspektif agama adalah sangat mudah dan singkat. Kita menjadi baik kerana itulah perintah tuhan dan kita ada balasan bagi setiap apa yang kita lakukan. Walaupun jawapan ringkas sebegini, tetapi ia sudah cukup memberikan impak yang besar dalam kehidupan masyarakat dan mempersembahkan keagungan nilainya dalam pemikiran sehinggalah kepada moral.

Sama seperti orang yang bertanya: "Mengapa mata wang kertas kita ditambat dengan emas?". Kita menjawab: "Kerana ia stabil nilainya sepanjang zaman". Sebab itulah, kita dapat justifikasikan dan menguatkuasakan untuk menambat mata wang kertas kita kepada emas untuk seluruh penghuni bumi. Walaupun ringkas jawapan sebegini meskipun ada pembentangan sejarah yang panjang tentangnya, tetapi ia sudah cukup memberikan impak besar kepada ekonomi sesebuah tamadun.

Bagaimana orang yang tidak mempunyai kepercayaan kepada tuhan dan tiada anutan beragama? Apa agaknya justifikasi mereka mengapa mereka menjadi baik dan apa tambatan bagi sikap baik tersebut? Adakah kita perlu menjadi baik kerana kita sememangnya perlu menjadi baik?

Jadi, respons singkat bagi saya bagi ciapan ini adalah mengapa perlu menjadi baik? Apa justifikasi yang di luar dari skop agama untuk menyabitkan bahawa mengapa semua manusia ini perlu menjadi baik?

No comments:

Post a Comment