Tuesday, 9 November 2021

Menjawab Tuduhan Bahawa Al-Quran Salah Pada Punca Terhasilnya Air Mani Dan Tulang Dada Dan Tulang Belakang

 


Firman Allah Subḥānahu Wa Taʿālā :

فَلْيَنظُرِ الْإِنسَانُ مِمَّ خُلِقَ (٥) خُلِقَ مِن مَّاءٍ دَافِقٍ (٦) يَخْرُجُ مِن بَيْنِ الصُّلْبِ وَالتَّرَائِبِ (٧)

"Hendaklah manusia melihat daripada apa yang dia diciptakan. Dia diciptakan daripada air yang terpancar. Yang keluar dari bahagian antara belakang (lelaki) dan tulang dada (wanita)". [Surah aṭ-Ṭōriq ayat 5-7].

Saya tidak tahu siapa yang mula-mula mengatakan ayat ini kononnya menjadi mukjizat saintifik sehingga ia menjadi kesempatan kepada golongan musuh Islam untuk menyerang Islam kerana kononnya ayat ini menunjukkan keralatan saintifik.

Walhal, sesiapa sahaja yang membaca tafsir tentang ayat ini, khususnya dengan merujuk teks berbahasa Arab akan jelas padanya apa yang ingin dimaksudkan ayat ini. Tidak ada kena mengena dengan mukjizat saintifik sama ada dari sebahagian pihak Muslim yang tidak merujuk tafsir atau pihak lawannya yang salah faham terhadap salah faham dari pihak Muslim itu sendiri.

Ayat ini sama sekali bukan untuk menceritakan punca terhasilnya air mani, tetapi sebenarnya untuk menceritakan DI MANA PANCUTAN AIR MANI yang menjadi sumber asal usul manusia.

Ia adalah di antara bahagian belakang lelaki dan bahagian dada wanita ketikamana berlakunya persetubuhan. Ini adalah penafsiran jelas bagi mana-mana rujukan tafsir.

Perkataan "Ṣulb" (الصُّلْب) pada ayat ini disepakati maknanya bahawa ia adalah aẓ-Ẓohr (الظَّهْر), iaitu bahagian belakang.

Manakala, untuk perkataan at-Tarōʾib (التَّرًائِب), ia adalah jamak kepada Tarībah (تَرِيبَة). Ada pelbagai penafsiran maknanya. Namun, yang dipilih ahli tafsir adalah ia adalah bahagian dada wanita atau tulang dadanya kerana di situlah tempat letaknya kalung berasaskan kemahsyuran penggunaan makna ini dengan lafaz tersebut.

Oleh itu, yang dimaksudkan pada ayat ini adalah manusia diciptakan daripada air yang terpancar yang keluar dari bahagian antara belakang lelaki dan dada wanita, iaitu di bahagian vagina ketika berlakunya persetubuhan. Inilah maksud yang sebenarnya. Bukan untuk menceritakan di mana punca terhasilnya air mani.

Sebenarnya, ada beberapa lagi ayat kononnya didakwa sebagai mukjizat saintifik, tetapi sebenarnya ia melanggar peanfsiran yang jelas dan kaedah bahasa.

Sewajarnya sebelum membuat dakwaan mukjizat saintifik, pastikan terlebih dahulu merujuk tafsir bahasa Arab dan mengambil kira sudut bahasa Arab supaya tidak berlaku kecelaruan sebegini yang akhirnya akan menjadi modal pukulan dari musuh.

No comments:

Post a Comment