Sememangnya digalakkan untuk menghidupkan hari maulid dengan pembacaan, mendengar kuliah dan mengenang kisah yang berkaitan dengan kelahiran seagung-agung ciptaan di alam ini, penciptaan baginda, keistimewaan baginda dan beberapa pengajaran yang boleh diambil yang sesuai diisi dalam slot sambutan tersebut serta menzahirkan kegembiraan dan memperbanyakkan selawat kepada baginda.
Akan tetapi, jangan sampai kepada ghuluw. Mencintai semulia-mulia insan di alam ini bukan lesen untuk kita berlebih-lebihan sampai semua yang menyelisihi sunnah dan melanggar syariat boleh diabaikan dan dipandang ringan.
Negara kita mungkin tidak seperti di negara lain yang tersebar luas dan terang-terangan pengamalan bidaah, khurafat dan pelanggaran syariat dalam sambutan maulid. Mungkin yang kecil-kecilan atau minoriti sahaja.
Namun, yang kecil ini akan menjadi bukit jika tidak dibendung, diperingatkan dan ditentang dengan tegas.
Kita bersyukur mufti kita masih ada ketegasan untuk mencantas bidaah dan kerosakan yang menular dalam sambutan maulid. Semoga Allah sentiasa meneguhkan sunnah dalam pengamalan masyarakat dan menghancurkan bidaah yang menyesatkan umat.
Paparan yang dilampirkan ini adalah daripada fatwa dari negeri Melaka tentang sambutan maulid di Pulau Besar, Melaka pada tahun 2009.
Kita pun mungkin tidak terfikir akan ada para pelampau sehingga ke tahap ini di negara kita. Akan tetapi, tidak ada guna kita tetap menjadi ignoran dan bersikap penafian. Akui realitinya. Mungkin ada sekelompok kecil yang menjalar untuk membuat kerosakan di sambutan maulid yang mulia.
Oleh itu, apabila nyata kemungkaran ini, tegaslah dalam menolaknya sebelum ia merebak menjadi epidemik. Jangan biarkan hari yang agung ini dengan pencemaran kerosakan yang tidak diundang dan tidak dibenarkan.
No comments:
Post a Comment