Monday, 13 September 2021

Hafal Beratus Ribu Hadis, Tetapi Mengapa Masukkan Sedikit Sahaja?


Timbul pertanyaan, mengapa para imam kita yang menghafal ratusan ribu hadis, tetapi yang mereka catat hanyalah dari peratusan yang sedikit? Hadis apa yang dibuang dan tidak dimasukkan?

Sebelum itu, kita perlu tahu dahulu apa yang dimaksudkan dengan hadis itu sendiri sehingga mencecah beribu-ribu jumlah. Hadis di sini salah satunya adalah hadis daripada Rasulullah SAW, tetapi memiliki pelbagai rantaian sanad yang sama teksnya atau isi kandungannya tentang baginda sama ada perbuatan, percakapan, pengakuan atau cerita tentang baginda. Maksudnya, boleh jadi ada pelbagai rantaian sanad, tetapi merujuk kepada satu hadis. Dalam setiap satu sanad ini daripada pelbagai lagi yang lain kadangkala disebut sebagai hadis.

Ini juga bergantung kepada siapa yang dipusatkan perhatian. Contohnya, boleh disebutkan hadis Anas bin Mālik, hadis Ibn ʿAbbās dan sahabat baginda yang lain sebagai perawi yang dijadikan perhatian untuk analisis atau sebagainya. Atau pada generasi tabiin seperti hadis Saʿīd bin Jubayr, hadis Mujāhid, hadis Ibn al-Musayyib dan lan-lain. Penggunaan ini banyak dalam karya al-Jarḥ Wa at-Taʿdīl dan karya al-ʿIal.

Atas sebab itulah jumlahnya boleh mencecah ratusan ribu. Hadis riwayat al-Aʿmašh yang berjaya dikumpulkan pada hari ini pun yang termasuk sahih sehingga dhaif mencecah 2,033 lebih. Itu belum lagi para perawi yang lain yang memiliki banyak hadis seperti al-Ḥasan al-Baṣriyy, Šhuʿbah bin al-Ḥajjāj, Sufyān aṯs-Ṯsawriyy, Sufyān bin ʿUyaynah, Ḥammād bin Salamah dan lain-lain.

Kembali kepada persoalan, ini sedikit jawapan ringkas dengan mengambil al-Imām al-Bukẖōriyy melalui karya ulungnya, Ṣoḥīḥ al-Bukẖōriyy sebagai contoh memandangkan beliau menjadi tumpuan dalam isu ini. Hadis yang ditapis adalah :

1. Hadis yang bermasalah. Tidak kira sama ada dhaif atau palsu atau memiliki ʿillah (kecacatan tersembunyi). Hadis seperti ini boleh ditemukan dalam kitab beliau yang lain seperti at-Tārīkẖ al-Kabīr atau perbincangan beliau bersama muridnya, al-Imām at-Tirmiḏziyy dalam Sunan miliknya atau al-ʿIlal al-Kabīr.

Malah, sememangnya ahli hadis melarang menulis hadis daripada pendusta atau mereka yang disahkan untuk ditinggalkan hadisnya kecuali menulis sekadar untuk proses perbandingan semata-mata atau peringatan kepada orang ramai dengan menyatakan contoh hadis palsu atau hadis yang tidak ada nilai langsung. Hadis sebegini sudah tentu kebanyakannya tersisa dalam ingatan ahli hadis yang dibawa sampai ke kubur mereka, tetapi tidak ditinggalkan dalam lembaran kecuali sedikit sahaja untuk peringatan kepada generasi atau sekadar memaparkan contoh kepalsuan yang mereka lakukan.

2. Hadisnya sahih, tetapi belum cukup untuk mengatakan kuat melalui piawaian yang ketat. Contoh hadis-hadis ini ada dalam kitab beliau yang lain yang berjudul al-Adab al-Mufrod. Sebahagiannya sahih, tetapi tidak dapat dikatakan ia begitu kuat dengan piawaian yang ketat agar ia layak disematkan dalam Ṣoḥīḥ al-Bukẖōriyy.

3. Hadis yang bukan marfuʿ atau yang berkaitan dengan Rasulullah SAW, tetapi yang berkaitan dengan mauquf, iaitu para sahabat baginda dan maqṭūʿ, iaitu tabiin, malah generasi sesudahnya. Hadis-hadis seperti ini ada dalam pendahulunya seperti Muṣonnaf dan Muwaṭṭoʾ. Bukan bermaksud semua ini tidak sahih, tetapi untuk memasukkannya secara khusus dalam Ṣoḥīḥ al-Bukẖōriyy, itu bukan syarat pembukuannya yang utama. Kalau ada pun, ia dengan bentuk muʿallaq.

4. Hadis yang sanad nāzil, iaitu hadis yang memiliki ramai rantaian perawi. Hadis seperti ini dibuang dan dipilih hadis-hadis yang ʿāliyy, iaitu hadis yang memiliki sedikit rantaian perawi. Contohnya, kalau hadis itu ada 6 orang perawi (nāzil) dan 4 orang perawi (ʿāliyy) dalam sanad, sudah tentu diambil yang 4 orang perawi. Semakin pendek, semakin bagus.

5. Hadis daripada perawi yang kurang cemerlang. Maksudnya, kita mengutamakan periwayatan dari perawi yang cemerlang berbanding perawi yang memiliki masalah kejituan (ḍōbiṭ). Contohnya, dalam riwayat al-Aʿmašh, sudah tentu kita akan mendahulukan muridnya yang kanan lagi cemerlang seperti Sufyān aṯs-Ṯsawriyy dan Šhuʿbah, bukan murid yang entah siapa dia atau yang bermasalah.

6. Matan hadis ada yang diriwayatkan secara lafaz mengikut bulat-bulat seperti yang asal, ada yang diriwayatkan secara makna, ada yang diriwayatkan secara penuh dan ada yang diriwayatkan secara ringkas. Ini pun perlu dipilih dan disaring juga.

Kalau semua ini ditapis, semestinya yang tinggal hanya sedikit. Kalau ada 100,000 hadis, barangkali yang tersisa mungkin 15,000 yang boleh dipakai. Kalau dalam Ṣoḥīḥ al-Bukẖōriyy pun ada 7,000 lebih. Itu pun, sebahagian kecil sahaja yang dhaif bagi tujuan tertentu. Dan itu pun pembukuan Ṣoḥīḥ al-Bukẖōriyy adalah berbentuk ringkasan, bukan mengumpulkan semua hadis yang sahih yang ketat piawaiannya.

Jumlah yang boleh diterima pakai pun berbeza bagi setiap ahli hadis yang memiliki manhaj tersendiri. Mungkin lebih banyak atau lebih kurang. Apapun, masing-masing sepakat yang tinggal dalam catatan ini hanya beberapa daripada peratusan kecil sahaja yang boleh dijadikan pegangan dalam agama.

Jadi, kenyataan al-Imām al-Bukẖōriyy tolak ratus hadis ini sememangnya betul pun. Memang ada hadis ditolak dan hadis diterima. Bukan semua diterima. Pembahagiaan ini memang di topik awal yang dipelajari dalam ilmu hadis. Cuma yang ditolak itu bagaimana? Inilah persoalan yang penting perlu diamati sebaiknya untuk membezakan manhaj yang lurus dan manhaj yang rancu dalam penyaringan hadis.

Dalam perisian Jawāmiʿ al-Kalim, ada 400 rujukan untuk hadis. Di dalamnya, mungkin ada pelbagai sanad, tetapi hadis yang sama. Satu rujukan pun boleh mencecah belasan ribu hadis. Saya tidak tahu jumlah sebenar hadis kalau dikumpulkan kesemua yang ada dalam 1400 ini. Tetapi, mungkin boleh mencecah ratusan ribu.

Mungkin bunyi "tapisan" ini agak kabur pemaknaannya dan sukar untuk memahami mengapa terlalu banyak hadis yang tidak dijadikan pegangan. Saya menyatakan mereka yang berkecimpung dalam kajian ʿilal al-Ḥadīṯs sahaja yang boleh nampak hakikat ini dan ia adalah jelas di mata mereka bagi para pengkaji. 

Oleh itu, saya doakan mereka yang kabur agar Allah permudahkan urusan untuk sampaikan hajatnya.

No comments:

Post a Comment