Saya katakan ia adalah untuk penguasaan ilmu usul fiqh. Ilmu ini adalah undang-undang asas bagi penafsiran atau penambilan isitfadah daripada al-Quran dan hadis.
Salah satu tema besar dalam ilmu ini adalah mengenali bentuk-bentuk al-ʿĀm (umum), al-Kẖōṣ (khusus), al-Amr (perintah) dan an-Nahy (larangan). Walaupun sudah ada terjemahan untuk ilmu usul fiqh, tetapi untuk memahami bagaimana bentuknya memerlukan penguasaan bahasa Arab.
Kalau mahu jelas kepentingan ilmu bahasa Arab ini untuk usul fiqh, saya cadangkan untuk membaca ad-Dilālāt al-Lafẓiyyah Wa Aṯsaruhā Fī Istinbāṭ al-Aḥkām Min al-Qurʾān al-Karīm karya Dr. ʿAliyy Ḥusayn aṭ-Ṭowīl.
Sebab itu jangan meremehkan apabila adanya gesaan untuk mempelajari bahasa Arab, lebih-lebih lagi yang sudah ada keahlian dan berpengalaman lama dalam bidang agama. Mereka lebih nampak kepentingannya berbanding yang tidak belajar.
Atau saya cabar untuk sesiapa yang tampil ke hadapan yang dia boleh faham bentuk umum, khusus, perintah dan larangan, tetapi tidak menguasai bahasa Arab. Kita ingin lihat kalau betul-betul ada.
Malah, sesiapa yang membelek tesis, jurnal atau kajian yang berkaitan dengan usul fiqh, pasti akan nampak yang perkaitan dengan ilmu bahasa tidak dapat dielakkan. Sebab itulah al-Imām Taqiyuddīn as-Subkiyy :
فإن الإصوليين دققوا في فهم أشياء من كلام العرب لم يصل إليها النحاة ولا اللغويون
"Sesungguhnya ahli usul meneliti pada kefahaman sesuatu yang terdiri daripada kalam Arab yang tidak para ahli nahu dan bahasa sampai kepadanya". (Al-Ibhāj Fī Šharḥ al-Minhāj, jilid 1, m/s 7).
Kalau sesiapa yang tidak menguasai ilmu usul fiqh, boleh jadi sebenarnya dia tidak ada dasar pemikiran yang sistematik lagi teratur agar tafsirannya dan perolehannya berasaskan metodologi yang lurus, tulen dan jitu.
Sebab itulah, saya sangat setuju dengan kata-kata ustaz Nasaie Hanaffie bahawa orang yang tidak mempelajari bahasa Arab, dia sama sahaja seperti awam.
Buktinya adalah kalau dibentangkan ayat al-Quran pada mereka yang bergelar ustaz dan diminta untuk mengambil istifadah bahasa daripadanya, pada masa ini, jelaslah bahawa sememangnya mereka seumpama dengan orang awam. Sememangnya bahasa Arab akan membezakan dua darjat.
Saya bukanlah kata dalam kalangan orang awam itu semua sama dari sudut kepandaian. Orang yang mahir bahasa Arab, belum tentu dia seorang mufti. Begitu juga orang awam yang tidak tahu bahasa Arab bukan semestinya sama dengan mereka yang bergraduan pengajian agama, tetapi tidak mahir bahasa Arab.
Tambah lagi penting penguasaan bahasa Arab ini adalah ustaz sekarang ini ada perkongsian autoriti ilmu seumpama mufti atau ulama, tetapi pada cebisan yang kecil.
Kalau ustaz yang sekadar terpuruk di kampung, sekolah atau guru iqra' untuk budak tadika, itu tidak menjadi isu. Yang menjadi isu adalah apabila gelaran ustaz ini nilai "komersial" yang dijemput ke pelusuk negeri dan sebahagiannya berceramah isu yang rumit.
Sebab itulah penting bahasa Arab bagi seseorang yang bergelar ustaz. Supaya ustaz boleh buat kajian lebih luas dengan menelaah penulisan berbahasa Arab dan dapat menyampaikan dapatannya dengan lebih tahkik.
Cuba, bayangkan kalau ustaz ditanya dengan soalan yang rumit, tetapi perbahasan tersebut tersimpan dalam karya-karya Arab sama ada berbentuk tesis, jurnal atau kertas kajian, sedangkan sang ustaz ini tidak mahir bahasa Arab! Rujukannya sangat terhad.
Inilah kenapa adanya tekanan untuk meninggikan kriteria bagi seseorang yang bergelar ustaz. Kita tidak mahu lagi bertebaran agamawan yang mengajarkan yang mengarut dan caca merba kerana terhadnya rujukan akibat tidak mampu menelaah karya bahasa Arab, seterusnya tiada kemahiran usul fiqh yang menjadi undang-undang berfikir dalam berinteraksi dengan teks agama.
Kriteria ini sebenarnya sedang menyeru kepada para agamawan yang sudah diangkat sebagai rujukan agar pelajari bahasa Arab bagi yang belum menguasai. Bukan untuk sesuka hati membakulsampahkan graduan dari pengajian agama.
Jadi, beza Abū Jahl laʿnatullah ʿalayh dengan para sahabat Rasulullah SAW yang mulia adalah kerana kemahiran berfikir melalui pengamatan pada al-Quran yang mengandungi mukjizat pada setiap ayatnya dan perkataannya, bukan kerana kemahiran bahasa Arab semata-mata.
No comments:
Post a Comment