Wednesday, 28 July 2021

Keperluan Para Ustazah Dalam Mewujudkan Organisasi Khas Untuk Berinteraksi Dengan Muslimah

Saya lihat sememangnya ada keperluan untuk para ustazah di tanah air kita ini bersatu dan mewujudkan organisasi khas untuk berinteraksi dengan para muslimah sama ada untuk bertanya, meluah, mengadu atau mendapatkan kaunseling sama ada secara fizikal, panggilan telefon atau maya seumpama Befrienders, Miasa atau seumpamanya.

Saya tidak tahu kalau warga ustazah pun kebiasaannya dapat jemputan ceramah ke pelbagai tempat sama seperti para ustaz. Tetapi, saya rasa ia tidak begitu signifikan. Oleh sebab itu, ada eloknya juga mereka ini yang agak terpencil dari masyarakat juga boleh mewujudkan seperti Befrienders, Miasa atau organisasi yang lain yang menjadi khidmat interaksi kepada masyarakat, khususnya untuk muslimah.

Sebab utama saya melihat keperluan untuk mewujudkan organisasi adalah supaya para muslimah ini ada tempat yang khas untuk bertanya sama ada isu agama atau selainnya, meluahkan perasaan atau mengadu masalah kepada sesama jantina, bukan kepada berlainan jantina.

Kita lihat sebenarnya muslimah lebih suka bertanya, mengadu dan berinteraksi dengan ustaz secara khususnya atau lelaki secara umumnya sebab orang itulah yang lebih dia kenal, lebih dia rapat dan boleh mendengar luahan, aduan dan dapatkan kaunseling atau khidmat nasihat.

Cuma yang menjadi masalah adalah ustaz ini adalah lelaki dan berbeza jantina. Jangan lupa yang ustaz bukan malaikat. Dia juga manusia yang ada nafsu dan ada potensi menjadi jahat.

Antara punca berlakunya antunan seksual (sexual grooming) atau amang seksual (sexual harassment) dalam sebahagian ustaz ini adalah kerana adanya perhubungan rapat antara ustaz dan muslimah.

Yang menjadi kritikal adalah apabila ustaz ini bukan jadi satu-satunya tempat untuk mengadu, meluah atau mendapatkan nasihat. Ustaz ini menjadi teman rapat dan kenalan yang dia bergantung padanya serta orang yang begitu terbuka untuk bercerita tentang masalahnya, berceloteh dan pelbagai lagi.

Lebih-lebih lagi ustaz ini terlalu terbuka dalam pergaulan antara lelaki dengan perempuan, terlalu ramah dengan berlainan jantina dan ustaz ini pula banyak tolong selesaikan masalahnya dan mendengar luahannya. Apa lagi. Muslimah ini mudah cair dan terpikat dengan ustaz ini.

Tambah lagi masalah adalah ada sebahagian ustaz durjana ini ambil kesempatan untuk eksploitasi persepsi positif muslimah terhadapnya dalam menjalankan modus operandinya untuk antunan seksual.

Persepsi positif ini kadangkala diadunkan bersama dengan fanatik, taksub atau pengkultusan. Masa ini, umpannya sudah dimakan dan tinggal untuk tarik perlahan-lahan agar sampai ke matlamat kejinya.

"Takkanlah ustaz tak tahu halal haram dan batasannya". Ini alasan biasa apabila sudah mula tergilakan dan mabuk sayang kepada ustaz tersebut. Tambah lagi teruk kalau adanya bersikap penafian terhadap sememangnya berlaku pergaulan yang lebih dari sepatutnya terhadap berlainan jantina.

Ya. Ustaz tahu. Tapi, bukan bermakna ustaz takkan langgar batasan itu. Jaga-jaga. Syaitan muncul dengan pelbagai rupa.

Ya. Dia luar sana memang ada ustaz yang baik dan warak, tetapi siapa tahu ujian dia sebenarnya sangat besar, lebih-lebih terhadap wanita yang khususnya sudah ada kefanatikan terhadapnya?

Seeloknya jangan kita menjadi ujian kepada orang lain. Muslimah jangan menjadi ujian kepada ustaz dengan bersosial tanpa keperluan dan ustaz jangan sengaja campakkan diri dalam ujian tersebut dengan melayani semua yang wanita datang, khususnya yang bukan keperluan.

Mahu bergaul pun, perlu waspada batas, lebih-lebih lagi yang pertemuan secara fizikal.

Jangan suka-suka berkhalwat dan kalau kelas ada dua orang pun sebab datang awal sangat yang pelajar lain pun belum sampai, duduk jauh-jauh dan cakap hanya benda yang penting atau keluar ke tempat yang lain. Jangan tumpang kereta. Jangan duduk makan semeja walaupun ada kawan lain bersama atau walaupun di restoran ramai orang. Dan pelbagai lagi yang lain.

Sila bertegas dalam hal ini.

Eh. Sudah melalut ke tempat lain pula.

Tapi, apa pun, muslimah dan ustaz jadi rapat ini bukan kerana rajin hadir ke kelas pengajian semata-mata. Selalunya disebabkan masing-masing terlalu ramah dan terbuka, sudah mula cerita tentang banyak perkara tentang diri, sudah mula berkongsi rahsia, masing-masing saling mengadu dan dapatkan nasihat.

Sememangnya wajar yang para ustazah perlu memainkan peranan agar mendekati para muslimah. Organisasi khas agar muslimah boleh dapatkan khidmat kepada ustazah yang sama jantina sama ada secara fizikal, panggilan telefon atau maya diharapkan dapat mengurangkan pergantungan muslimah kepada ustaz secara khusus atau lelaki secara umumnya.


No comments:

Post a Comment