Tuesday, 6 July 2021

Mengapa Orang Memperlekeh Institusi Tradisi Ilmu Hadis?

"Yahudi mana ajaq depa sebenarnya ni?" - kata seorang maklipat menyindir umat Islam yang menerima periwayatan hadis secara bersanad.

Dia sangka ahli hadis bodoh sangat tentang Surah al-Ḥujurōt dan tidak cerdik macam dia. Padahal, ayat tersebut adalah faundasi besar bagi pembinaan institusi hadis dan ilmunya serta perjuangan ulama dalam memelihara periwayatan hadis.

Malah, dalam penerimaan perkhabaran tidak pernah pun diambil daripada sumber orang yang bukan Islam sama ada ahli kitab atau selainnya atau mereka yang menganut fahaman yang jelas kafir.

Dalam membangunkan institusi hadis, tidak pernah pun diambil, dicuri atau disadur dari tamadun lain sepertimana falsafah yang dicedok daripada Yunani, Greek, Aristotle dan lain-lain. Ia tulen terbina dari jiwa kelompok Muslim yang bersatu hati bersama cintanya yang mendalam terhadap hadis untuk mempertahankan sunnah.

Al-Quran pun sebenarnya adalah periwayatan yang sampai secara mutawatir. Jadi, al-Quran yang sampai kepada kita pun sebenarnya melalui proses ilmu hadis.

Ini sesuatu yang maklum bagi yang jahil tahap rendah dalam ilmu hadis pun. Maklipat ini sama ada anti-hadis atau memang bodoh dalam ilmu hadis.

Kalau tidak jelas bagaimana institusi ilmu hadis, kita namakan ia dengan nama subjek yang lain. Kita panggil ia sebagai "Ilmu Pemeliharaan Autensitas Perkhabaran".

Jadi, ilmu ini secara keseluruhannya adalah teori yang dibangunkan oleh para ulama hadis dalam menyaring dan menganalisis riwayat serta praktikal yang diterapkan pengamalannya dalam usaha melestarikan dan menjaga hadis daripada sebarang kesilapan, campur baur, sisipan, penyelewengan dan pendustaan.

Bagaimana ulama hadis mengambil peranan dalam menjaga kemurniaan autensitas perkhbaran ini? Ini ada dalam catatan sejarah Muslim. Bacalah. Berlambak karya tentang ini. Kecuali kalau memang sengaja ingin menjadi orang yang buta sejarah.

Kalau mahu rujukan tokoh yang merangkumkan banyak aspek dalam bidang hadis adalah al-Kẖoṭīb al-Baġhdādiyy. Bacalah al-Jāmiʿ Li Akẖlāq ar-Rōwī Wa Ādāb as-Sāmiʿ, al-Kifāyah Fī ʿIlm ar-Riwāyah, ar-Riḥlah Fi Ṭolab al-Ḥadīṯs, Taqyīd al-ʿIlm dan Šharf Aṣḥāb al-Ḥadīṯs.

Kemudian, bandingkanlah pada mana-mana tamadun lain. Ada atau tidak usaha yang paling aktif dan paling menonjol berbanding atau setara dengan tamadun Islam? Segala puji bagi Allah. Tidak ada!

Orang yang tidak meremehkan kedudukan hadis sama ada sememangnya orang yang tidak mengenal sumbangan ahli hadis kepada tamadun Islam dalam bab penjagaan autensitas riwayat atau memang ada permusuhan terhadap teras institusi agama itu sendiri.

Selalu saya jumpa kemusykilan yang timbul tentang institusi hadis adalah kerana tidak mengetahui bagaimana pembudayaan para ulama dalam mencari, mengumpul dan menyaring hadis serta bagaimana ilmu hadis itu diamalkan.

Ubat bagi kemelut ini adalah belajar. Ia adalah fakta sejarah. Tahu fakta tersebut, sudah memadai ia menjawab kemusykilan tersebut atau sekurang-kurangnya memberi gambaran asas tentang institusi hadis.

Tidak perlu menggunakan kerumitan fikiran pun sepertimana falsafah kecuali jika ingin berkecimpung dalam praktikal.

Nota
: Ini pun saya tujukan kepada mereka yang mencurigai kemampuan hafalan para imam yang menghafal ratusan ribu hadis.



No comments:

Post a Comment