Monday, 28 June 2021

Cara Berinteraksi Dengan Hadis Ancaman Bunuh Diri


Mungkin ada yang tertanya, bagaimana sikap kita untuk berinteraksi dengan hadis ancaman terhadap bunuh diri?

Mula-mula sekali, kita perlu tahu bahawa Rasulullah SAW diutuskan untuk Bašhīr (pembawa berita gembira) dan Naḏzīr (peringatan).

Selain baginda mengkhabarkan tentang syurga, baginda juga mengkhabarkan tentang neraka.

Selain baginda memujuk, baginda juga menggertak. Seimbang.

Rasulullah SAW juga berlembut, tetapi baginda juga bertegas.

Rasulullah SAW walau pemaaf dan toleransi, tetapi baginda juga penghukum.

Malah, Allah juga bukan ar-Roḥīm semata-mata, tetapi Dia juga adalah al-Muntaqim, al-Qohhār, al-Muḏzill, al-Qōbiḍ dan lain-lain namaNya yang menunjukkan kekerasan.

Dalam seruan kepada pengamalan agama ini, ada at-Taġhrīb (penggalakan) dan at-Tarhīb (pemomokkan). Dalam perlaksanaan agama, ada yang dalam kategori al-ʿAzīmah dan ada yang dalam kategori rukhsah.

Inilah hikmah dalam agama. Adanya kelembutan dan adanya ketegasan. Agama tidak terhad hanya satu pendekatan sahaja. Itu bukan hikmah.

Agama ini bukan untuk pemakan candu yang hanya untuk mengkhayalkan apa yang rasa sedap di jiwa bagi penganutnya dan agama ini juga bukan untuk rejim buas yang ke sana ke sini untuk menjadi samseng moral.

Ia adalah untuk orang yang mendambakan kebijaksanaan.

Ini perkara yang perlu diperingatkan terlebih dahulu supaya kita faham hakikat pendekatan dalam agama ini.

Kemudian, bila masa perlunya untuk kita mengingatkan hadis-hadis ancaman ini?

Saya ambil saranan daripada ustaz Noor Deros dalam hal ini. Dalam berinteraksi dengan isu bunuh diri, ada tiga pendekatan :

(a) Prevention (Pencegahan)
(b) Intervention (Campur tangan)
(c) Postvention (Bantuan kejiwaan untuk keluarga mangsa selepas kejadian bunuh diri).

[Rujuk : https://www.facebook.com/sonads1122/posts/10158060758297227].

Untuk bab ancaman, lebih patut kita lakukan pada fasa pencegahan, bukan ketika intervention atau postvention. Lebih-lebih di situasi sekarang yang merebaknya kemurungan. 

Hari lain selepas tamat Covid dan ekonomi menuju kepada pemulihan, ok lagi agaknya.

Samalah seperti dakwah kepada bukan Muslim. Janganlah hanya membicarakan yang menggertak dan menyentapkan mereka, tetapi carilah pendekatan yang melembutkan jiwa dan rasa persahabatan.

Yang terakhir sekali dan yang paling penting sekali untuk diperingatkan bagi setiap Muslim adalah jangan sengaja kita ingin menjadi orang yang membenamkan hadis-hadis ancaman tentang ini atau menyembunyikannya atau mengabaikannya atau memandang remeh, apatah lagi ada memendam rasa sekelumit tidak puas hati dan rasa kebencian terhadap hadis tersebut apabila diperlukan untuk menyampaikannya.

Sesiapa yang ada memendam perasaan itu, maknanya dia ada prasangka buruk terhadap Rasulullah SAW seakan-akan baginda tidak ada kebijaksanaan ketika berbicara tentang bunuh diri. Seolah-olah baginda terlepas pandang atau jahil tentang aspek psikologi.

Jangan bagi sesiapa pun dari kalangan Muslim ada sisa perasaan ini walau sebiji zarah. Ini sesuatu ketegasan yang perlu diingatkan.

Anda mungkin memerlukan perbezaan pendekatan ketika suasana merunsingkan sekarang ini, tetapi jangan sampai ada tanggapan walau secubit pun bahawa hadis-hadis ini seolah-olah wujud untuk menambahkan lagi luka di jiwa berkecamuk bagi Muslim yang beriman kepada Allah dan hari akhirat.

No comments:

Post a Comment