Sunday, 25 July 2021

Mengapa Manhaj Mutaqaddimin Sentiasa Sahaja Bertelagah Dengan Manhaj Mutaakhirin?

Dr Rozaimi tak jawab tentang isu taksub al-Albaniyy. Saya rasa ada sebab Dr tak jawab dan saya faham kenapa. Pertama, tahap kecelikan ilmu hadis di negara kita ni masih rendah. Nak faham macam mana takhrij hadis pun belum lagi, apa lagi nak bincang yang lebih kompleks seperti isu pergelutan manhaj. Jadi, susah nak cerita isu pertelagahan antara pengikut al-Albaniyy dengan selainnya.

Kedua, oleh sebab pengaruh al-Albaniyy ni besar dalam komuniti salafi, saya rasa Dr Rozaimi pun tak boleh suka-suka jentik dan bincang konflik secara direct. Sudahlah tahap kecelikan kemahiran ilmu hadis tempatan masih rendah, kemudian nak bincang pula bagaimana pertembungan paksi dari Dr Hamzah al-Malibariyy, Dr Yasin Mahir al-Fahl dan pelbagai mereka yang lain yang berbeza manhaj dengan al-Albaniyy dan seangkatannya walaupun sama-sama salafi. Ia sukar untuk dihadam bagi konteks tahap kecelikan ilmu hadis tempatan kita dan iamelanggar tradisi penerimaan salafi terhadap al-Albaniyy. Sebab itu, mungkin Dr Rozaimi tak respons persoalan tersebut.

Apapun, saya cuba kongsi sedikit yang saya tahu mengapa mereka yang bermanhaj mutaqaddimin ni selalu target al-Albaniyy dan mereka yang dinisbahkan kepada bermanhaj mutaakhirin walaupun sama-sama salafi.

Seperti yang Dr Rozaimi sudah terangkan yang penggerak manhaj mutaqaddimin, Dr Hamzah al-Malibariyy ni cuba mengembalikan semula tradisi ilmu 'ilal al-Hadits yang menjadi pengamalan dalam nuqqad mutaqaddimin. Entah macam mana boleh dapat sambutan meluas di seluruh dunia, tapi mungkin sebab berlakunya saling berbalas kritikan antara Robi' bin Hadi al-Madkhaliyy, tokoh ultrasalafi berpengaruh (yang Dr Maza selalu kutuk dan sindir) dengannya. Mungkin dari sini, al-Malibariyy dapat nama.

Siapa yang belajar ilmu 'ilal al-Hadits, dia tahulah yang kenapa Dr Rozaimi sendiri mengaku yang dia mengikut mutaqaddimin dan saya sudah tengok pembentangan salah satu pandangannya menyalahi penilaian tashih oleh al-Albaniyy semasa berbalas kritikan dengan ARG. Begitu juga dia akan tahu mengapa pembawa manhaj mutaakhirin akan ada pergeseran bersama mereka yang bermanhaj mutaakhirin.

Saya masa mula-mula mempelajari ilmu 'ilal al-Hadits dulu, saya belum kenal lagi nama "manhaj mutaqaddimin", apa lagi nama Dr Hamzah al-Malibariyy. Tentulah bila belajar ilmu hadis, kemahiran sebenar bila kita praktikkan. Saya carilah beberapa hadis yang menjadi pilihan pensahihan al-Albaniyy ni untuk buat ujian kendiri. Memang akhirnya beberapa pandangannya terpaksa saya berselisih sebab saya lihat tak menepati apa yang saya dalami dulu dalam ilmu 'ilal al-Hadits.

Saya sampai menyimpulkan yang al-Albaniyy ini adalah tasahul dalam tashih hadis. Saya pun sebenarnya tak terfikir nak cakap mengapa pengamalan al-Albaniyy ni semacam mengabaikan kaedah ta'lil yang jelas dalam bab mukhalafah, mursal khofiyy perawi dan sebagainya.

Rupanya apabila saya mula kenal nama manhaj mutaqaddimin dan saya mula mendalaminya (saya tidak ingat bila masa saya mula dan apa faktor yang menyebabkan saya mula kenal manhaj ini), ia membenarkan persangkaan saya selama ini. Tampak bukan lagi masalah al-Albaniyy atau Ahmad Muhammad Syakir atau Syu'aib al-Arnauth semata-mata, tapi seluruh sistem yang ada pada manhaj mutaakhirin.
 
Semakin saya tengok dan banding penilaian antara pendukung mutaqaddimin dan pembawa mutaakhirin, jelas pada saya yang kita perlu mengembalikan tradisi ini serta mengingatkan betapa kaprahnya pengamalan mutaakhirin.
 
Awak lihat, mengapa pejuang manhaj mutaqaddimin sangat marah dengan pengamalan mahaj mutaakhirin. Bukan tak ada asas radang berang mereka. Manhaj mutaakhirin ni sangat nyata tasahul, bahkan caca merbanya, malah sampai adanya pertentangan yang nyata antara penilaian mutaqaddimin dengan mereka.

Saya beri dua contoh popular yang menjadi kepincangan manhaj mutaakhirin. Pertama, al-Imam ad-Daroquthniyy mengumpulkan riwayat yang bermasalah untuk dianalisis, kemudian beliau merajihkan hadis mawquf adalah yang lebih benar. Datang mutaakhirin ini kata hadis marfu' adalah sahih kerana ada pelbagai thuruq yang saling menguatkan! Bahkan thuruq tersebut yang sememangnya lemah dikatakan menjadi kuat kerana terkumpulnya pelbagai jalur.

Kedua, imam nuqqod menyatakan bahawa riwayat perawi dari fulan adalah mursal sehingga tidak boleh dijadikan hujah. Tapi, mutaakhirin kata ia adalah sahih kerana perawi itu adalah tsiqah!
Tahu tak pertentangan nyata terhadap para imam ini bukan lima enam kali? Tapi, ia telah berkali-kali seolah-olah sudah menjadi satu sistem! Sekarang faham tak mengapa pendukung manhaj mutaqaddimin ni bising sangat tentang pembahagian manhaj mutaakhirin dan mutaqaddimin? Saya rasa Dr Rozaimi dan Dr Kamilin mungkin lagi nampak apa yang saya nyatakan ini.

Mutaakhirin seolah-olah memperbodohkan imam ad-Daroquthniyy yang tidak mensahihkan hadis yang marfu' seolah-olah beliau tidak tahu kaedah mutabaah atau syawahid! Mutaakhirin seolah-olah menyatakan bahawa para imam yang tolak periwayatan mursal dari seorang syeikh tersebut tidak mengetahui bahawa perawi itu tsiqah! Tapi, mereka dengan selambanya kata kamilah ahli hadis al-Atsariyy dan pengikut salaf, dalam masa yang kami tak taksub dengan ulama. Mereka adalah rijal dan kami juga adalah rijal! (هُمْ رِجَالٌ وَنَحْنُ رِجَالٌ).

Kesilapan parah macam ni yang telah jadi satu hasil sistem telah mencabar kesabaran pejuang mutaqaddimin. Sebab tu lah mereka mula bangkit dan lawan. Al-Albaniyy ni memang jadi target kegemaran sebab di pembawaan dia sangat berpengaruh masa zaman dia. Ada je tokoh yang lain, tapi sebab al-Albaniyy ni aktif dalam penilaian hadis dan kritik hadis.
 
Pentaksub al-Albaniyy pula sampai kata "pembahagian manhaj mutaakhirin dan mutaqaddimin ini bidaah", malah sampai perli orang yang melimitasikan tahih dan ta'lil hanya kepada mutaqaddimin.
Jujurlah saya cakap. Orang yang perli macam tu tak faham dasar besar perjuangan manhaj mutaqaddimin. Saya kutip kalam al-Hafiz Ibn Hajar al-'Asqalaniyy supaya kita faham dasar besar perjuangan manhaj mutaqaddimin :

فمتى وجدنا حديثا قد حكم إمام من الأئمة المرجوع إليهم بتعليله فالأولى إتباعه في ذلك كما نتبعه في تصحيح الحديث إذا صححه. وهذا الشافعي مع إمامته يحيل القول على أئمة الحديث في كتبه فيقول: "وفيه حديث لا يثبته أهل العلم بالحديث". وهذا حيث لا يوجد مخالف منهم لذلك المعلل، وحيث يصرِّح بإثبات العلة فأما إن وجد غيره صححه فينبغي حينئذ توجه النظر إلى الترجيح بين كلاميهما. وكذلك إذا أشار المعلل إلى العلة إشارة ولم يتبين منه ترجيح لإحدى الروايتين، فإن ذلك يحتاج إلى الترجيح. والله أعلم.

Bilamana kami mendapati suatu hadis yang telah salah seorang daripada para imam yang dirujuk kepadanya telah menghukum ta'lilnya, maka lebih utama adalah mengikutinya pada hal itu sepertimana kami mengikutinya pada tashih hadis apabila beliau mensahihkannya. Inilah asy-Syafi'iyy, meski tahap keimamannya, beliau menghalakan pendapat kepada para imam hadis dalam beberapa kitabnya, lalu berkata: "Padanya terdapat hadis yang tidak disabitkan oleh ahli ilmu dalam hadis". Ini ketikamana tidak ditemukan orang yang menyalahi dari kalangan mereka pada penilaian ta'lil itu dan ketikamana mengeksplisitkan penetapatan illah. Adapun jika seseorang menemukan selainnya yang mensahihkannya, maka seyogianya untuk menghadapkan pemerhatian kepada tarjih antara dua kalam pada ketika itu. Sedemikian apabila penta'lil mengisyaratkan kepada illah dengan satu isyarat, tetapi tidak nyata tarjih untuk salah satu dua riwayat, maka itu diperlukan tarjih. Wallahua'lam". [An-Nukat 'Ala Ibn as-Solah, 2/117].

Maksudnya adalah pendapat para mutaqaddimin dalam ta'lil, misalnya contoh ad-Daroqutniyy tadi, maka sepatutnya kita akur dan terima serta mendahulukan pandangannya kerana kita iktiraf kewibawaan ilmu mereka dan ketajaman penilaian mereka.

Bila mereka mawquf adalah sahih, jangan salahi dengan kata marfu' adalah yang sahih. Bila mereka kata hadis tersebut tak boleh jadi hujah kerana adanya mursal, tak boleh kata ia adalah mawsul. Bila mereka kata riwayat itu idhtirab dan tak boleh jamak atau tarjih, jangan pandai-pandai kata riwayat pelbagai itu adalah thuruq yang saling menguatkan dengan kaedah syawahid dan mutabaah! Ketetapan mereka ini jangan sesuka hati dilanggar.

Itu kalau tiada siapa yang menyalahi ketetapannya atau tiada indikasi jelas yang menunjukkan sebaliknya. Kalau ada dua pertentangan atau lebih, barulah kita mula cari tarjih dan pilih salah satu yang kuat menepati dapatan analisis kita. Kemudian, apabila para imam mengisyaratkan adanya illah bagi satu riwayat khusus, tapi tak sentuh apa-apa pun pada riwayat yang lain yang berkaitan, maka di sini juga ada ruang untuk kita ijtihad dan tarjih.

Kata-kata al-Hafiz ini sudah cukup menggambarkan dasar besar perjuangan manhaj mutaqaddimin. Bandingkanlah sendiri bagi sesiapa yang celik dalam ilmu hadis betapa jauh bezanya apa yang menjadi ketetapan al-Hafiz ini dengan pengamalan mutaakhirin. First rule yang jadi ketetapan al-Hafiz ini pun mereka terang-terangan langgar selalu. Yang perli tu entah taksub atau sebenarnya buta realiti pengamalan yang berbeza.

Sejujurnya, saya secara peribadi sebenarnya tidak suka pembahagian nama manhaj mutaqaddimin dan mutaakhirin sebab nak mengkelompokkan kedua-dua ini ada lompongnya. Saya berharap ada istilah lain yang lebih baik daripada ini. Cuma, perakuan saya bahawa sememangnya wujud pengamalan yang berbeza sampai wujudnya dua manhaj yang berbeza tetap tidak berubah.
 
Saya simpulkan dasar besar yang membezakan manhaj mutaqaddimin dengan mutaakhirin :

a) Nuqqod mutaqaddimin adalah hakim mutlak dalam bab penilaian perawi, tashih dan ta'lil meskipun pandangannya berseorangan dan tidak wujud perselisihan. Bab ini, pengamal manhaj mutaakhirin selalu langgar sepertimana yang telah saya cerita pada dua contoh tadi.

b) Penerapan tradisi ilmu 'ilal. Ingat ya. Bukan semua ziyadah tsiqah boleh diterima dan wujudnya pelbagai thuruq bukan bermakna ia boleh dijadikan mutabaah atau syawahid. Berbeza dengan mutaakhirin yang agak tasahul dalam penerimaan ziyadah tsiqah dan mutabaah atau syawahid.

c) Seruan kepada kajian semula istilah yang dikanunkan oleh mutaakhirin. Maksudnya, kita perlukan kajian secara komprehensif untuk menelaah semula istilah-istilah yang digunakan dalam mutaqaddimin supaya tepat kefahaman penggunaan mereka.
 
Sekarang ini, sudah ada banyak tesis atau karya yang telah cuba membentangkan dapatan mereka yang kita tidak boleh sama sekali mengabaikannya. Saya tengok, kedua-dua mereka dari manhaj berbeza ini menyambut baik seruan ini dan rasanya tidak ada konflik besar dalam isu ini.

Siapa yang mendalami kedua-dua manhaj ini, insyaAllah, ia akan berputar pada tiga isu mendasar ini.

No comments:

Post a Comment