Saya rasa sebabnya respons masyarakat sudah tidak tahan lambakan dan berleluasanya golongan penceramah dan orang yang menyampaikan agama ke sana ke sini yang dapat jemputan dari pelbagai tempat, tetapi ilmu asas dan yang paling vital untuk seorang ilmuwan yang diangkat sebagai tokoh rujukan masyarakat awam, bahasa Arab langsung tidak dikuasai.
Masyarakat sudah tidak mahu gelaran ustaz ini sewenang-wenangnya diberikan kepada orang yang hanya boleh sembang dan goreng tentang agama. Lagi-lagi yang graduan program realiti TV, tetapi layanan dari sebahagian orang diberikan sama macam orang yang sudah menempuh pembelajaran yang perit dan panjang.
Memanglah asalnya "ustaz" ini sebenarnya merujuk kepada cikgu atau pengajar, tapi penggunaan resam tempatan kita adalah untuk yang mengajarkan agama. Orang mungkin tidak ada masalah kalau pemberian gelaran "ustaz" ini yang terhadkan diri untuk cikgu sekolah sama ada sekolah rendah atau menengah atau mungkin untuk tok imam, tok bilal, guru iqra' mengajar budak mengaji atau yang di kelompok terpencil.
Isunya adalah apabila gelaran "ustaz" ini sudah ada nilai "komersial" dan yang menjadi pendakwah bebas. Mereka ini dijemput ke pelbagai untuk menyampaikan kuliah dan mengajarkan kitab secara formal sama ada di masjid atau surau atau di tempat yang lain. Yang mereka ajarkan dan sampaikan adalah topik yang sebahagiannya rumit bersama dengan audiens yang dewasa yang sudah ada daya pemikiran yang tinggi.
"Ustaz" sebegini sudah ada kedudukan khas yang ada perkongsian autoriti ilmu walaupun sedikit seumpama mufti atau alim ulama.
Kita tahu kalau kita tidak meletakkan kriteria yang tinggi untuk seperti ini, dikhuatiri yang tidak mahir bahasa Arab atau orang yang tidak melepasi pembelajaran secara formal pun diletakkan di barisan mereka yang setara dengan orang yang mahir bahasa Arab dan seumpamanya.
Itu sebabnya wujud perbincangan untuk menaikkan kriteria gelaran "ustaz" ini.
Samalah seperti gelaran "syeikh" pun. Walaupun pada asalnya merujuk kepada orang tua yang senior atau salah satunya, tetapi penggunaannya menurut adat masyarakat ini ada kedudukannya yang khas yang lebih tinggi dari ustaz. Tidak bolehlah sesuka hati mursyid tarekat terus dipanggil "syeikh" tanpa menyemak dahulu kewibawaan ilmunya.
Samalah seperti gelaran "tuan guru". Cikgu Matematik pun boleh dipanggil "tuan guru" kalau dia seorang lelaki dan pengajar. Akan tetapi, resam penggunaan masyarakat untuk yang mana? Ia tidak diberikan sembarangan kepada mana-mana cikgu pun. Samalah seperti gelaran "ustaz" atau "syeikh".
Cuma, dalam meletakkan kriteria itu, pastikan realistik. Contoh yang tidak realistik adalah kemahiran bertutur. Ramai sebenarnya yang mahir dalam ilmu agama dan ilmu alat yang boleh menghurai kitab Arab, tetapi agar sukar berkomunikasi.
Ustaz Zaharuddin Nawi Qasimi pernah bercerita yang tuan guru di Deoband pun sebenarnya bukan mahir sangat bertutur bahasa Arab. Malah, Ustaz Zaharuddin pun mengaku bahawa dia juga tidak mampu bertutur bahasa Arab walaupun mengajar kitab bahasa Arab aras tinggi, Mughni al-Labib karya Ibn Hisyam.
Baru-baru ini ustaz Wan Ji Wan Hussain pun memaklumkan di hantarannya baru-baru ini bahawa dia juga tidak mahir menulis bahasa Arab. Hanya gitu-gitu sahaja.
Rasanya kalau orang ini berjumpa dengan tuan guru Deoband atau tuan guru di pondok atau ustaz Zaharuddin atau ustaz Wan Ji, entah-entah dia akan panggil mereka ini sebagai "tuan" sebab tidak mampu bertutur bahasa Arab! Mahukah sebegitu?
Sebab itulah wajar realistik. Penguasaan bahasa Arab itu memang penting untuk gelaran "ustaz", tetapi tidak semestinya sampai boleh bertutur.
Kalau penguasaan ilmu lain, itu terpulang pada masing-masing. Cuma, janganlah kriterianya sama seperti mufti, syeikh atau tuan guru.
Nama pun "ustaz". Kita boleh kata gelaran ini adalah gelaran minimum dalam kedudukan autoriti ilmu.
No comments:
Post a Comment