Monday, 28 June 2021

Ustaz Atau Ustazah Bukan Semestinya Ahli Terapi Dan Kaunseling

Ustaz atau ustazah bukan semestinya orang yang boleh berikan kaunseling atau terapi.

Di kelas tadi, ada seorang bertanya kepada ustaz dalam kelas fiqh untuk nasihat kekeluargaan yang adik-beradiknya bertelingkah kerana perebutan harta warisan.

Semestinya kita dengar jawapan biasa tentang larangan memutuskan silaturrahm, berusaha untuk berdamai dan selesaikan permasalahan itu di mahkamah atau dapatkan nasihat daripada guaman.

Saya tak tahulah kalau ini jawapan yang memuaskan penanya sebab dia sendiri pun tak berikan apa-apa respons lanjut.

Dan saya pun tak tahu kalau ustaz itu beri nasihat berdasarkan pengalamannya dalam kegiatan dakwah di Sabah. Kita pun tak berhak nak nilai yang kaunseling bukan kepakarannya.

Lagipun ustaz ini pun agak berusia dan senior. Jadi, pengalaman berhadapan dengan orang mungkin sudah bermacam-macam. Cuma, kes seperti ini, saya tak ambil tahu.

Cuma bila tengok situasi begini, sebenarnya dapat juga kita pelajari terdapat perbezaan antara nasihat dan kaunseling atau terapi.

Nasihat ini, boleh je semua ustaz dari pelbagai jurusan boleh beri walaupun sekadar mengajar ilmu bahasa. Kadang yang agak pekat dalam teologi atau fiqh pun boleh sahaja beri nasihat yang umum dan berikan ceramah motivasi.

Cuma, kemahiran kaunseling dan terapi ini sangat berbeza. Ia adalah cara untuk kita memujuk, menenangkan jiwa, memahami perasaannya yang tulen, membaca apa yang di fikiran secara permukaan, cara kita memberi respons dan cara kita salurkan bantuan moral untuk dia bertahan atau bangkit.

Semua ini bukan semudah cakap atau senaraikan tips. Ia adalah kemahiran yang terbentuk dengan pembelajaran secara khusus dari ahlinya dan berhadapan dengan pelbagai jenis orang. Barulah hikmah dan kebijaksanaan dalam memberi nasihat itu terbit dan mampu memberi kesan yang berguna di jiwa seseorang.

Petah kata-kata atau mampu mengungkap kalimah atau jarang yang jarang digunakan seperti ayat puitis atau bombastik bukanlah pembantu yang sepenuhnya.

Kita perlu hargai dan dalami seni khusus dalam kaunseling atau terapi.


No comments:

Post a Comment