Apabila
sudah masyhur dan menjadi figura penting yang menjadi kunci utama dalam
pembinaan naratif, ia mampu menjadikan seseorang mengabaikan kapasiti
dan kemampuan diri semata-mata untuk kekalkan sokongan orang ramai yang
berpihak kepadanya.
Apabila seseorang itu masyhur, seseorang itu
akan menjadi ikon rujukan dan paksi kepada arus aliran semasa.
Disebabkan seseorang itu popular, dia akan dimintai fatwa daripadanya,
ditanyakan pendapatnya dan diambil kalamnya sebagai pemberat.
Oleh
sebab orang ramai berpusu-pusu mencarinya kerana dia diangkat dan
dijulang, ia benar-benar akan mengujinya sejauh mana dia berwaspada
dengan kemampuan yang dia dapat pikul.
Bayangkan jika seseorang
ada capaian pengaruh kepada 10,000 orang. Boleh jadi 7,000 daripadanya
akan berpihak padanya dan 2,000 daripada mereka akan jadi penjilat tegar
yang fanatik kepadanya sehinggakan yang jelas silap pun masih ingin
duduk bernaung di bawah ketiaknya. Dengan 2,000 orang ini sahaja sudah
memadai untuk dia gerakkan dan manipulasi dengan dakyahnya.
Siapa sahaja yang tidak takjub dengan perolehan ini? Dari sinilah dia akan diuji.
Apabila
ada pengaruh, ia membina kekukuhan keegoan dan serta mempersiap
hulubalangnya untuk menyergah mana-mana lawan yang mendepaninya. Apabila
ramai yang memberikan nobat adiwangsa, dia merasakan bahawa dia layak
memimpin, mengetahui, mengepelai dan mengemudi gerakan yang dia bawa dan
perjuang.
Terbinalah satu falasi daripada sini. Argumentum Ad
Populum atau seangkatan dengannya. Oleh sebab banyak pengaruh dan ramai
kawan, maka orang itu dianggap sebagai pihak benar. Dengan ramai
hulubalang yang bersamanya membantai seterunya, maka yang dihinjak dan
yang dinista itu adalah di pihak yang salah. Cukup hanya memainkan
sentimen mereka di sekelilingnya, 2000 daripada mereka akan menjadi
pembela dan penggiat kepada gagasan dan rintisannya.
Oleh sebab
ramai yang menyokongnya, maka dia dianggap memiliki upaya yang besar
untuk merangkul apa yang dia mahu di hadapan matanya. Oleh sebab ramai
yang mejadi teman seperjuangannya, maka dia merasakan bahawa dia
memiliki kedudukan untuk gah setara. Hakikatnya, dia tidak lebih
daripada sang Apache yang rapuh yang ingin merempuh kubu musuh hanya
kerana bergantung kepada jumlah ramai di belakang bersamanya.
Perlu
diwaspadai bahawa bukan semua yang rapat dan bersama kita semuanya
tulus. Sebahagiannya penunggang, sebahagiannya tidak lebih daripada simp
kerana terpesona dengan rupawan yang menggoda, sebahagiannya opportunis
yang ambil kesempatan dan sebahagiannya hanya menumpang kemahsyuran
sahaja. Malah, lebih teruk, sebahagiannya sekadar bermuka-muka sahaja.
Sampai
masa, akui kekurangan diri dan bina jaringan dengan bijak pandai,
cendekiawan dan mereka yang berkeahlian dalam bidang tersebut. Di
samping ia menampung kekurangan kita, ia menjadi faktor pembantu untuk
kita memperbaiki diri dan mengawasi kapasiti kita.
No comments:
Post a Comment