Sunday, 16 May 2021

Dunia Angan-Angan Utopia Sebahagian Agawaman

Kalau duduk di dunia utopia, seronok cakap dan dengar cakap macam sebegini. Ada agamawan memang suka berangan hidup di dunia utopia.
 
Sama macam ada agamawan selalu berkata: "Jangan takut anak ramai. Anak itu rezeki daripada Allah". Lalu, dimaniskan bicaranya dengan membaca ayat-ayat al-Quran tentang jaminan rezeki dan kisah-kisah wali.
 
Akan tetapi, orang bercakap tentang realiti. Anak ramai pun kalau ia akan menjadi bebanan akan datang, tidak ada guna. Ingat senang untuk jaga sebelas orang anak?
 
Anak kalau mahu salin pakaian bagaimana? Aurat bagaimana? Ruang privasi bagaimana? Keselesaan rumah bagaimana? Mesti rumah mahu kipas supaya anak selesa belajar dan beraktiviti di rumah.
Kemudian, mesti ada ruang yang senyap supaya dapat beribadah dan fokus kepada aktiviti yang memerlukan usaha sendiri. Lebih-lebih lagi ketika PKP sekarang ini. Kalau rumah sesak dengan orang dan bising, bagaimana?
 
Itu belum lagi tanggungan nafkah wajib. Sebelas orang anak kalau anak kayangan boleh lagi. Bagaimana dengan orang yang mahu belanja sardin pun tidak mampu?
 
Jangan berangan hidup di utopia. Jaminan rezeki pun kalau mahu dapat perlu ikut saluran yang betul. Bukan semberono.
 
Sebab itu jika mahu rezeki yang luas daripada Allah, wajib bekerja. Bukan duduk di tikar sejadah sepanjang masa. Walaupun ganjaran istighfar adalah pembuka pintu rezeki, tetapi jika tidak bekerja, apa guna? Emas bukan turun daripada langit secara percuma.
 
Kalau mahu rezeki daripada pembacaan al-Quran, maka jaga makhraj huruf, sifat hurufnya dan tajwidnya. Bukan sebarangan membaca. Sebegitulah solat dan amal ibadah lain.
 
Mahu rezeki melalui anak, nafkah jaga dengan betul dan hak-hak anak perlu dijaga. Barulah pintu rezeki terbuka melalui anak.
 
Kalau mahu syarikat dijamin rezeki kemakmuran, lantik kepemimpin yang boleh jaga syarikat. Jangan sekadar tengok tahap mana lebai dalam agama. Pakar fiqh kewangan Islam pun belum tentu boleh jadi CEO Tabung Haji.
 
Kalau mahu rezeki pertolongan Allah ketika perang, sediakan kelengkapan senjata yang secukupnya dan semampunya, bina strategi peperangan dan usahakan untuk melahirkan tentera yang berkemampun untuk bertempur semampunya. Selebihnya tawakkal dan doa. Bukan semberono baca bismillah, kemudian membabi buta pergi menyerang kubu musuh tanpa strategi dan tanpa ada kelengkapan. 
 
Kalau bom di tempat orang awam tidak berdosa dan tiada kaitan dengan perang, ini bukan jihad yang diterima. Tentu sahaja ia tidak diberkati dan dijamin rezekinya.
 
Sekarang masuk sedekah. Kalau mahu dapat jaminan rezeki melalui sedekah, yang pertama sekali, jaga integriti dan ketelusan. Wujudkan komuniti yang ada sikap transparensi dan berkredibiliti dalam soal pengurusan kewangan. Bagaimana orang mengharap rezeki dapat disemai dalam masyarakat kalau orang di dalamnya adalah korup?
 
Kalau mahu sedekah yang menjanjikan rezeki yang luas, maka pastikan sedekah itu sampai kepada yang memerlukan secara yakin dan pasti. Zakat kepada orang yang tidak berhak pun tidak dijamin rezeki, apa lagi kalau sedekah itu sampai kepada orang yang bukan seberhaknya!
 
Bukan masalah orang tidak yakin jaminan rezeki, tetapi perlaksanaan agar sampai terbukanya rezeki itu bagaimana? Inilah titik persoalannya.
 
Kemudian, setiap orang tidak sama. Bukan semua orang adalah wali Allah. Bukan semua orang dikurniakan Allah untuk bertajrid secara putus. Jangan implementasikan nas-nas agama seolah-olah para pendengar terus boleh jadi wali pada hari esoknya. 
 
Saiz kasut manusia berbeza-beza. Jangan menyamakan tahap setiap orang. Orang kaya sepatutnya ditekankan untuk menggalakkan bersedekah. Orang miskin sepatutnya ditekankan untuk bersabar. Para pemimpin sepatutnya ditekankan untuk berlaku adil. Pengurus kewangan sepatutnya ditekankan untuk menjaga amanah. Dan seterusnya.
 
Sekarang ini, soal sedekah sudah selesai di bahu pemberinya. Kita baca hadis-hadis galakan bersedekah dan peringatan agar tidak bakhil pun, mereka akan kata: "Saya sudah memang suka bersedekah dahulu sebelum engkau bacakan hadis-hadis ini". 
 
Sekarang ini, bagaimana pula orang yang menjaga amanah kewangan? Jika dibacakan hadis-hadis tentang kewajipan menjaga amanah kepada pemegang amanah ini, adakah mereka telah melakukannya? Adakah mereka akan berkata: "Saya sudah pun menunaikan amanah sebelum engkau bacakan hadis-hadis ini"..? Inilah persoalannya.
 
Memahami titik persoalan ini akan membezakan orang yang memandang kepada realiti dan orang yang hanya hidup dalam dunia utopia.

No comments:

Post a Comment