Friday, 16 April 2021

Pandangan Dr. Umar Muhammad Noor Pada Manhaj Ilmu Hadis Ibn Jarīr aṭ-Ṭobariyy Dalam Tahḏzīb al-Āṯsār Dan Peruntuhan Asas Piawaian al-Malībāriyy

 

Tak sangka tokoh hadis tanah air kita, Dr. Umar Muhammad Noor beri pandangan sebegini dalam bukunya Aliran Kritik Hadis Semasa, iaitu Ibn Jarīr aṭ-Ṭobariyy mengamalkan penilaian hadis yang berbeza dengan ahli hadis yang lain melalui karyanya yang berjudul Tahḏzīb al-Āṯsār.

Ia membenarkan sangkaan saya selama ini terhadap karya Tahḏzīb al-Āṯsār. Alhamdulillah. Pada awal pembacaan karya ini, saya sememangnya kehairanan apabila melihat cara beliau menilai sahih bagi sesuatu hadis itu menyalahi cara ahli hadis yang lain yang mana ia dinilai maʿlūl oleh ahli hadis. Antaranya adalah menguatkan status bagi sesuatu hadis yang marfūʿ yang dhai ituf dengan hadis mawqūf. Padahal, ahli hadis lain mengatakan yang mawqūf pada hadis itu lebih sahih. 

Selama ini, saya sekadar pendamkan sahaja bahawa Tahḏzīb al-Āṯsār ini adalah kelainan yang menyalahi cara ahli hadis lain dan manhajnya agak berbeza dengan pengamalan cara penilaian ʿilal. Namun, setelah melihat pembentangan tokoh hadis tempatan kita, nampaknya saya boleh mengambil pendirian yang sama seperti beliau.

Kalau begini, ia sudah cukup meruntuhkan asas gambaran al-Malībāriyy yang membezakan manhaj mutaqoddimīn dan mutaʾakẖkẖirīn. Ini kerana Ibn Jarīr aṭ-Ṭobariyy hidup sezaman para nuqqōd hadis yang terbilang dalam ilmu ʿilal, tetapi mengambil pendekatan yang berbeza daripada yang lain. Kalau ikut pengelasan masa, aṭ-Ṭobariyy adalah daripada golongan mutaqoddimīn. 

Oleh itu, tanggapan bahawa mutaqoddimīn dan mutaʾakẖkẖirīn adalah suatu manhaj selari antara kedua-duanya dan masing-masing memiliki perbezaan metodologi yang ketara berasaskan pertimbangan zaman adalah salah. Penamaan mutaqoddimīn dan mutaʾakẖkẖirīn adalah tidak sah sama sekali disebabkan asasnya tidak cukup kuat dengan bukti manhaj Ibn Jarīr aṭ-Ṭobariyy ini yang membatalkan penamaan manhaj ini. 

Saya memang daripada dahulu lagi sememangnya tidak selesa pembezaan seperti ini kerana tidak ada pendefinisian jelas untuk mutaqoddimīn dan mutaʾakẖkẖirīn melainkan melalui kaca mata manhaj meskipun diinspirasikan daripada garis masa zaman. Oleh itu, sebenarnya apa yang diperkenalkan al-Malībāriyy sebenarnya adalah piawaian beliau sendiri atau dengan kata lain, beliau mengasaskan mazhab beliau sendiri, bukan sememangnya mutlak manhaj mutaqoddimīn atau mutaʾakẖkẖirīn.

Cadangan alternatif adalah perbezaan antara manhaj muḥaddiṯsīn dan fuqaha. Inilah yang selalu ditekankan oleh Dr. Umar Muhammad Noor dan begitu juga sepertimana pengamatan ahli hadis terdahulu. Beliau berpandangan bahawa cara Ibn Jarīr aṭ-Ṭobariyy ini adalah batu asas kepada kaedah yang diguna pakai oleh para fuqaha. Maka, hakikatnya berlaku perbezaan adalah pendekatan cara muḥaddiṯsīn dan fuqaha, bukan mutaqoddimīn dan mutaʾakẖkẖirīn.

Apapun, sebenarnya masing-masing ada piawaian tersendiri dalam penilaian hadis. Walaupun ada pengklasifikasian antara manhaj muḥaddiṯsīn dan fuqaha, boleh jadi bagi setiap tokoh ada cara tersendiri dalam penilaian status hadis. Untuk melabel bagi setiap seorang daripada tokoh sebagai muḥaddiṯsīn atau fuqaha atau kedua-duanya memerlukan pengamatan yang mendalam.

No comments:

Post a Comment