Wednesday, 7 April 2021

Ingin Melahirkan Mujtahid?


Saya tidak mahu mengeluarkan kata-kata yang buruk ataupun sindiran ataupun ejekan. Kalau itu adalah cita-cita pasangan ini, saya doakan Allah bimbing yang terbaik untuk pasangan ini.

Kalau tidak berjaya dalam cita-cita mereka, jika mereka masih berbisa keazaman yang kuat, semoga Allah mengganjari pahala atas kesungguhan yang dia laksanakan.

Apapun, sebenarnya untuk menjadi mujtahid sememangnya memerlukan usaha yang besar.

Di sini, saya tidak ingin fokus semata-mata pada ilmu alat yang penting yang wajib dikuasai bagi mujtahid. Itu semua sudah banyak dibahaskan dalam karya-karya usul fiqh.

Saya cuma simpulkan bahawa untuk menjadi mujtahid mesti menguasai tiga ilmu alat yang penting, iaitu bahasa Arab, ilmu usul fiqh dan ilmu hadis. Ini adalah syarat utama yang diletakkan oleh Syeikh Muḥammad Muṣṭofā al-Marōġhiyy dalam al-Ijtihād Fī al-Islām. Ada juga ilmu yang lain.

Cuma, hadnya ada pelbagai menurut ulama usul fiqh. Saya cadangkan baca karya Taqrīr al-Istinād Fī Tafsīr al-Ijtihād karya al-Imām as-Suyūṭiyy. Di sini, beliau mengumpulkan pelbagai pandangan ulama pendahulunya serta huraian beliau sendiri tentang syarat-syarat mujtahid dan ilmu-ilmu yang wajib dikuasai oleh para mujtahid.

Maksud saya usaha yang besar yang saya ingin fokuskan adalah mesti bersedia menjadi pendidik yang hebat untuk anak, berani membawa dan memperjuangkan perubahan meskipun tidak disenangi masyarakat serta bebas daripada ketaksuban aliran atau mazhab dengan melazimi dengan sunnah dan hujah.

Kita ambil contoh kes keturunan Rasulullah SAW dari keluarga al-Ġhumāriyy, iaitu anak Syeikh Muḥammad bin aṣ-Ṣiddīq. Anak-anak Syeikh Muḥammad kesemuanya ahli hadis mencapai al-Ḥāfiẓ. Adapun mujtahid, saya tidak berani mengitlakkan kesemua anak-anaknya. Yang pasti, yang terbilang dan tersohor di antara mereka adalah Aḥmad, ʿAbdullah, Muḥammad az-Zamzamiyy, ʿAbdul Ḥayy dan ʿAbdul ʿAzīz.

Daripada mana kesemua anak-anak Syeikh Muḥammad ini berjaya merangkul kedudukan ulama kebesaran, mujtahid dan ahli hadis? Ini kerana beliau sendiri adalah mujtahid (atau kalau bukan pun, beliau beriltizam dengan sunnah) dan terbuka dengan pelbagai mazhab serta membawa arus perubahan kepada sufi.

Al-Ḥāfiẓ Aḥmad al-Ġhumāriyy merekodkan kisah hidup ayahnya dalam kitab at-Taṣowwur Wa at-Taṣdīq Bi Akẖbār Ašh-Šhaykẖ Sīdī Muḥammad bin aṣ-Ṣiddīq.

Dalam kitab tersebut, ada kisah memaparkan bagaimana ayah mereka berdebat dengan pentaklid, menyeru kepada sunnah dan menjauhi ketaksuban mazhab meskipun tidak disenangi oleh masyarakat sekeliling.

Apa yang menjadi perjuangan ayahnya membekas dalam diri mereka sehingga itulah yang dibawa dalam keluarga al-Ġhumāriyy sehingga mereka wafat.

Karya-karya peninggalan menjadi bukti bagaimana mereka menyeru kepada ijtihad, membebaskan diri daripada ketaksuban meskipun mereka setia dengan mazhab Mālikiyy kecuali al-Ḥāfiẓ Aḥmad al-Ġhumāriyy yang berpindah ke mazhab ašh-Šhāfiʿiyy serta membawa perubahan dalam dunia kesufian dengan menepis riwayat batil, penafsiran menyeleweng dan pengamalan yang menyimpang serta memartabatkan sinar ilmu hadis dalam keturunan Rasulullah SAW secara khusus dan sufi secara umum.

Saya merasakan kebanyakan sufi agak terasing daripada manhaj keluarga al-Ġhumāriyy ini kerana tidak hidup di kepesatan globalisasi seperti sekarang.

Kemudian, sufi hanya meraikan mereka kerana mereka adalah keturunan Rasulullah SAW, ahli hadis, sama-sama sufi seperti mereka dan melawan al-Albāniyy secara khusus dan wahabi secara umum, tetapi obor perjuangan keluarga al-Ġhumāriyy dalam menjernihkan dan memperbaharui dunia kesufian dengan penentangan terhadap riwayat batil, penafsiran yang menyeleweng dan pengamalan yang menyimpang daripada sunnah serta bebas daripada ketaksuban dan taklid yang jelek tampak tidak begitu dihargai.

Sebab itulah mereka tidak dapat merasakan bagaimana kesan reformasi yang dibawa oleh keluarga al-Ġhumāriyy dalam dunia kesuian.

Walau apapun, bukan kebetulan keluarga al-Ġhumāriyy tiba-tiba lahir menjadi seorang mujtahid dan ahli hadis, tetapi ada didikan dan perjuangan daripada ayahnya. Ayah yang hebat melahirkan anak-anak yang hebat.

Kes di Malaysia pun tidak kurang beza pun. Kita lihat bagaimana anak-anak Sidek yang menjadi jaguhan dalam badminton. Siapa ayahnya? Pembimbing badminton. Atas sebab itulah dia mampu membesarkan anaknya sebagai juara badminton.

Jadi, kalau PU Riz secara khusus mahu melahirkan anak yang mujtahid, maka sememangnya wajar dia juga perlu juga menjadi mujtahid atau sekurang-kurangnya memiliki ciri-ciri mujtahid atau penggerak kepada mujaddid.

Tidak boleh untuk menjadi mujtahid jika tidak berani mengetengahkan dan menggembleng tenaga untuk membawa reformasi. Tidak boleh seseorang untuk menjadi mujtahid jika hanya menjadi petaklid, apatah lagi ikutan itu atas dasar ketaksuban dan sentimental, bukan kerana sunnah atau hujah ilmiah. Ini sama sekali bukan ciri mujtahid, apatah lagi ingin membawa kepada tajdid.

Betul. Menjadi mujtahid atau mujaddid sememangnya ada kekuatan pertikaian antara banyak pihak dan akan menerima banyak sanggahan.

Keluarga al-Ġhumāriyy pun disanggah melalui pelbagai karya. Mereka tidak maksum meskipun dari zuriat baginda. Namun, dari kewibawaan ilmu yang mereka tonjolkan dan kecekalan mereka untuk memperjuangkan pendirian yang sejati dan hujah, kesan-kesan dan warisan-warisan ilmiah mereka dapat dihirup oleh mereka yang terkemudian yang mengambil pelajaran daripada kerancakan keilmuan dan kemeriahan hujah balas.

Oleh itu, kalau ditakdirkan dibekalkan nafas yang lebih panjang, saya tidak akan hairan jika PU Riz akan berhadapan dengan kontroversi jika dia benar-benar ada keazaman yang kuat untuk mencapai cita-cita tersebut. Selagimana atas dasar ilmu yang mapan lagi jitu, tetap tidak ada masalah.

Mungkin ada beberapa kita berbeza pandangan. Asalkan tidak melanggar kod merah dalam neraca ilmu, semoga Allah merahmati kesemua mereka yang terlibat dalam menghidupkan intelektual, mencambahkan lagi idea, mengembangkan kefahaman dan merancakkan aktiviti keilmuan dalam kalangan masyarakat yang tulen.

Semoga berjaya di dunia dan di akhirat buat mereka yang ingin mencari kebenaran, berpegang kepada sunnah dan membawa kepada pemurniaan kepada masyarakat.

Bacaan tambahan tentang manhaj keluarga al-Ġhumāriyy : 

No comments:

Post a Comment