Saturday, 26 December 2020

Tatabbu' ar-Rukẖoṣ Dalam Isu Kelonggaran Fiqh Terhadap Non-Muslim

Dalam ilmu usul fiqh, ada topik perbahasan Tatabbu' ar-Rukẖoṣ (تتبع الرخص), iaitu sikap suka mencari pendapat yang ringan, mudah dan luas dalam pendapat mana-mana mazhab. Maksudnya, seseorang itu mengikut apa sahaja pendapat yang mudah dari pelbagai mazhab tanpa terikat kepada satu mazhab tertentu. 

Ibn ʿAbdil Barr dalam Jāmiʿ Bayān al-ʿIlm Wa Faḍlih menyatakan bahawa pengharaman amalan ini adalah kesepakatan ulama. Jika bukan sepakat pun, ia adalah pendapat dari majoriti yang besar.

Kenapa ulama larang? Sulaymān at-Taymiyy berkata :

إن أخذت برخصة كل عالم اجتمع فيك الشر

"Jika engkau mengambil keringanan dari setiap ahli ilmu, terkumpul segala kejahatan pada engkau". (Jāmiʿ Bayān al-ʿIlm Wa Faḍlih, karya Ibn ʿAbdil Barr, jilid 2, m/s 92).

Al-Awzāʿiyy berkata :

مَنْ أَخَذَ بِنَوَادِرِ الْعُلَمَاءِ خَرَجَ مِنَ الْإِسْلَامِ

"Sesiapa yang mengambil pendapat-pendapat yang pelik dari ulama, maka dia keluar dari Islam". (As-Sunan al-Kubra, karya al-Bayhaqiyy, jilid 10. m/s 356).

Al-Imām an-Nawawiyy berkata :

لَوْ جَازَ اتِّبَاعُ أَيِّ مَذْهَبٍ شاء لا فضى إلَى أَنْ يَلْتَقِطَ رُخَصَ الْمَذَاهِبِ مُتَّبِعًا هَوَاهُ وَيَتَخَيَّرَ بَيْنَ التَّحْلِيلِ وَالتَّحْرِيمِ وَالْوُجُوبِ وَالْجَوَازِ وَذَلِكَ يُؤَدِّي إلَى انْحِلَالِ رِبْقَةِ التَّكْلِيفِ

"Kalaulah seseorang itu dibolehkan mengikuti apa yang dia mahukan, nescaya tidak terlepas dari sikap mengutip keringanan-keringanan mazhab dalam keadaan mengikut menurut hawa nafsu. Seseorang itu akan mudah memilih antara yang menghalalkan, mengharamkan, wajib dan harus. Perbuatan ini boleh membawa kepada terungkainya tuntutan taklif syarak". (Al-Majmūʿ Šharḥ al-Muhaḏzḏzab, jilid 1, m/s 55).

Al-Imām ašh-Šhāṭibiyy berkata :

فَإِذَا صَارَ الْمُكَلَّفُ فِي كُلِّ مَسْأَلَةٍ عَنَّتْ لَهُ يَتَّبِعُ رُخَصَ الْمَذَاهِبِ، وَكُلَّ قَوْلٍ وَافَقَ فِيهَا هَوَاهُ؛ فَقَدْ خَلَعَ رِبْقَةَ التَّقْوَى، وَتَمَادَى فِي مُتَابَعَةِ الْهَوَى، وَنَقَضَ مَا أَبْرَمَهُ الشَّارِعُ

"Apabila zahirnya mukallif mengikut keringan-keringanan mazhab dalam setiap isu dan setiap pendapat yang menyepakati hawa nafsunya, maka tertanggal ikatan takwa, terus-menerus dalam mengikut hawa nafsu dan meruntuhkan apa yang Tuhan yang mensyariatkan agama memintalnya". (Al-Muwāfaqōt, jilid 3, m/s 123).

Al-Ḥāfiẓ aḏz-Ḏzahabiyy berkata :

وَمَنْ تَتَبَّعَ رُخَصَ المَذَاهِبِ، وَزَلاَّتِ المُجْتَهِدِيْنَ، فَقَدْ رَقَّ دِيْنُهُ

"Sesiapa yang mengikut keringan-keringan mazhab dan kekeliruan mujtahid, maka menipislah agamanya". (Siyar Aʿlām an-Nubalāʾ, jilid 8, m/s 90).

Sekarang ini, trend terkini dalam Tatabbu' ar-Rukẖoṣ adalah mencari pandangan yang memihak kepada orang kafir. Semuanya sebab mahu menjaga hati mereka dan kononnya mempromosikan keluasan rahmat Islam.

Tanyalah diri masing-masing. Jika kita mengamalkan Tatabbu' ar-Rukẖoṣ dalam memberikan keluasan dan kemudahan untuk orang kafir, apakah tidak ada harga yang dibayar bagi identiti, harga diri dan maruah Islam serta kemuliaan Islam?

Dampak yang jelas dalam Tatabbu' ar-Rukẖoṣ dalam isu ini adalah isu akidah, kemuliaan Islam dan kesatuan umat Islam serta pengutamaan terhadap Muslim boleh dirunding, malah digadai, diabaikan dan direndahkan jika mahu. 

Apabila ajak kepada pendapat yang menyelamatkan akidah dan mementingkan umat Islam berbanding yang lain atas dasar kepercayaan yang utuh, dikatanya itu adalah bigot, ekstrimis, kolot, jumud, berfikiran sempit, berpanjangan dalam fobia dan lain-lain.

Apabila ajak kepada pendapat yang memenangkan perasaan orang kafir, maka itu dianggap orang yang faham fiqh at-taʿāyušh (فقه التعايش) (fiqh coexistence), mengamalkan keterbukaan dalam beragama dan bermanhaj moderat.

-----------------------------------------

Kepimpinan (peringkat tertinggi) negara, perlantikan hakim syariah, perlantikan amil zakat, pengagihan daging korban dan zakat serta yang lain-lain yang cenderung kepada keharusan, keluasan dan rasa senang untuk orang kafir. Akhirnya, apa yang akan tinggal untuk umat Islam?

Bacaan Tambahan : https://www.facebook.com/photo?fbid=4094568277260401&set=a.344595828924350

Apa antara faktor isu-isu ini sengaja dibangkitkan? Salah satu sebabnya kerana terlalu sibuk apa yang orang kafir rasa terhadap orang Islam dan mahu cari jalan menyenangkan hati mereka.

Samalah juga dalam isu mengucapkan selamat sempena perayaan agama lain atau. Apabila diajak kepada pendapat yang lebih selamat kepada akidah dan umat Islam masing-masing boleh bersatu dan berpegang dengannya, resposnya "ini khilaf" dan "bergantung niat masing-masing apabila mengucapkan selamat".

Kemudian, sibuk apa yang orang kafir kata. "Mereka tiap-tiap tahun tidak pernah terlepas ucap selamat hari raya kepada orang Islam. Tidak rasa kurang sopankah kalau kita tidak balas sebaiknya?".

Inilah akibat mahu sibuk sangat menjengah perasaan kafir. Kita pun tidak pernah minta mereka ucap selamat kepada kita, kenapa tiba-tiba rasa mahu atau terpaksa terhutang budi pula?

Kita pun boleh teruskan perayaan dengan meriah tanpa menagih perhatian dari penganut agama lain ataupun kehadiran mereka dalam majlis perayaan kita. Sama juga dengan mereka dengan perayaan agama mereka. Tidak perlu pun ambil berat apa yang ingin diucapkan dari agama lain.

Akibat ikut sangat perasaan orang kafir, kita lupa al-Walāʾ (الولاء) dan al-Barrōʾ (البراء) dalam isu akidah dan memandang kecil dalam hal ini. Seolah-olah isu syirik dan akidah boleh dirunding, dilobi dan diberi kompromi. Baginya, kemuliaan Islam mestilah apa yang dirasakan senang oleh kafir. 

Sedangkan mereka bukan begitu peduli kepentingan akidah dan sentimen agama kita. Mengapa perlu mengintai apa yang bukan Islam rasa dan mengabaikan apa yang umat Islam sendiri rasakan dalam isu akidah? 

Sekarang, sampaikan dan tegaskan pendirian kepada semua bukan Muslim tentang apa yang umat Islam rasakan. Dengan izin Allah, mudah-mudahan mereka akan memahami sentimen agama kita dan bahagian yang kita sangat tegas padanya.

Kita sudah beri banyak daya pemikiran untuk cari apa yang menyenangkan hati mereka. Sekarang, tiba masa pula untuk kita suarakan apa yang terbuku di lubuk jiwa kita dalam isu akidah.

Jika kita ambil sambil lewa terhadap al-Walāʾ dan al-Barrōʾ, kita akan lebih rasa tidak sopan dan terhutang budi terhadap orang kafir, tetapi rasa khuatir berlaku kurang sopan terhadap kemuliaan Allah 'Azza Wa Jalla boleh dijungkat-jungkitkan dalam dacing timbangan.

Kalam yang syubhat yang bercampur baur antara syirik boleh dihalalkan dengan mengikut niat masing-masing. 


Lama-kelamaan permusuhan sesama Islam bertambah-tambah kerana menganggap kolot terhadap mereka yang enggan menerima keterbukaan terhadap kafir, tetapi rasa kurang peduli terhadap keselamatan dan kemuliaan akidah serta mengutamakan kebersamaan dengan jemaah Islam.

Kalau kita tidak membebankan diri sangat apa yang kafir rasa, kita pun tidak perlu sibuk cari pendapat yang memenangkan untuk keluasan bagi mereka, apatah lagi membangkitkan isu yang berkaitan. 

Saya tidak kata semua yang berpihak atau memberi keluasan kepada kafir adalah salah sama ada dari sudut bentuk istidlal dalil atau dari segi moral.

Tetapi, sengaja membangkitkan isu ini kerana memikirkan apa yang orang kafir fikirkan tentang kita dan melupakan pentingnya kepada jemaah dan kesatuan Islam serta mengutamakan Muslim lebih dari yang lain, maka semaklah semula firman Allah :

مُّحَمَّدٌ رَّسُولُ اللَّـهِ ۚ وَالَّذِينَ مَعَهُ أَشِدَّاءُ عَلَى الْكُفَّارِ رُحَمَاءُ بَيْنَهُمْ

"Muhammad itu utusan Allah. Mereka yang bersamanya adalah orang yang tegas terhadap para kafir dan saling berkasih sayang sesama mereka". (Surah al-Fatḥ ayat 29).

Antara (a) seruan kepada keselamatan akidah dan menegaskan pendirian serta kemuliaan Islam, lalu ia adalah pendapat yang menyatukan umat Islam serta meneguhkan persaudaraan atas dasar cinta kerana Allah Yang Esa dengan (b) ucapan yang terisinya syubhat hanya kerana ingin menyantuni kafir dan menyenangkan hati mereka. 

Pilihlah yang mana satu. 

-------------------------------

Terpulanglah kalian adalah degenenate weebs, K-popers, normies, memelord atau apa sahaja. Sama-sama kita tegas dalam prinsip akidah.

Dosa apa pun, dengan izin Allah akan diampunkan meskipun perlu melalui proses penyucian dengan seksaan neraka sementara. Kalau syirik, selamat tinggal untuk keampunan. 

Teruk macam mana pun kita, jangan syirik dan sentiasa peringatkan sahabat-sahabat tentang syirik.

-------------------------------

Sememangnya benar ada perselisihan ulama dalam isu ini. Apapun, kembali kepada topik Tatabbu' ar-Rukẖoṣ. Apabila kita sengaja memilih pandangan yang ringan, lebih-lebih lagi tujuannya semata-mata untuk menyenangkan hati orang kafir, lebih baik dijauhi.

Pengamalan dan dakwah Islam bukan hanya berpusat pada hukum-hakam fiqh. Sudut sensiviti moral juga perlu diperhatikan.

Walaupun pendapat yang ringan dan mudah itu adalah dari ulama muktabar yang berwibawa, itu bukan alasan untuk mengambil mudah dan bersikap luas dalam mengambil pendapat mereka secara semberono. 

Sebab itulah para ulama mengingatkan tentang Tatabbu' ar-Rukẖoṣ. Tatabbu' ar-Rukẖoṣ ini lebih kepada pemerhatian dari sudut moral berbanding dari hukum fiqh itu sendiri.

Sememangnya bagi orang awam yang tidak ada kemampuan untuk mengkaji dan menganalisis dalil boleh mengikut mana-mana pandangan ulama yang dirasakan muktabar dan berwibawa, tetapi jika yang diikutinya hanyalah pendapat yang ringan, maka inilah yang ditegah oleh sekalian ahli ilmu. Bezakan kedua-duanya.

Kalaupun hukum ucapan selamat sempena perayaan agama lain dan menghadiri majlis perayaan itu harus pada hukumnya, tetapi dari sudut moral sebagai orang Islam yang sensitif dalam akidah ini bagaimana?

Sebab itulah adanya Sadd aḏz-Ḏzarōʾiʿ(سد الذرائع) dalam sumber pengambilan hukum. Kadangkala, jika ditimbang dari sudut asal hukum, sememangnya harus. Akan tetapi, jika dari sudut yang lain seperti faktor moral, keselamatan dan lain-lain, hukumnya boleh berubah sama ada kepada makruh atau haram dengan mengaplikasikan sumber ini.

Sekarang ini, jika ditimbang dari sudut moral, ucapan ini penuh dengan syubhat. Kalaulah tidak ada kontroversi, mengapa ia menjadi polemik? Tuntutan untuk menjauhinya adalah lebih kuat. Lebih-lebih lagi tiada mudarat yang besar jika tidak mengucapkannya atau tidak ada keperluan mendesak untuknya.


Apa kerosakan yang besar jika tidak mengucapkannya? Adakah kita akan diperangi dan dimusuhi selama 7 keturunan jika tidak mengucapkan selamat? Adakah persahabatan dan hubungan kemanusiaan akan terputus dan retak hanya sekadar tidak mengucapkannya? Apakah akan ada orang mati kebuluran jika tidak mengucapkannya?

Sebab itulah kalau pun ada yang menyatakan keharusan, tetapi apa keperluan kita? Kalau harus pun, bukan bermakna kita boleh lajak laju dan terlebih semangat.

Tidak mengucapkan selamat sempena perayaan agama lain pun, kita masih boleh minum kopi bersama, konvoi bersama, memancing bersama, saling membantu untuk suatu projek, berjuang bersama untuk keadilan sosial dan sejagat serta lain-lain. Tidak mengucapkan selamat pun, kita masih boleh bermanis muka, beramah mesra, saling berbuat kebaikan dan lain-lain interaksi yang sihat.

Jadi, untuk apa dipolemikkan isu ini? Ia memang tidak sepatutnya dibangkitkan dari awal lagi jika kita tidak sibuk sangat dengan menyenangkan hati penganut agama lain atau keterlaluan dalam perhubungan.



No comments:

Post a Comment