Rasa terinspirasi pula. Dan bukan saya seorang sahaja. Ramai yang membaca ini pun rasa terinspirasi. Tidak kira dari mana-mana aliran pun, mereka pasti mendapat rasa cetusan hanya dengan perkongsian sebegini.
Mereka yang mengenal dan sentiasa mengikuti ustaz ini pasti akan tahu mengapa orang boleh terinspirasi hanya dengan perkongsian sebegini.
Sesiapa yang mempelajari bahasa Arab dan menelaah buku-buku pembelajaran mengenainya, mesti akan bertemu dengan nama ini, Ashafizrol Abdul Hamid.
Ustaz aktif dalam menulis ilmu yang berkaitan dengan bahasa Arab. Jika di laman Facebook ini, kupasan ustaz selalu menyentuh kupasan peringkat pertengahan atau tinggi atau kupasan lebih halus. Sebab itulah ramai pelajar dan mereka yang mahir bahasa Arab berpusu-pusu kepada penulisannya dan begitu menanti wacana yang baharu.
Buku-bukunya yang berkaitan dengan bahasa Arab sememangnya memperlihatkan kemahiran yang tinggi dalam bahasa Arab dan menyentuh banyak perkara yang tidak disentuh dalam buku-buku yang lain. Kupasan aspek makna, cara penyusunan perkataan dalam suatu ayat, kaedah struktur ayat bahasa Arab dan lain-lain. Ini semua yang begitu dihajati dalam kemahiran bahasa Arab, terutamanya mereka yang ingin menuju kepada kemahiran menulis dan bertutur dalam bahasa Arab.
Dalam medan pengajaran pula, ustaz menjadi tetamu yang mengisi program Hayya Bil Arabiah di saluran radio Ikim.fm. Cakap tentang program ini, kalau saya kata sesuatu yang paling bertuah dalam hidup saya adalah saya telah belajar bahasa Arab dengan tiga orang tetamu jemputan program ini, iaitu ustaz Rusdi Alias, Dr. Saiful Baharom dan ustaz ini.
Kemudian, ustaz juga aktif dalam perantauan untuk mengajarkan bahasa Arab secara kursus. Saya pernah menghadiri tiga kursus di bawah bimbingan ustaz untuk mendalami kemahiran pembinaan ayat, memahami struktur ayat dan kemahiran i'rob.
Dari situlah, saya saksikan sendiri bagaimana kewibawaan dan kemampuan yang unggul padanya dalam bahasa Arab. Mereka yang telah lama berdamping dan rajin mengikuti ustaz ini, pasti lebih nyata kesaksiannya terhadap keilmuan ustaz ini.
Walaupun tiada PhD, semua yang mengenalinya akan tetap menyatakan bahawa beliau memang selayaknya berada di barisan sepertimana mereka yang ada PhD.
Meskipun tiada degree dan hanya setakat SPM, tetapi jika seseorang itu dibantu Allah dan bersungguh-sungguh, dengan izin-Nya, dia akan mencapai apa yang dihajatinya melalui jalan yang tidak pernah disangka dan mendahului orang begitu berkejaran padanya.
Sebab itulah semua peminatnya merasa terinspirasi apabila membaca ini. Ia membuktikan bahawa tanpa sijil yang tinggi pun seseorang masih berpeluang dan mendapat kelebihan ilmu dan kefahaman.
Malah, dengan menjaga kualiti penyampaian ilmu serta bebas dari sebarang kontroversi dan keralatan yang parah dalam penyampaian kefahaman juga antara sebab mengapa ustaz ini diangkat tinggi oleh pelajar dan pengajar bahasa Arab. Apabila seorang ustaz menjaga kualiti ini, PhD tidak lagi menjadi isu utama. Semoga ustaz sentiasa istiqamah dalam jalan yang mulia ini sehingga akhir hayat.
Semoga Allah melimpahkan kebaikan kepada ustaz atas giat aktifnya dalam mengajarkan ilmu alat yang paling penting bagi seorang yang ingin menjadi faqih.
No comments:
Post a Comment