Kadang rasa dah malas nak jaga sangat reputasi.
Manusia ini ada yang seperti lalat atau lebah.
Kalau lebah, dia akan merayap ke madu.
Kalau lalat, najis memang tempat kegemaran untuk menghurung. Yang lalat inilah yang aku mahu tekankan.
Kadangkala, sudah beradab dengan paling sopan dan berbicara dengan paling sopan pun, kalau jenis suka cari salah macam lalat suka cari najis, tak ada guna juga.
Bila kritik pemimpin atau parti politik tertentu, terus dituduhnya kita ini adalah dari penyokong parti tertentu. Padahal, kalau kenal lama, aku (dan juga orang lain yang menjadi mangsa tuduhan ini) akan sebat je mana-mana ahli parti politik.
Apabila sudah jadi lalat, ejaan tersilap atau pengejaan ringkas pun dijadikan modal untuk mengetawakan dan membahan orang lain.
Bila kita nampak bengis atau tegas dalam sesuatu isu, dianggap kita ini tidak tahu berhikmah dan beradab. Padahal kebodohan dan kebejatannya sudah banyak kali kita hadap dan ia adalah serius.
Sudah berapa kali dah cakap dengan baik, tetapi yang baik punya nasihat inilah tidak mahu ditelan. Yang nak dipertikai adalah cara kita menegur dan menyampaikan. Sedangkan, sudah 99 kali kita tahan diri dari cakap dengan cara tidak elok. Bila masuk kali ke-100 dengan cara yang kasar, dipertikaikan pula. Entah tak tahu sejarah kita berdepan orang macam ini atau sama ada buat-buat tidak tahu atau sama ada memang keras kepala dan mahu cari kesalahan orang.
Cakaplah dengan baik atau jadilah yang paling peramah pun, kalau sudah jadi lalat, apa sahaja cerita tentang kita mesti buruk bagi dia.
Kenapa nak peduli sangat apa orang nak kata?
Tapi, tak ada lah aku kata nak berkasar setiap masa.
Mudah macam ni. Kalau ke mari nak jadi lebah, kita akan beri layanan seperti lebah. Kalau ke mari nak jadi lalat, kita akan beri layanan seperti lebah.
Senang je cakap, kalau betul-betul nak dengar nasihat dan belajar serta beri kerjasama, kita akan tolong dengan baik.
Kalau tidak, hadaplah apa yang kita rasa nak bagi. Kalau masa itu kita boleh jadi baik dan sopan, anggaplah itu hari yang bertuah.
Dan kalau kita terkasar, minta maaf banyak. Kita ini manusia. Ada masa, mood kita tidak baik dan akibatnya terlajak kata serta kurang daya pertimbangan.
Ada masa, kita sebenarnya belajar dari pengalaman terdahulu bila terlalu baik sangat. Bila orang mula ambil ringan atau pijak kepala kita, mahu atau tidak mahu, kita terpaksa bersikap cengih dan mencuka muka.
Maaf, bukan tidak mahu menyantuni dengan baik, tetapi kita sudah tidak mahu lagi menghadapi situasi sama seperti dahulu ketika berhadapan dengan serigala yang berbulu kambing. Kita adalah orang baik yang pernah disakiti. Jadi, sekali lagi, kita meminta maaf kalau kita ini nampak kasar dan bengis.
No comments:
Post a Comment