Kenapa isu ucapan selamat kepada perayaan agama lain ini tidak berkesudahan dan akan terus berlaku setiap tahun?
Sebab ia melibatkan akidah!
Ya, memang ada perselisihan ahli ilmu (jika ia muktabar) tentang hal ini, tetapi perselisihan apa? Perselisihan akidah! Sekali lagi diulangi. Perselisihan akidah!
Sebab itulah ia sangat serius. Ia adalah teras berdirinya agama ini serta perjuangan besar para rasul dan mereka yang beriman. Inilah yang membezakan agama ini dengan agama lain. Kemuliaan agama Islam adalah pada paksi ini. Sekarang faham mengapa ia tidak akan berkesudahan dan menjadi isu yang memang akan kecoh?
Akidah ini sangat berisiko jika retak, goyah dan bergoncang. Dosa lain akan diampunkan walaupun perlu melalui proses penyucian secara azab di neraka.
Tidak kira orang itu adalah degenerate wibu, K-popers, normie, memelord, boomer, metalhead atau apa. Mudah-mudahan dapat keampunan.
Jika syirik? Selama-lamanya sama seperti firaun!
Sebab itulah jangan memandang lekeh terhadap ilmuan yang sangat tegas terhadap ini. Terpulanglah mahu menuduh mereka kolot, jumud, tidak mesra kepada non-Muslim, tidak terbuka dalam fiqh, ekstrimis dan lain-lain gelaran yang buruk.
Tetapi ingatlah bahawa ia adalah isu akidah. Ia berada di penghujung sempadan antara tauhid dengan syirik dan iman dengan kufur. Anda berada di sudut jurang yang mampu membunuh diri anda. Mengapa tidak perlunya peringatan tegas terhadap ini?
Memang sedap sindir orang lain yang tegas sebagai "fobia" atau berkata: "Ucap selamat pun takut. Bukannya menjadikan seseorang itu kristian! Itu lihat pada niat masing-masing".
Sesiapa yang sedar lagi kuat penghayatannya bahawa iman adalah pada hati, perkataan dan anggota yang tidak akan terpisah antara satu sama lain, pasti akan waspada dengan isu-isu syirik. Walaupun hanya sekadar kalam, tetapi ia juga boleh beri kesan kepada apa yang ada pada hati.
Bacaan Tambahan (1) : https://www.facebook.com/photo.php?fbid=665998354768870&set=pb.100040761337193.-2207520000..&type=3
Bacaan Tambahan (2) : https://www.facebook.com/marzuka.martilloiii.7/posts/666714391363933
Bacaan tambahan (3) : https://www.facebook.com/marzuka.martilloiii.7/posts/668639037838135
Kemudian, ia juga bergantung kepada sejauh mana penghayatan kita kepada al-Walāʾ (الولاء), iaitu kesetiaan dan cinta kepada Islam dan jemaah Muslim dan al-Barrōʾ (البراء), iaitu berlepas diri dari kekufuran dan membencinya. Pembelajaran ilmu akidah atau ilmu tauhid atau apa sahaja nama akan didedahkan kepentingan untuk mengetahui ini.
Al-Walāʾ dan al-Barrōʾ tidak akan difahami melainkan ia tersemat dalam pengamalan kita. Apa sahaja teori dan kupasan boleh dibentangkan dan diceramahkan, tetapi nyata kefahaman itu pada pengamalan kita. Contohnya firman Allah SWT :
مُّحَمَّدٌ رَّسُولُ اللَّـهِ ۚ وَالَّذِينَ مَعَهُ أَشِدَّاءُ عَلَى الْكُفَّارِ رُحَمَاءُ بَيْنَهُمْ
"Muhammad itu utusan Allah. Mereka yang bersamanya adalah orang yang tegas terhadap para kafir dan saling berkasih sayang sesama mereka". (Surah al-Fatḥ ayat 29).
Sejauh mana kita mengangkat tinggi kemurniaan akidah dan kemuliaan Islam pada diri kita dan pada masyarakat sekeliling. Sejauh mana perhatian kita terhadap persaudaraan sesama Muslim atas dasar cinta kerana Allah dan akidah yang sejahtera. Sejauh mana ketegasan dan kerapatan hubungan kita kepada yang berlainan agama dan ahli bidaah. Sejauh mana kita melepaskan diri dari ikatan dan kebersamaan dengan kafir dan ahli bidaah. Semua itu ada pada al-Walāʾ dan al-Barrōʾ.
Iman adalah pada hati, perkataan dan perbuatan. Al-Walāʾ dan al-Barrōʾ akan membuktikan dan melengkapkan serta menyepadukan ketiga-tiga ini agar tidak terpisah, ter"sekular", tercerai-berai dan mencampuradukkan antara iman dengan kufur, tauhid dengan syirik.
Sebab itu apabila kurang penghayatan al-Walāʾ dan al-Barrōʾ, kita lebih suka memikirkan apa yang orang kafir rasakan. Perhatian kepada sentimen umat Islam dalam isu akidah dipandang kecil seolah-olah ia sekadar nama, kepercayaan peribadi, ritual ibadah dan ceramah, bukan manifestasi pada seluruh sistem. Seolah-olah ia boleh diketepikan dan diabaikan.
Apabila kurang penghayatan al-Walāʾ dan al-Barrōʾ, kita mencari-cari keredhaan kafir. Apabila diajak kepada pendapat yang menyatukan umat Islam di atas akidah yang terpelihara dan persaudaraan atas dasar seagama, kita dianggap kolot, jumud, ekstrimis, tidak terbuka dalam fiqh, tidak mesra non-Muslim dan lain-lain.
Namun, apabila berjaya memenangkan perasaan orang kafir, itulah dianggap keterbukaan, orang yang memahami fiqh co-existence, pembawa rahmat sekalian alam dan lain-lain. Dia merasakan kemuliaan Islam itu adalah apa yang disenangi orang kafir.
Sebab itulah ada yang merasa kurang sopan apabila tidak membalas ucapan selamat terhadap kafir yang tidak pernah terlepas mengucapkan selamat sempena perayaan kita. Mengapa tiba-tiba rasa terhutang budi pula? Adakah jika orang kafir tidak pernah terlepas menghadiri majlis perayaan umat Islam setiap tahun, maka umat Islam perlu menghadiri majlis perayaan mereka kerana rasa terhutang budi dan rasa kurang sopan jika tidak membalas dengan baik?
Kita tidak pernah pun meminta mereka mengucapkan selamat kepada kita. Kita masih lagi boleh teruskan perayaan kita dengan meriah tanpa ucapan selamat dan kehadiran penganut bukan Islam. Mereka juga sebegitu. Mereka dengan agama mereka dan kita dengan agama kita. Tidak perlu timbul perasaan kurang senang atau kurang sopan jika tidak mengucapkan selamat pun, apatah lagi membangkitkan isu ini.
Walau bagaimanpun, meskipun kita perlu tegas terhadap kafir, lebih-lebih lagi isu yang membabitkan akidah, bukan bermakna kita perlu bermasam muka apabila bertemu, tidak beramah mesra, tidak lunak bicara dan menyangka buruk dalam banyak perkara. Masing-masing masih boleh bersahabat dan bergaul seperti minum kopi bersama, konvoi beramai-ramai, bekerja dalam satu kumpulan, bersukan bersama dan lain-lain.
Cuma apabila melibatkan akidah, jangan sesekali berikan kompromi dan zahirkan ketegasan. Jangan hanya kerana ingin menjaga perasaan mereka, akidah boleh dirunding dan dilobi. Jangan kerana ingin menjaga rasa senang hati mereka menyebabkan kita abai dan memandang remeh persaudaraan sesama Muslim, kecintaan terhadap kesatuan atas dasar akidah yang lurus dan memuliakan kehormatan Muslim.
Jangan hanya kerana tidak mahu mereka berkecil hati, kita menjungkat-jungkitkan pertimbangan seruan kepada keselamatan akidah dan berpihak kepada Muslim dalam hal kebenaran. Jangan hanya kerana ingin menggembirakan mereka, kita mengucapkan kalam yang terisi dengan syubhat yang dihalalkan atas alasan bergantung pada niat dan wujudnya khilaf, sedangkan menjauhkannya adalah lebih dituntut dan membawa kepada jalan yang lebih selamat.
Ingat. Muslim ada kedudukan istimewa dan superioriti. Ia adalah kerana akidah. Apabila rapuhnya akidah, maka rapuhlah kecintaan dan rasa keagungan terhadap jemaah dan persaudaraan Muslim.
Sebab itulah ada orang sanggup bergaduh dengan sesama Muslim atas alasan kolot, jumud dan lain-lain dalam isu akidah, tetapi sanggup berjinak dan mesra dengan kafir. Inilah dampak kurangnya penghayatan al-Walāʾ dan al-Barrōʾ.
Kita patut bersyukur bahawa umat Islam di Malaysia masih sensitif dengan isu akidah. Bayangkan di negara lain yang seruan akidah dipandang sepi, malah ditentang kerana tidak mendapat sambutan arus perdana. Apa lagi yang akan membezakan kita dengan agama lain? Hanya beza pada nama, kepercayaan peribadi, ritual ibadah dan ceramah sahaja.
Nikmat tuhan apa lagi yang ingin didustakan? Maka manfaatkan nikmat ini dengan baik-baik dengan menyampaikan dan mengingatkan akidah yang lurus. Walau teruk macam mana pun kita, jangan rosak akidah dan tetap istiqamah dalam mengamalkan dan menyampaikan akidah.
Gambar : Kitab al-Walāʾ Wa al-Barrōʾ Fī al-Islām karya Muḥammad bin Saʿīd al-Qoḥṭōniy. Setakat yang saya tahu, ini adalah kitab yang agak meluas dalam mengupas isu al-Walāʾ Wa al-Barrōʾ.
No comments:
Post a Comment