Agama dan dakwah bukan sahaja hanya pada akhlak dan perilaku murni. Teras dan dakwah agama ini berdiri di atas akidah yang sahih lagi lurus.
Sememangnya memang perlu berterusan disampaikan dan diwacanakan secara terbuka tidak kiralah negara itu pelbagai bangsa atau tidak.
Itulah perjuangan para rasul. Mereka tidak hanya berdakwah pada akhlak, tetapi tonggak perjuangan mereka adalah akidah. Mereka juga berwacana dengan para Musyrik, berhadapan dengan para kafir dan menzahirkan penentangan serta prinsip dalam membawa risalah akidah yang murni. Mereka tidak berdakwah hanya secara tertutup semata-mata ingin menjaga perpaduan, perhubungan dan keharmonian.
Sebab itulah pendakwah yang berdiri di hadapan dan di tengah-tengah umat dalam mempertahankan syubhat-syubhat terhadap agama serta mempamerkan keunggulan dan keistimewaan Islam perlu dihargai dan dijulang tinggi. Mereka bukan sahaja berperanan pendakwah, tetapi batalion dalam mendepani serangan-serangan terhadap agama ini.
Sememangnya ada penentangan, perlawanan dan konfrontasi apabila membawakan dialog dan seruan kepada akidah Islam yang tulen lagi benar. Itu lumrah mana-mana dakwah.
Kita tidak boleh hanya menutup, membelakangkan dan membenamkan diskusi dan dialog akidah kepada orang ramai hanya kerana ingin menjaga perasaan atau keharmonian. Kalau hanya fikir perasaan orang kafir sahaja, dakwah tidak akan berjalan atau tidak mampu digiatkan secara rancak dan lancar.
Kebenaran dan perbezaan sememangnya pahit untuk diterima. Mereka yang menggalas tanggungjawab ini akan meniti di jalan berduri. Namun, dakwah tetap dakwah. Walau dibenci oleh para Musyrik.
يُرِيدُونَ لِيُطْفِئُوا نُورَ اللَّـهِ بِأَفْوَاهِهِمْ وَاللَّـهُ مُتِمُّ نُورِهِ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ ﴿٨﴾ هُوَ الَّذِي أَرْسَلَ رَسُولَهُ بِالْهُدَىٰ وَدِينِ الْحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّينِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ الْمُشْرِكُونَ
"Mereka berkehendak untuk memadamkan cahaya Allah dengan mulut mereka, sedangkan Allah adalah Maha Penyempurna cahaya-Nya walau dibenci orang kafir. Dialah yang mengutuskan rasul-Nya dengan petunjuk dan agama kebenaran agar Dia membantu kemenangannya ke atas agama secara keseluruhannya walaupun dibenci para Musyrik". (Surah Ṣoff ayat 8-9).
Islam perlu ditegakkan, diperjuangkan dan dijulang dalam segenap masyarakat. Kemuliaan Islam bukan hanya berpaksikan apa yang orang kafir rasa senang terhadapnya.
Cuma, sememangnya benar bahawa dakwah melalui akhlak juga penting. Setiap orang memiliki cara dakwah tersendiri mengikut bidang, latar belakang dan juga faktor-faktor yang lain.
Misalnya, Ebit Lew akan berdakwah melalui gerak kerja kebajikan masyarakat. Manakala, Zakir Naik berdakwah melalui dialog terbuka antara agama. Masing-masing ada kelebihan dan kompetensi dalam menyebarkan agama Islam.
Namun, sehingga mengabaikan kepentingan akidah sehingga ia sekadar isu yang boleh dipencilkan dan dipendamkan, maka ini adalah petanda bagaimana kurangnya penghayatan seseorang terhadap akidah dan tauhid. Mereka yang tidak merasakan superioriti agama ini kerana murninya akidah Islam, maka selidiklah semula mengapa mereka memilih Islam berbanding dari agama yang lain? Apakah selama ini memegang keyakinan kebenaran Islam hanya dalam keadaan tidak mengerti apa-apa?
Nota : Jangan kata aku sokong Aiman Banna pula. Aku screenshot poster si Banna tu supaya tahu apa penulis dalam screenshot itu sedang bising. Bagi aku, apa yang si Banna buat adalah apa yang dilakukan oleh pendakwah kita. Cumanya tidak ada sesi debat atau dialog antara agama, tetapi satu hala sahaja.
No comments:
Post a Comment