Kadangkala, apabila kita berhadapan dengan orang yang tidak sependapat dengan kita, kita terjumpa orang yang berkata: "Semoga Allah memberi hidayah kepadamu". Kadangkala, apabila kita memberi pendapat yang memberikan kejutan yang besar pada mereka, mereka berkata: "MasyaAllah". Malah, setiap kali kita memberikan penerangan, tidak lekang lidahnya merespons balas dengan berkata: "Semoga Allah memberi petunjuk kepada kamu", "Semoga Allah membimbing kamu" dan seumpamanya.
Hakikatnya, apa yang disebutkan pada lidah mereka atau apa yang mereka coretkan dalam komentar adalah tersimpannya ejekan dan mempersendakan kita, bukan benar-benar berdoa. Malah, dengan cara ini, mereka juga ingin menghukum dan menganggap kita sesat secara halus. Cuma, mereka mahu nampak kelihatan sopan dan beradab, mereka sembunyikan ngauman ejekan mereka melalui topengan zikir dan doa.
ʿĀʾiḍ ʿAbdullah al-Qorniyy telah pun mendedahkan sikap orang sebegini.
Ketika beliau menyebutkan antara sifat orang munafik adalah mencela orang soleh, beliau menjelaskan lagi sifat munafik ini :
تجدهم إذا استدبروا الصالحين سلقوهم وحنطوهم وسحقوهم وقصفوهم وأخذوا أعراضهم، غيبة في المجالس، فالصالح فلان هدانا الله وإياه، حتى يذكر ابن تيمية أن من الدعاء ما يكون غيبة في صاحبه، يدعون في الظاهر، تقول: ما رأيك في فلان؟ قال: غفر الله لنا وله، وهو لا يريد غفر الله لنا وله، لكن هناك شيء مبطن الله أعلم به، ويقول: عافانا الله مما ابتلاه به، ويقول: هداه الله، حتى يقول ابن المبارك: من التسبيح ريبة، حتى ذكر عند السلاطين رجل، فقال: سيسأل أحد وزرائي عنه، فيقول: سبحان الله! أي: انتبه له، وفي الظاهر أنه سبح الله، وفي الباطن أنه لمزه وغمز.
Engkau akan dapati pada mereka apabila mereka di belakang orang soleh, pasti mereka akan menikam belakang mereka, melumat-lumatkan mereka, mengepik-ngepik mereka dan melecehkan kehormatan mereka dengan mengumpat dalam pertemuan mereka. "Orang soleh adalah si fulan itu. Semoga Allah memberikan kami petunjuk kepada kami dan kepadanya".
Sehinggakan Ibn Taymiyyah menyebutkan bahawa dari doa itu terdapat umpatan terhadap seseorang. Mereka berdoa pada zahirnya. Engkau berkata: "Apa pandangan engkau terhadap si fulan itu?". Dia berkata: "Semoga Allah mengampuni kami dan mengampuninya". Padahal, dia tidak mengkehendaki agar Allah mengampuni dosa kita dan dosanya, tetapi di sana ada sesuatu yang disembunyikan. Allah lebih mengetahui tentangnya. Dia berkata: "Semoga Allah memberikan kesejahteraan kepada kami dari apa yang menimpanya". Dan dia berkata: "Semoga Allah memberi hidayah kepadanya".
Sehinggakan Ibn al-Mubārok berkata: "Tasbih juga adalah umpatan". Sehingga seseorang menyebutkan sesuatu di samping penguasa, lalu dia berkata: "Nanti seseorang dari menteriku akan bertanya tentangnya". Lalu, dia berkata: "Subḥānallah!", iaitu jaga-jagalah terhadapnya. Pada zahirnya dia bertasbih kepada Allah, tetapi di batinnya, dia mencemuhnya dan mencelanya. [Rujuk : https://audio.islamweb.net/audio/index.php?page=FullContent&full=1&audioid=19391].
Malah, mereka bukan sebenarnya ikhlas dalam doa mereka. Doa dan zikir ini juga digunakan untuk menambahkan lagi keras kepalanya dan keingkarannya terhadap pembentangan hujah pihak yang lain. Apabila tidak ada hujah ilmiah, mereka mengungkapkan dan meratibkan zikir dan doa sebagai perisai supaya nampak mereka ini berada dalam kebenaran dan orang lain adalah celaka lagi menyimpang.
Ejekan dan cemuhan yang diselindungkan dengan doa ini sudah saya saksikan di hadapan mata saya sendiri. Sememangnya ada orang berbuat sebegini.
No comments:
Post a Comment