Tuesday, 8 December 2020

Makna "Fitnah" dalam Bahasa Arab

Firman Allah :

وَالْفِتْنَةُ أَشَدُّ مِنَ الْقَتْلِ

"Fitnah itu lebih dahsyat jenayahnya daripada membunuh". (Surah al-Baqarah ayat 191).

Firman Allah :

والفِتْنَةُ أَكْبَرُ مِنَ الْقَتْلِ

"Fitnah itu lebih besar dosanya daripada membunuh". (Surah al-Baqarah ayat 215).

Makna fitnah pada ayat 191 adalah syirik menurut Ibn Jarīr aṭ-Ṭobariyy dalam tafsirnya. Beliau juga membawa pandangan Qotādah yang serupa dengannya. Beliau juga membawakan riwayat penafsiran daripada Mujāhid bahawa fitnah di sini adalah berpaling orang Mukmin kepada berhala.

Ibn Kaṯsīr berkata dalam tafsirnya pada ayat 191 memperincikan :

وَلَمَّا كَانَ الْجِهَادُ فِيهِ إِزْهَاقُ النُّفُوسِ وقتلُ الرِّجَالِ، نبَّه تَعَالَى عَلَى أَنَّ مَا هُمْ مشتملون عليه من الْكُفْرِ بِالْلَّهِ وَالشِّرْكِ بِهِ وَالصَّدِّ عَنْ سَبِيلِهِ أَبْلَغُ وَأَشَدُّ وَأَعْظَمُ وأطَم مِنَ الْقَتْلِ؛ وَلِهَذَا قَالَ: {وَالْفِتْنَةُ أَشَدُّ مِنَ الْقَتْلِ}

"Ketikamana jihad itu melenyapkan nyawa dan membunuh orang, Dia Taʿālā memperingatkan tentang mereka yang kufur terhadap Allah, syirik terhadap-Nya dan menghalangi jalan-Nya adalah lebih parah, lebih dahsyat dan lebih besar jenayahnya daripada membunuh. Kerana inilah Dia berfirman: {Fitnah itu lebih besar dahsyat dosanya daripada membunuh}".

Untuk ayat 215, Ibn Kaṯsīr berkata :

وَالْفِتْنَةُ أَكْبَرُ مِنَ الْقَتْلِ أَيْ قَدْ كَانُوا يَفْتِنُونَ الْمُسْلِمَ فِي دِينِهِ حَتَّى يَرُدُّوهُ إِلَى الْكُفْرِ بَعْدَ إِيمَانِهِ، فَذَلِكَ أَكْبَرُ عِنْدَ اللَّهِ مِنَ الْقَتْلِ

"{Fitnah itu lebih besar dosanya daripada membunuh}, iaitu mereka dahulu selalu menyeksa orang Muslim kerana agamanya sampailah mereka mengembalikannya kepada kekufuran setelah beriman. Demikian itu, lebih besar dosanya di sisi Allah berbanding membunuh".

Al-Qurṭubiyy dalam tafsirnya berkata :

(وَالْفِتْنَةُ أَكْبَرُ مِنَ الْقَتْلِ) قَالَ مُجَاهِدٌ وَغَيْرُهُ: الْفِتْنَةُ هُنَا الْكُفْرُ، أَيْ كُفْرُكُمْ أَكْبَرُ مِنْ قَتْلِنَا أُولَئِكَ. وَقَالَ الْجُمْهُورُ: مَعْنَى الْفِتْنَةِ هُنَا فِتْنَتُهُمُ الْمُسْلِمِينَ عَنْ دِينِهِمْ حَتَّى يَهْلَكُوا، أَيْ أَنَّ ذَلِكَ أَشَدُّ اجْتِرَامًا مِنْ قَتْلِكُمْ فِي الشَّهْرِ الْحَرَامِ

{Fitnah itu lebih besar daripada membunuh}. Mujāhid dan selainnya berpendapat bahawa fitnah di sini adalah kekufuran, iaitu kekufuran kalian lebih besar dosanya daripada membunuh mereka itu. Majoriti berpendapat bahawa fitnah di sini adalah penyeksaan terhadap kaum Muslimin terhadap agama mereka sehingga mereka menghancurkannya, iaitu bahawa itu lebih dahsyat jenayahnya daripada pembunuhan kalian di bulan Haram.

Ibn Jarīr aṭ-Ṭobariyy pula dua penafsiran. Pertama, beliau berkata yang sama :

،" والفتنة أكبر من القتل"، أي: قد كانوا يفتنون المسلم عن دينه حتى يردوه إلى الكفر بعد إيمانه، وذلك أكبر عند الله من القتل

"{Fitnah itu lebih besar dosanya daripada membunuh}, iaitu mereka dahulu selalu menyeksa orang Muslim kerana agamanya sampailah mereka mengembalikannya kepada kekufuran setelah beriman. Demikian itu, lebih besar dosanya di sisi Allah berbanding membunuh".

Yang kedua, beliau tidak membezakan penafsirannya dengan ayat sebelumnya :

والفتنة أكبر من القتل"، يعني: الشرك أعظم وأكبرُ من القتل

"Fitnah itu lebih besar dosanya daripada membunuh, iaitu syirik lebih dahsyat dan lebih besar dosanya daripada membunuh".

Maksudnya, beliau tidak membezakan "fitnah" pada ayat 191 dan ayat 215 yang kedua-duanya bermaksud syirik. Kemudian, beliau membawakan riwayat Asbāb an-Nuzūl untuk ayat ini dan penafsiran bahawa "fitnah" di sini adalah syirik.

Maka, "fitnah" dalam ayat ini bukan merujuk kepada tuduhan dusta terhadap seseorang, tetapi ia merujuk kepada perbuatan syirik dan pada konteks ayat 215, ia bermaksud usaha untuk memurtadkan orang Muslim atau menghancurkan kaum Muslimin kerana agamanya lebih dahsyat dosanya daripada membunuh. Demikian inilah penafsiran yang benar dari ahli tafsir yang berwibawa.

Lalu, dalam bahasa Arab, perkataan apa yang semakna dengan ungkapan "fitnah" sepertimana yang kita fahami? Ia adalah Buhtān (بُهْتَانٌ) sepertimana kata Ibn Manẓhūr dalam Lisān al-ʿArob :

قَالَ عَلَيْهِ مَا لَمْ يَفْعَلْهُ

"Berkata terhadap seseorang tentang apa yang dia tidak melakukannya".

Al-Qurṭubiyy berkata dalam tafsirnya ketika mentafsirkan perkataan "Buhtān" dalam Surah an-Nisāʾ ayat 112 :

وَهُوَ أَنْ تَسْتَقْبِلَ أَخَاكَ بِأَنْ تَقْذِفَهُ بِذَنْبٍ وَهُوَ منه برئ

"Ia adalah engkau menghadap saudaramu dengan menuduhnya dengan sesuatu dosa, padahal dia bebas daripada tuduhan tersebut".

Maksudnya, "fitnah" yang kita fahami adalah "Buhtān" yang difahami oleh orang Arab.

Jadi, apa makna asal perkataan "fitnah" dalam bahasa Arab? Jika diambil kira daripada Ism al-Jāmid (non-derivative noun), ia boleh bermaksud :

a) Al-Ibtilāʾ (الابْتِلَاءِ) yang bermaksud bencana.

b) Al-Miḥnah (المِحْنْةُ) yang bermaksud kegeruhan

c) Al-Kufr (الْكُفْرُ) yang bermaksud kekufuran

d) Ikẖtilāf an-Nās Bi al-Arōʾ (اخْتِلَافُ النَّاسِ بِالْآرَاءِ) yang bermaksud pelbagai pendapat manusia

e) Al-Māl (الْمَالُ) yang bermaksud harta.

f) Al-Awlād (الأَوْلَادُ) yang bermaksud anak-anak.

g) Aḍ-Ḍolāl (الضَّلَالُ) yang bermaksud kesesatan

h) Al-Iʿijāb Bi ašh-Šhayʾ (الْإِعْجَابُ بِالشَّيْءِ) yang bermaksud kekaguman (terhadap sesuatu)

j) Al-ʿAḏzāb (العَذَاب) yang bermaksud seksaan

k) Al-Iḍtirōb Wa Balbalah al-Afkār (الاضْطِرَابُ وَبَلْبَلَةُ الْأَفْكَارِ) yang bermaksud kacau bilau kerumitan pemikiran

l) Jika dikatakan Fitnah aṣ-Ṣudūr (فِتْنَةُ الصُّدُورِ), ia bermaksud al-Waswās (الوَسْوَاسُ)

m) Junūn (جُنُونٌ) yang bermaksud kegilaan.

n) Maroḍ (مَرَضٌ) yang bermaksud penyakit.

o) Kẖibroh (خِبْرَةٌ) yang bermaksud ujian. Sepertimana doa :

رَبَّنَا لاَ تَجْعَلْنَا فِتْنَةً لِّلْقَوْمِ الظَّالِمِينَ

"Wahai tuhan kami! Janganlah engkau menjadikan kami ujian untuk orang yang zalim". (Surah Yūnus ayat 85).

p) Jika dikatakan al-Fitnah Fī at-Taʾwīl (الفِتْنَةُ فِي التَّأْوِيلِ), ia bermaksud aẓh-Ẓhulm (الظُّلْمُ), iaitu berlaku tidak adil dalam penakwilan.

Jika ia adalah maṣdar (gerund) daripada Fatana-Yaftinu (فَتَنَ - يَفْتِنُ), ia bermaksud :

a) Ṣoharohu Fī an-Nār Liyakẖtabarohu (صَهَرَه فِي النَّارِ لِيَخْتَبَرَهُ), iaitu api meleburkan (sesuatu)

b) ʿAḏzdzabahu Li Yuḥawwilah Roʾyahu Wa Dīnahu (عَذَّبَهُ لِيُحَوِّلَ رَأْيَهُ أَوْ دِينَهُ), iaitu menyeksa (seseorang) supaya mengubah pandangannya atau agamanya

c) Aʿjabahu Wa Istahwāhu (أَعْجَبَهُ وَاسْتَهْوَاهُ), iaitu mempesonakan (seseorang)

d) Ṣodda Wa Rodda (صَدَّ وَرَدَّ), iaitu menghalangi. Firman Allah :

وَاحْذَرْهُمْ أَنْ يَفْتِنُوكَ عَنْ بَعْضِ مَا أَنْزَلَ اللَّهُ إِلَيْكَ

"Waspadalah terhadap mereka kerana mereka menghalangimu daripada sebahagian apa Yang Allah turunakan kepada kalian". (Surah al-Māʾidah ayat 49),

f) Romāhu Bi Šhiddah Li Yakẖtabarohu (رَمَاهُ فِي شِدَّةٍ لِيَخْتَبَرَهُ), iaitu menguji (seseorang) dengan kesukaran. Firman Allah :

أَوَلَا يَرَوْنَ أَنَّهُمْ يُفْتَنُونَ فِي كُلِّ عَامٍ مَّرَّةً أَوْ مَرَّتَيْنِ ثُمَّ لَا يَتُوبُونَ وَلَا هُمْ يَذَّكَّرُونَ

"Adakah kalian tidak melihat mereka diuji dengan sukar pada setiap tahun sekali atau dua kali, kemudian mereka tidak bertaubat dan mereka tidak mengambil pelajaran?". (Surah at-Tawbah ayat 126)




No comments:

Post a Comment