Wednesday, 25 November 2020

Ulasan Buku "Senjata Nuklear: Rahsia Dan Bahana" Karya Syed Yusainee Syed Yahya

  Buku yang bagus untuk pembacaan awam. Sememangnya serupa metodologi penulisan para penulis barat dalam menulis buku sains untuk orang awam. Buku ini menyentuh aspek fizik dan perjalanan sejarah pembangunan senjata nuklear. Sekali baca buku ini, pasti...


Buku yang bagus untuk pembacaan awam. Sememangnya serupa metodologi penulisan para penulis barat dalam menulis buku sains untuk orang awam. Buku ini menyentuh aspek fizik dan perjalanan sejarah pembangunan senjata nuklear. Sekali baca buku ini, pasti membuat para pembaca terheret ketagih menelaah sampai habis. Penuh dengan pukauan dan mantera yang mengagumkan pembaca.

Cuma ada kelemahan pada buku ini. Pada awalnya, penerangan sudah cukup bagus hingga sanggup membuat permisalan yang mudah agar proses tindak balas kimia difahami oleh pembaca. Cuma beberapa muka surat kemudian, kemungkinan penulis mahu melengkapkan pembukuan ini dalam masa yang cepat, beliau tersasar dalam matlamat penulisan untuk kemudahan. Hingga saya tersangkut pada beberapa perenggan untuk telaah berulangkali dan membuat rujukan bersilang supaya konsep tersebut dapat dicerna. 

Saya harap edisi kedua nanti akan diperbanyak gambar supaya alatan yang pembaca tidak biasa mendengarnya dan penerangan proses yang sukar boleh difahami. Saya harap edisi akan datang, penulis perlu lebih kreatif untuk membuat permisalan setiap proses fizik supaya pembaca mendapat gambaran yang jitu mengenainya. Serta memperbanyak nota kaki untuk penjelasan tambahan bagi istilah yang dimelayukan, istilah sains yang agak rumit.

Kalau saya boleh cadangkan untuk para pembaca lain, mereka boleh langkah bab satu hingga tiga kerana bab keempat hingga kesepuluh (bab terakhir) lebih menekankan cerita perjalanan sejarah pembangunan nuklear di setiap negara dan istilah sains tidak begitu banyak disebutkan. Jika bertekad untuk membaca bab satu hingga tiga, pastikan Kamus Dewan atau laman sesawang PRPM dan Google tersedia supaya mudah untuk rujukan bersilang. Jika tidak, pembaca yang tidak ada kemahiran fizik akan tersangkut.

Ada beberapa lagi yang saya rasa tidak cukup pada buku ini ialah perbahasan mengenai konteks Malaysia atau Asia Tenggara atau beberapa negara-negara Islam atau negara-negara yang tidak memiliki senjata dalam berinteraksi dengan senjata nuklear dan negara yang memiliki senjata nuklear. Namun, saya fikir konteks Malaysia perlu ditekankan memandangkan penulis merupakan orang Malaysia dan audien juga rakyat Malaysia, maka saya harap edisi akan datang dipertingkat wacana tentang ini.

Selain itu, buku ini tidak menerangkan secara rinci lagi berkenaan organisasi, pertubuhan dan institut yang berhubung kait dengan nuklear sama ada pendidikan (terutamanya universiti), pemantauan, penguatkuasaan, pembangunan, pelupusan, pihak yang menentang, pihak yang menyokong dan lain-lain. Juga menamakan secara lanjut pihak-pihak yang berkait dengan saintis dan bukan saintis terhadap penglibatan isu-isu nuklear. Bagi saya, ini merupakan sesuatu yang begitu penting untuk diperkenalkan agar pembaca mempunyai maklumat yang berminat dalam penglibatan senjata nuklear.

Dan perkara yang saya rasa masih belum cukup ialah perbahasan masa hadapan senjata nukelar. Mana-mana buku pun akan cuba membincangkan masa hadapan mengenai sesuatu isu yang dibincangkan. Saya harap edisi buku yang seterusnya diperkaya dengan wacana ini bagi mengenakkan lagi perbahasan dalam buku. Selain berperanan penulis informasi, mungkin penulis akan bertindak sebagai aktivis. Di sinilah peranan yang patut ditonjolkan oleh penulis yang mempunyai latar belakang penglibatan Unit Tenaga Nuklear. Perbahasan konteks ini bukan meramal masa hadapan, tetapi mewacanakan etika, perkembangan semasa, wawasan, visi, cita-cita, inspirasi dan lain-lain sepanjang keberadaan senjata nuklear merentasi zaman 

https://www.facebook.com/photo.php?fbid=1680688388648414&set=a.2757481107635798&type=3&theater

No comments:

Post a Comment