Hanya satu ungkapan sahaja yang boleh aku gambarkan tentang buku ini.
“Menakutkan!”
Ya. Betul. Buku ini memang menyeramkan sejak dari bahagian mukaddimah lagi. Sebelum aku cerita apa yang menakutkan dalam buku ini, aku bagi sekilas cerita tentang apa yang terkandung dalam buku ini.
Buku ini memaparkan praktikal dalam meng'ilal-kan hadis. Ada 74 hadis kesemuanya. Bagi sesiapa yang ingin mendalami praktikal ilmu ‘ilal hadis, aku memang sangat cadangkan buku ini untuk dibaca. Sebab buku ini macam buku contoh karangan SPM yang terus dan fokus serta melihat kepada aspek praktikal. Macam mana contoh karangan yang hebat dan menyampaikan. Begitu jugalah buku ini punya metodologi. Ia adalah contoh praktikal dalam ilmu 'ilal al-Hadits. Walaupun begitu, kita perlu baca setiap bab kerana penulis kadangkala akan memasukkan ilmu baru dalam sesuatu yang tidak ada dalam mukadimah
Buku ini juga memaparkan kesan-kesan 'illah yang dikenal pasti untuk sesuatu riwayat yang boleh menggugah pentashihan dan pentahsinan ahli hadis mutaakhirin. Boleh kata buku ini sebenarnya untuk mengkritik beberapa ahli hadis, terutamanya kontemporari dalam menilai kesahihan hadis itu, sedangkan apabila dibentangkan penilaian mutaqaddimin, ia berbeza dengan dapatan yang kontemporari.
Sekarang, dah mula nampak di mana seramnya buku ini?
Bahagian mukaddimah, selepas ucapan biasa, tiba-tiba masuk peringatan tentang larangan bersikap ghuluw (melampau) dan ketaksuban. Gila weh! Khutbah jumaat boleh lah kot. Ni buku weh! Jadi, jelasnya adalah buku ini memang nak bagi hentaman cukup-cukup untuk sesuatu pihak. Mana taknya, buku ini mengkritik beberapa ahli hadis yang cukup terkemuka yang akan dinyatakan namanya nanti. Jadi, peringatan semacam ini mahu beri amaran bahawa kritikan yang ada dalam buku ini boleh jadi sangat pedas dan tajam untuk sebahagian pembaca. Sebab orang yang penulis kritik ini bukan jenis budak hingusan, tetapi jaguh dan taiko dalam bidang hadis.
Kemudian, selepas mukaddimah, ada pengenalan tentang yang dimaksudkan dengan 'illah secara ringkas. Kemudian, bermulalah bab yang memaparkan praktikal dalam meng'ilalkan hadis. Di sinilah banyak kritikanya dizahirkan.
Dalam kritikan-kritikannya terhadap ahli hadis, nama yang selalu menjadi sasaran adalah Nāṣiruddīn al-Albāniy dan Syuʿaib al-Arnaʾūṭ. Woah! Kalau yang memang jenis fanatik dengan al-Albāniy, boleh sesak nafas kalau baca buku ini. Bagi yang berpada dan berpegang teguh dengan penilaian tashih dan tahsin al-Albāniy dan al-Arnaʾūṭ, buku ini memang boleh menggugah kepercayaan anda terhadap kedua-dua tokoh ini. Boleh katakan 80% yang ada dalam buku ini memang fokus kritikannya pada kedua-dua insan ini. Sesiapa yang dependen dengan kedua-dua insan ini, fikirlah banyak kali dan tabahkan hati untuk baca buku ini.
Bukan setakat ini sahaja yang dikritik, sepanjang pentelaahan saya dalam buku ini, antara tokoh kenamaan yang dikritik adalah seperti ʿAbdul Qōdir al-Arnʾūṭ, Aymān Ṣōliḥ Syaʿbān, Ḥusayn Sulaym Asad, Muṣṯofa al-ʿAdawiy, al-Ḥuwayniy, al-Mullā al-Qōrī, al-Muʿallimiy dan sehinggalah al-Haytsamiy, aḍ-Ḍhiyāʾ al-Maqdisiy, al-Munāwiy, al-Ḥākim, as-Suyūṭiy, al-Ḥāfiẓ az-Zahabiy, al-Imām an-Nawawiy, al-Ḥāfiẓ Ibn Ḥajar al-ʿAsqolāniy dan Ibn ʿAdiy!!!! Ha! Ambik kau! Kalau ada sesiapa yang sukar menerima tokoh agung ini dikritik, buku ini memang tidak sesuai untuk dibaca. Ok, bahagian ini je yang menakutkan. Yang lain penuh dengan manfaatnya.
Antara dapatan yang menarik dalam buku ini ialah pendapat penulis tentang :
(a) 'Illah bukan semestinya sesuatu yang mencacatkan hadis. Dengan kata lain, ilmu 'ilal hadis bukan ilmu yang menggeladah kecacatan tersembunyi untuk menolak penilaian kesahihan yang dilihat pada aspek zahirnya, tetapi ia bertujuan untuk mencari dan mengenal pasti bukti yang memalingkan hukum asal yang hanya dilihat secara zahir. Dengan kata lain, boleh jadi meng'ilalkan hadis, bermakna ia mensahihkan hadis itu selepas pencarian poin-poin yang tersembunyi di balik penilaian zahirnya yang kelihatan dha'if.
(b) Tidak ada batasan waktu untuk membezakan mutaqaddimin dan mutaakhirin. Bagi penulis, mutaakhirin boleh sahaja di kurun kedua atau ketiga. Bagi penulis, yang membezakan sekadar metodologi penilaian sahaja. Maknanya, yang dibezakan mutaakhirin dan mutaqaddimin berkisar pada metodologi, bukan zaman. Penulis berikan lima dasar utama yang membezakan manhaj mutaqaddmin dan mutaakhirin dalam mukaddimahnya :
(i) Perawi yang tsiqah kadangkala lemah untuk beberapa riwayat daripada beberapa syeikh tertentu menurut mutaqadimin, namun mutaakhirin memutlakkan pensahihannya untuk keseluruhannya. Misalnya, riwayat Maʿmar daripada Tsābit adalah dha'if sekalipun Maʿmar adalah perawi hadis yang agung dan diterima pakai semua periwayatannya kecuali daripada Tsābit, sedangkan mutaakhirin tidak memandang hal itu atas alasan perawi itu tsiqah.
(ii) Kepelbagaian riwayat menurut mutaqaddimin adalah boleh menjadi sebab pendha'ifan sesuatu hadis kerana boleh jadi ia sebagai bukti untuk sesuatu riwayat itu sebagai iḍṭirōb, manakala mutaakhirin menganggap ia adalah syawāhid untuk menguatkan kesahihan hadis.
(iii) Tafarrud (bersendirian) menurut mutaakhirin dalam sesuatu periwayatan boleh menunjukkan hadis itu lemah walaupun perawi itu tsiqah kerana boleh jadi ia adalah riwayat munkar. Namun, mutaakhirin beranggapan tafarrud yang tertolak adalah apabila menyalahi periwayatan yang lebih tsiqah daripadanya.
(iv) Kajian beberapa jalur riwayat menurut mutaqaddimin adalah untuk mejelaskan 'illahnya. Sedangkan mutaakhirin cukup melihat zahir sanad, lalu mensahihkannya.
(v) Ziyādah ats-Tsiqōt menurut mutaqaddimin bukanlah sahih buat selamanya. Mereka begitu berjaga-jaga dengan riwayat seperti ini, lebih-lebih kalau riwayat itu adalah bersendirian tanpa ada sokongan daripada murid-murid syeikh yang lain. Sedangkan mutaakhirin mensahihkannya secara mutlak atas alasan perawinya tsiqah.
Cuma yang tidak dinyatakan oleh penulis dalam pembezaan ini secara jelas, tetapi ada dalam praktikal 'ilalnya adalah dua riwayat yang dha'if yang berbeza madar (pusat) sanadnya apabila dikumpulkan, tetap tidak diangkat menjadi hasan. Ini boleh lihat pendiriannya dalam praktikal hadis dalam banyak bab. Sedangkan mutaakhirin berpandangan sebaliknya.
Walau apapun perbezaan metodologi mutaqaddimin dan mutaakhirin, penulisan buku ini lebih kepada mengkritik sikap ahli hadis, terutamanya kontemporari yang mengabaikan pendapat ahli hadis mutaqaddimin yang ternama dalam penilaiannya terhadap sesuatu riwayat. Ahli hadis kontemprari hanya mengambil kira pendapat sendiri berbanding untuk menyemak terlebih dahulu pandangan ahli hadis yang ulung yang sebelumnya.
Apabila ad-Dāroquṭniy berkata riwayat mauqūf lebih sahih, manakala riwayat marfūʿadalah percanggahan dan tidak benar, ahli hadis kontemprari seolah-olah berpendirian: “Apa masalahnya? Perawi tsiqah kot. Banyak riwayat ini menunjukkan sokongan yang menguatkan kesahihan riwayat marfūʿ ini”.
Apabila Abū Ḥātim ar-Rōziy berkata “hadis ini munkar”, ahli hadis kontemporari seakan-akan menyatakan: “Saya tengok tidak ada apa-apa masalah pun pada sanad ini. Jadi, hadisnya sahih”.
Apabila Abū Zurʿah berkata: “Fulan tidak pernah bertemu dengan perawi itu”, ahli hadis kontemporari seolah-olah menjustifikasikan: “Sahih riwayat ini. Perawi tsiqah. Takkan dia nak menipu apa yang dia cakap?”.
Inilah sebenarnya apa yang penulis buku ini mahu sampaikan. Tidak ada cerita antara mutaqaddimin atau mutaakhirin pada hakikatnya. Realitinya adalah memaparkan metodologi kita dalam mengambil kira dan berinteraksi dengan pandangan ahli hadis yang besar yang terdahulu seperti at-Tirmiḏiy, al-Bukhōriy, ad-Dāroquṭniy, Abū Ḥātim ar-Rōziy, Abū Zurʿah ar-Rōziy dan lain-lain.
Dan yang bagusnya buku ini, ia memaparkan bahawa ilmu 'ilal hadis tidaklah begitu sukar. Seseorang perlu membanyakkan rujukan dan meluaskan pencarian. Kemudian, kumpulkan kesemua qaul yang ada tentang seseorang perawi atau sesuatu hadis, lalu buat penilaian. Sesiapa yang baca buku ini, nanti fahamlah banyak benda dan permasalahan yang diulang-ulang. Ia bukanlah sekompleks mana sepertimana yang dimomokkan.
Kalau ditanya sama ada aku ada kritikan atau pun tidak untuk karya ini? Amboi! Mentang-mentanglah pengikut al-Albāniy dan al-Arnaʾūṭ yang setia, dia nak tengok yang ini dulu, walhal bukunya pun belum diusik lagi. Apa? Bukan? Tak apa. Sama ada pengikut kedua-dua insan itu ataupun tidak, aku tetap jawab, aku ada satu sahaja kritikan terhadap peniliannya untuk setakat ini. Lepas ni, aku tak tahu lah. Mungkin ada lebih banyak.
Terjemahan? Tidak ada. Tetapi, aku rasa buku ini memang wajar diterjemahkan sebab ia memberi gambaran yang jelas tentang praktikal 'ilal hadis.
Mana nak beli? Aku tak jual ye. Aku ulas je. Aku beli buku ini semasa pesta buku di reruai kitab bahasa Arab yang syarikatnya berpusat di Malaysia. Aku tak ingat apa namanya. Jadi, cubalah cari kedai buku yang ada jual kitab bahasa Arab. Mungkin boleh jumpa.
https://www.facebook.com/photo.php?fbid=3194737067243531&set=pb.100001218067654.-2207520000..&type=3&theater
No comments:
Post a Comment