Sunday, 29 November 2020

Sepatah Dua Kata Untuk Isu Pergelutan Tentang Status Ibn ʿArobiyy Dan al-Jīliyy


Untuk isu Ibn ʿArobiyy dan al-Jīliyy, setakat ini saya tidak mengambil apa-apa pendirian lagi. Walaupun kecoh dan menjadi pergeseran faham, belum ada apa-apa lagi faktor untuk menarik minat saya untuk memperdalam isu ini. 

Cuma, saya dapat katakan bahawa untuk para pecinta dan pengikut Ibn ʿArobiyy dan al-Jīliyy, ambillah peluang ini untuk membuktikan kewibawaan ilmu dan kemampuan kesarjanaan kedua-dua insan ini. Anggaplah ujian yang Allah timpakan ini sebagai satu rahmat untuk kalian merangkul kedudukan yang tinggi dalam tempat ilmu.

Kita lihat Ṣoḥīḥ al-Bukẖōriyy sebagai contoh. Mengapa kitab ini dijulang sangat tinggi? Sebabnya ahli hadis terkemudian memperakui keagungan yang terdapat dalam kitab ini. Melalui apa? Mimpi? Kasyaf? Futūḥāt-futūḥāt ar-Robbāniyyah? Tidak sama sekali. Mereka memberi penghargaan berdasarkan saringan dan pengujian berlandaskan metodologi ilmu hadis yang kukuh, jitu, mapan dan tuntas. Lalu, ternyata bahawa kitab ini memenuhi kriteria yang tinggi dan syarat yang ketat dalam pemilihan hadis. Akhirnya dinobatkan kitab yang paling sahih selepas al-Quran.

Adakah Ṣoḥīḥ al-Bukẖōriyy boleh menjadi bukti ia adalah karamah Allah? Pastinya sesiapa pun tidak akan berani menyangkalnya. Malah, ia dapat menjadi petanda bahawa ia adalah futūḥāt daripada Allah SWT. Ia telah memberi manfaat yang besar kepada umat dalam keilmuan dan pengamalan serta kedudukannya tidak disaingi oleh sesudahnya walau di mana jua dan apa sahaja zaman yang mendatang.

Kemudian, dapatkah kita menyatakan bahawa al-Imām al-Bukẖōriyy adalah wali Allah? Ini pun sesiapa pun tidak akan sanggup menepisnya. Keteguhan beliau dalam agama, sumbangannya kepada bidang ilmu dan istiqamahnya dengan kebenaran dapat menjadi bukti bahawa beliau layak merangkul darjat kewalian. Kesemua ini dapat menjadi bukti dan hujah di hari akhirat kelak. Sepastinya yang para sufi tidak akan meletakkan mana-mana tokoh sufi lebih tinggi daripada kedudukan beliau. Al-Imām al-Bukẖōriy dapat dikatakan wali kepada sekalian wali. Mudah-mudahan sedemikian.

Akan tetapi, pernahkah Ṣoḥīḥ al-Bukẖōriyy dikritik dan timbul kemusykilan dalam kesabitan hadisnya sama ada dari segi sanad ataupun matan? Ya ada. Namun, kritikan ini bukan datang dari orang yang cuba menjatuhkan kredibiliti kitab ini, tetapi ia dari ahli hadis yang agung yang beriltizam dengan kebenaran dan objektif dengan mizan ilmu. Ini semua diabadikan dalam Fatḥ al-Bārī karya al-Ḥāfiẓ Ibn Ḥajar al-ʿAsqolāniyy dan juga karya-karya yang berkaitan dengan kritik hadis.

Pun begitu, kritikan dan kemusykilan yang mendatang sebenarnya mencambahkan lagi kegemilangan kitab ini dan melahirkan pelbagai faedah ilmu yang mengukuhkan ilmu hadis dan metodologinya. Nama-nama pengkritiknya juga disebutkan dengan penghormatan dalam karya kritikan sebagai sikap adil dan penghargaan kepada usaha mereka dalam mempamerkan kebenaran kendatipun pendapat mereka ini juga dijawab semula. Masing-masing mahu memberikan khidmat kepada ilmu dan menghabiskan sisa umurnya untuk kebenaran dan redha Allah Subḥānahu Wa Taʿālā.

Apapun, sebenarnya apa yang dilakukan oleh ustaz Noor Derus dan batalionnya bukan sesuatu yang baharu pada hari ini. Sebelum saya kenal nama ustaz Noor Derus dan polemiknya, saya sebenarnya sudah melihat kritikan dan pengkafiran Syeikh Muḥammad al-Ġhozāliyy dalam Turōṯsunā al-Fikriyy Fī Mīzān ašh-Šharʿi Wa al-ʿAql terhadap Ibn ʿArobiyy dalam dua tiga tempat. Pun begitu, saya sekadar membaca sahaja, tidak mengambil pendirian. Maksudnya, sebelum ustaz Noor Derus lahir lagi sudah ada wacana tentang hal ini. Bezanya, apa yang dilakukan oleh Syeikh Muḥammad al-Ġhozāliyy tidaklah sekomprehensif yang dilakukan ustaz Noor Derus.

Manakala, di sisi yang lain pula, saya juga mendengar hujahan balas daripada ustaz Abdul Rashid Mohamat Akip dalam mempertahankan Ibn ʿArobiyy dan al-Jīliyy. Uniknya adalah ustaz Abdul Rashid mengambil inisiatif untuk menelaah karya itu sendiri dan membentangkan apa yang sebenarnya menurutnya. Tidak seperti yang lain yang hanya berdalih, tetapi tidak pernah berganjak untuk meneliti karya itu, menganlisisnya dan membuat perbandingan. Bermain Argumentum Ad Verecundiam, Argumentum Ad Misericordiam, Argumentum Ad Ignorantiam, Halo Effect, Contrast Effect, Red Herring, Bandwagon, Strawman, Ad-Hominem dan lain-lain falasi dan bias sangat kerap dan biasa ditemui.

Usaha ustaz Abdul Rashid wajar dipuji. Saya berharap agar giat usaha beliau memberi cetusan kepada para pecinta dan pengikut Ibn ʿArobiyy dan al-Jīliyy yang mempunyai kemampuan ilmu untuk ambil langkah proaktif dengan mula menghadamkan karya tersebut dan persembahkan kepada semua rakyat tentang citra sebenar kedua-dua insan ini dalam aturan pemikiran, penerapan ilmu dan sudut pandang kerohanian.

Saya harap para pecinta dan pengikut Ibn ʿArobiyy dan al-Jīliyy memandang positif ujian yang berlaku sekarang ini. Firman Allah ʿAzza Wa Jalla :

أَحَسِبَ النَّاسُ أَن يُتْرَكُوا أَن يَقُولُوا آمَنَّا وَهُمْ لَا يُفْتَنُونَ

Apakah manusia itu mengira bahawa mereka ditinggalkan dengan berkata: "Kami beriman", sedangkan mereka tidak diuji? [Surah al-ʿAnkabūt ayat 2].

Kita sama sekali tidak akan ditinggalkan dalam dakwaan beriman melainkan setelah diuji pelbagai pancaroba. Begitu juga kita sama sekali tidak akan ditinggalkan beriman di manhaj yang lurus dan berpaksikan metodologi ilmu yang sebenar melainkan setelah diuji sejauh mana kejituannya dan kesejatiannya. Dengan ujian itulah, nyata pada kita sama ada kita benar-benar beriman atau tidak dan sama ada pegangan kita benar atau salah.

Buktikan bahawa ia benar dengan metodologi ilmu yang murni, teruji dan sejati. Dan semoga berjaya untuk kedua-dua belah pihak.

Nota : Meski saya tawaqquf untuk isu Ibn ʿArobiyy dan al-Jīliyy, bukan bermakna saya mendiamkan diri dari ajaran Bāṭiniyyah dari selain kedua-duanya. Beberapa isu saya telah nyatakan bantahan dan saya telah bertaubat daripadanya. Sehebat mana pun hakikat atau makrifat itu, maka tidak boleh lari dari syariat. Jika landasan syariat terpesong dari segi metodologi ilmu, maka ia ditolak tanpa perlu ragu. Tidak terkumpul salah dan benar dalam satu masa.

No comments:

Post a Comment