Sunday, 29 November 2020

Reaksi Terhadap Buku "Mengimani Tangan Allah" Terbitan Pustaka Ilmu Salaf




Sejujurnya, saya pun terkejut juga bahawa al-Ḥāfiẓ aḏz-Ḏzahabiyy ada kitab ini. Tidak pernah tahu sebelum ini sepanjang mengenali nama tokoh ini. Selalunya kalau berkaitan dengan sifat Allah, karya beliau yang terkenal adalah al-ʿUluww Li al-ʿAliyy al-Ġhoffār. Setelah penerbit ini keluarkan buku ini, nampaknya saya pun jahil kewujudan buku ini. Nampaknya saya pun tidak boleh juga untuk menganggap ia sesuatu yang kecil memandangkan ia telah menjadi bualan dan kecoh kepada sebahagian komuniti.

Saya faham buku ini mengejutkan banyak pihak, malah melahirkan rasa gelisah terhadapnya. Pertama, namanya dalam bahasa Melayu yang tidak dikenal dengan judul seperti ini sebelum ini. Rasanya penerbit memang buat kelainan yang tidak pernah dibuat oleh mana-mana buku berbahasa Melayu sebelum ini. Sebab itulah orang ramai agak berwaspada dengan sesuatu yang baharu dan pelik dari yang lain.

Kedua, kita pun sedia maklum majoriti asatizah dan ilmuan agama negara kita adalah beraliran al-Ašhʿariyy. Karya seperti ini tampak melawan arus perdana yang mengalirnya rentetan prinsip dan norma al-Ašhʿariyy. Karya seperti ini nampak menzahirkan pengisytiharan perseteruan terhadap al-Ašhʿariyy kerana karya ini menimbulkan bibit-bibit tasybih terhadap Allah. Apatah lagi menterjemahkannya secara harfiah yang mana majoriti mereka menegah perbuatan tersebut kerana ia akan menimbulkan syubhat tasybih.

Ketiga, salah satu sebab al-Ašhʿariyy memilih untuk mendiamkan diri kerana kitab ini dikarang oleh ilmuwan Muslim yang terulung, al-Ḥāfiẓ aḏz-Ḏzahabiyy. Siapalah yang tidak kenal sosok nama yang penuh megah ini? Dalam ilmu hadis, penilaiannya dalam al-Jarḥ Wa at-Taʿdīl pada perawi diambil kira dan tidak diabaikan. Karyanya menjadi rujukan yang ditelaah dan menjadi pegangan yang tidak diragukan lagi nilainya, terutamanya dalam bidang hadis seperti Siyar Aʿlām an-Nubalāʾ, Mīzān al-Iʿtidāl, al-Muġnī Fī aḍ-Ḍuʿafāʾ dan lain-lain. Sebab itu, mereka tidak berani membuka mulut tentangnya kerana khuatir merendahkan taraf sang ilmuan terulung dan mencela tokoh yang jauh lebih berlautan kepakarannya berbandingnya.

Cuma, jika ditanya saya tentang buku ini, saya sekadar memberi ulasan berdasarkan karya dalam teks Arab yang asal. Adapun, dalam terjemahan bahasa Melayu, saya tidak memilikinya dan saya tidak membacanya. Berkemungkinan ada beberapa kelainan daripada kitab Arab yang asli seperti penerangan tambahan penterjemah dan lain-lain.

Bagi saya, kitab yang dikarang al-Ḥāfiẓ aḏz-Ḏzahabiyy ini tidak jauh beza dengan karya pendahulunya, al-Imām ad-Dāroquṭniyy yang berjudul aṣ-Ṣifāt. Karya al-Imām ad-Dāroquṭniyy ini mengumpulkan naṣ-naṣ yang berkaitan dengan sifat Allah yang khusus untuk hadis, kemudian diakhiri dengan membawakan kalam-kalam ulama dalam berinteraksi naṣ-naṣ sebegini. Bezanya al-Ḥāfiẓ aḏz-Ḏzahabiyy memfokuskan riwayat yang berkaitan dengan "al-Yad" atau terjemahannya sepertimana yang tertera pada buku. Dan persamaan kedua-dua karya ini adalah tidak ada pendapat peribadi daripada mereka. Semuanya hanya sekadar menukil dan meriwayat sahaja.

Katakanlah sesiapa yang tidak merasa senang dengan kitab al-Ḥāfiẓ aḏz-Ḏzahabiyy yang ini, bagi saya, elok mulakan pembacaan denngan aṣ-Ṣifāt karya al-Imām ad-Dāroquṭniyy. Kalau rasa tidak ada masalah dalam membaca karya al-Imām ad-Dāroquṭniyy, maka dia tidak akan ada rasa masalah apabila membaca karya al-Ḥāfiẓ aḏz-Ḏzahabiyy dengan izin Allah. Setakat ini saya belum tahu terjemahan kitab aṣ-Ṣifāt karya al-Imām ad-Dāroquṭniyy meskipun ia ringkas sahaja. Saya harap penerbit kitab ini menerbitkan terjemahan kitab aṣ-Ṣifāt karya al-Imām ad-Dāroquṭniyy di masa akan datang.

Secara peribadi, saya tidak ada masalah terhadap kitab ini. Seperti yang dikatakan tadi, ia sama seperti membaca ṣ-Ṣifāt karya al-Imām ad-Dāroquṭniyy. Dan bagi orang yang kukuh, sejati lagi mapan pemahaman manhaj salaf dalam interaksi dengan naṣ-naṣ yang berkaitan dengan sifat Allah ini, tidak akan ada yang menimbulkan prasangka yang buruk terhadap kitab ini dengan izin Allah. Saya fikir bagi yang masih belum tenang dengan karya sebegini, lebih elok menelaah dulu bagaimana para salaf yang soleh berinteraksi dengan naṣ-naṣ sebegini.

Kontroversi Al-Ḥāfiẓ Aḏz-Ḏzahabiyy

Sebenarnya kegerunan mereka yang beraliran al-Ašhʿariyy terhadap karya ini yang ditulis oleh beliau ada asasnya. Bukan sesuka hati mereka dari kalangan terkebelakangan atau kontemporari ingin memusuhinya. Mereka semua bersandar dengan testimoni anak muridnya yang terkemuka, al-Imām Tājuddīn as-Subkiyy yang merupakan tokoh aliran al-Ašhʿariyy terhadap gurunya yang berlainan aliran dengannya.

Al-Imām as-Subkiyy mencoretkan sikap gurunya terhadap aliran al-Ašhʿariyy dalam magnus opumnya, Ṭobaqōt ašh-Šhāfiʿiyyah al-Kubrō. Beliau menyatakan bahawa gurunya sangat keras kebenciannya terhadap aliran al-Ašhʿariyy, tetapi tidak begitu menzahirkannya, berlebihan dalam mengagungkan tokoh mujassimah dan terjerumus dalam mujassimah. Kata beliau tentang biografi Sẖaykẖ Abū al-Ḥasan al-Asẖʿariyy :

إِذا نظرت تَرْجَمَة هَذَا الشَّيْخ الذى هُوَ شيخ السّنة وَإِمَام الطَّائِفَة فى تَارِيخ شَيخنَا الذهبى وَرَأَيْت كَيفَ مزقها وحار كَيفَ يصنع فى قدره وَلم يُمكنهُ البوح بالغض مِنْهُ خوفًا من سيف أهل الْحق وَلَا الصَّبْر عَن السُّكُوت لما جبلت عَلَيْهِ طويته من بغضه بِحَيْثُ اختصر مَا شَاءَ الله أَن يختصر فى مدحه ثمَّ قَالَ فى آخر التَّرْجَمَة من أَرَادَ أَن يتبحر فى معرفَة الأشعرى فَعَلَيهِ بِكِتَاب تَبْيِين كذب المفترى لأبى الْقَاسِم ابْن عَسَاكِر اللَّهُمَّ توفنا على السّنة وأدخلنا الْجنَّة وَاجعَل أَنْفُسنَا مطمئنة نحب فِيك أولياءك ونبغض فِيك أعدائك ونستغفر للعصاة من عِبَادك ونعمل بمحكم كتابك ونؤمن بمتشابهه ونصفك بِمَا وصفت بِهِ نَفسك انْتهى.

فَعِنْدَ ذَلِك تقتضى الْعجب من هَذَا الذهبى وَتعلم إِلَى مَاذَا يُشِير الْمِسْكِين فويحه ثمَّ ويحه وَأَنا قد قلت غير مرّة إِن الذهبى أستاذى وَبِه تخرجت فى علم الحَدِيث إِلَّا أَن الْحق أَحَق أَن يتبع وَيجب على تَبْيِين الْحق فَأَقُول أما حوالتك على تَبْيِين كذب المفترى وتقصيرك فى مدح الشَّيْخ فَكيف يسعك ذَلِك مَعَ كونك لم تترجم مجسما يشبه الله بخلقه إِلَّا واستوفيت تَرْجَمته حَتَّى إِن كتابك مُشْتَمل على ذكر جمَاعَة من أصاغر الْمُتَأَخِّرين من الْحَنَابِلَة الَّذين لَا يؤبه إِلَيْهِم قد ترجمت كل وَاحِد مِنْهُم بأوراق عديدة فَهَل عجزت أَن تُعْطى تَرْجَمَة هَذَا الشَّيْخ حَقّهَا وتترجمه كَمَا ترجمت من هُوَ دونه بِأَلف ألف طبقَة فأى غَرَض وَهوى نفس أبلغ من هَذَا وَأقسم بِاللَّه يَمِينا برة مَا بك إِلَّا أَنَّك لَا تحب شياع اسْمه بِالْخَيرِ وَلَا تقدر فى بِلَاد الْمُسلمين على أَن تفصح فِيهِ بِمَا عنْدك من أمره وَمَا تضمره من الغض مِنْهُ فَإنَّك لَو أظهرت ذَلِك لتناولتك سيوف الله

وَأما دعاؤك بِمَا دَعَوْت بِهِ فَهَل هَذَا مَكَانَهُ يا مسكين وَأما إشارتك بِقَوْلِك ونبغض أعداءك إِلَى أَن الشَّيْخ من أَعدَاء الله وَأَنَّك تبْغضهُ فَسَوف تقف مَعَه بَين يدى الله تَعَالَى يَوْم يأتى وَبَين يَدَيْهِ طوائف الْعلمَاء من الْمذَاهب الْأَرْبَعَة وَالصَّالِحِينَ من الصُّوفِيَّة والجهابذة الْحفاظ من الْمُحدثين وتأتى أَنْت تتكسع فى ظلم التجسيم الذى تدعى أَنَّك برِئ مِنْهُ وَأَنت من أعظم الدعاة إِلَيْهِ وتزعم أَنَّك تعرف هَذَا الْفَنّ وَأَنت لَا تفهم فِيهِ نقيرا وَلَا قطميرا وليت شعرى من الذى يصف الله بِمَا وصف بِهِ نَفسه من شبهه بخلقه أم من قَالَ {لَيْسَ كمثله شَيْء وَهُوَ السَّمِيع الْبَصِير} وَالْأولَى بى على الْخُصُوص إمْسَاك عنان الْكَلَام فى هَذَا الْمقَام فقد أبلغت ثمَّ أحفظ لشَيْخِنَا حَقه وَأمْسك وَقد عرفناك أَن الأوراق لَا تنهض بترجمة الشَّيْخ وأحلناك على كتاب التَّبْيِين لَا كإحالة الذهبى إِذْ نَحن نحيل إِحَالَة طَالب محرض على الازدياد من عَظمته وَذَاكَ يحِيل إِحَالَة مجهل قد سئم وتبرم بِذكر محامد من لَا يُحِبهُ

Apabila aku meneliti biografi syeikh ini yang beliau merupakan syeikh sunnah dan imam golongan ini dalam kitab at-Tārīkẖ karya syeikh kami, aḏz-Ḏzahabiyy, aku melihat bagaimana beliau mencercanya dan kehairanannya bagaimana dia perbuat dengan kemampuannya dan tidak mungkin dia menampakkan peremehannya kerana takut terhadap pedang ahli kebenaran dan tidak juga bersabar dalam berdiam terhadap apa yang niatnya yang berupa permusuhannya dijadikan sifatnya yang mana dia sekadar meringkaskan -Mā Šhā Allah ringkasnya- dalam pujiannya. Kemudian, dia berkata dalam akhir biografinya: “Siapa yang mahu membanyakkan lagi mengenali al-Ašhʿariyy, maka bacalah kitab Tabyīn Kaḏzib al-Muftarī karya Abū al-Qōsim Ibn ʿAsākir. Ya Allah matikanlah kami di atas sunnah. Masukkanlah kami ke dalam syurga. Jadikanlah diri-diri kami tenang yang mencintai para wali-Mu kerana-Mu dan membenci musuh-Mu kerana-Mu. Kami memohon keampunan terhadap pelaku maksiat dari kalangan hamba-Mu. Kami mengamalkan yang muhkam dari kitab-Mu dan kami beriman dengan yang mutasyabihatnya serta kami menyifati-Mu sebagaimana Engkau menyifatkan diri-Mu dengannya”.

Melalui hal itu, menunjukkan keanehan pada aḏz-Ḏzahabiyy ini dan engkau mengetahui apa yang sang mengecewakan ini sedang mengisyaratkan. Alangkah malangnya dia, kemudian alangkah malangnya dia. Aku telah pun berkata lebih sekali sesungguhnya aḏz-Ḏzahabiyy ini guru kami dan kerananya aku menjadi lulusan dalam ilmu hadis melainkan kebenaran lebih berhak untuk diikuti dan wajib untuk menerangkan kebenaran. Aku katakan: Adapun Tabyīn Kaḏzib al-Muftarī dan penyedikitanmu dalam pujian kepada syeikh ini, bagaimana mungkin itu membuatmu senang memandangkan engkau tidak membiografikan para mujassim yang mentasybihkan Allah dengan ciptaan-Nya melainkan engkau memadatkan biografinya sampaikan kitabmu itu merangkumi luas dalam penyebutan segolongan daripada sang mentah mutaakhirin dari golongan Ḥanābilah yang tidak perlu diingatkan mereka? Engkau membiografikan setiap satu daripadanya dengan beberapa lembar. Lantas adakah engkau lesu untuk memberikan biografi syeikh ini dengan haknya dan engkau membiografikannya sebagaimana engkau membiografikan orang yang melangkauinya dengan beribu-ribu tingkat? Kemahuan dan hawa nafsu yang mana satu yang mencapai kemuncaknya daripada hal ini? Aku bersumpah dengan nama Allah dengan sumpah yang baik! Tidak ada padamu melainkan sesungguhnya engkau tidak suka memanggil namanya dengan kebaikan dan engkau tidak mampu untuk menjadi jelas padanya di negeri-nergi Muslim dengan sebab apa yang di sisimu dan apa yang engkau sembunyikannya peremehan terhadapnya. Ini kerana kalau engkau menzahirkan hal itu, pasti terhunus pedang-pedang Allah kepadamu.

Adapun doamu dengan apa yang engkau doakan dengannya, adakah ini tempatnya wahai sang mengecewakan? Adapun isyaratmu melalui kata-katamu: “Kami membenci para musuh-Mu” adalah syeikh ini termasuk daripada musuh-musuh Allah dan engkau benar-benar memusuhinya. Kelak engkau berdiri bersamanya di hadapan Allah Taʿālā pada hari yang kan mendatang dan di hadapan sekalian golongan para ulama mazhab empat, orang soleh dari kalangan sufi dan para sarjana yang hafiz dari kalangan ahli hadis, lalu engkau datang dalam keadaan engkau bergelumang dalam kegelapan tajsim yang engkau dakwa bahawa engkau berlepas diri daripadanya, padahal engkau antara pendakwah yang paling terkemuka terhadapnya dan engkau mendakwa bahawa engkau mengenali bidang ini, sedangkan engkau tidak memahami selekuk padanya mahupun sekelumitnya. Alangkah bagusnya kalau aku tahu siapakah yang menyifatkan Allah dengan apa yang Dia sifatkan diri-Nya dengannya yang berupa penyerupaan-Nya terhadap ciptaan-Nya atau orang yang berkata: {Tidak ada sesuatu pun yang menyerupai-Nya. Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat?}.

Adalah lebih utama bagi aku secara khusus untuk menahan dari meleretkan kalam di tempat ini. Aku telah pun menyampaikan. Kemudian, aku memelihara haknya untuk syeikh kami, sedangkan beliau menahannya. Kami telah pun tahu bahawa beberapa lembaran sahaja tidak termuat dengan biografi syeikh ini dan kami mencadangkan kepadamu untuk membaca kitab at-Tabyīn yang bukan sepertimana cadangan aḏz-Ḏzahabiyy kerana kami mencadangkan dengan cadangan yang menuntut gesaan untuk bertambahnya pengagungannya, sedangkan orang itu mencadangkan dengan cadangan yang menambahkan ignoran yang membosankan dan menjemukan terhadap menyebutkan pujian-pujian yang tidak beliau menyukainya. [Ṭobaqōt ašh-Šhāfiʿiyyah al-Kubrō, 3/352-353].

Beliau berkata :

وَأما تَارِيخ شَيخنَا الذَّهَبِيّ غفر اللَّه لَهُ فَإِنَّهُ عَلَى حسنه وَجمعه مشحون بالتعصب المفرط لَا واخذه اللَّه فَلَقَد أَكثر الوقيعة فِي أهل الدّين أَعنِي الْفُقَرَاء الَّذين هم صفوة الْخلق واستطال بِلِسَانِهِ عَلَى كثير من أَئِمَّة الشافعيين والحنفيين وَمَال فأفرط عَلَى الأشاعرة ومدح فَزَاد فِي المجسمة هَذَا وَهُوَ الْحَافِظ المدره وَالْإِمَام المبجل فَمَا ظَنك بعوام المؤرخين فَالرَّأْي عندنَا أَلا يقبل مدح وَلَا ذمّ من المؤرخين إِلَّا بِمَا اشْتَرَطَهُ إِمَام الْأَئِمَّة وَحبر الْأمة وَهُوَ الشَّيْخ الإِمَام الْوَالِد

Adapun kitab at-Tārīkẖ karya syeikh kami, aḏz-Ḏzahabiyy -semoga Allah mengampunkannya- sesungguhnya meski ia adalah karya yang baik dan menyeluruh, ia dipenuhi dengan ketaksuban yang melampau. Semoga Allah memaafkannya. Benar-benar beliau memperbanyakkan celaan terhadap ahli agama, yakni para faqir yang merupakan ciptaan yang terpilih (sufi) dan memanjangkan ungkapannya terhadap kebanyakan para imam aliran ašh-Šhāfi*iyy dan Ḥanafiyy. Beliau cenderung dan melampaui batas terhadap aliran al-Ašhʿariyy, namun memuji dan menambah pujian ini pada golongan mujassimah. Beliau seorang ḥāfiẓ yang terulung dan imam yang terhormat. Lalu, apa yang engkau ingin duga terhadap ahli sejarawan yang awam? Pendapat menurut kami adalah tidak menerima pujian dan celaan daripada sejarawan kecuali melalui apa yang imam para imam dan pemuka umat, iaitu asy-Syaikh al-Imām, ayahku mensyaratkannya. [Ṭobaqōt ašh-Šhāfiʿiyyah al-Kubrō, 2/22].

Di tempat lain, beliau berkata :

وَهَذَا شَيخنَا الذَّهَبِيّ رَحمَه اللَّه من هَذَا الْقَبِيل لَهُ علم وديانة وَعِنْده عَلَى أهل السّنة تحمل مفرط فَلَا يجوز أَن يعْتَمد عَلَيْهِ

“Ini adalah syeikh kita, aḏz-Ḏzahabiyy -semoga Allah merahmatinya-. Daripada ini, beliau memiliki ilmu dan keteguhan agama. Dia membaca celaan yang melampau, maka tidak boleh untuk berpegang dengannya”. [Ṭobaqōt ašh-Šhāfiʿiyyah al-Kubrō, 2/13].

Beliau menukilkan daripada Ṣolāḥuddīn Kẖolīl al-ʿAlāʾiyy yang berkata :

الشَّيْخ الْحَافِظ شمس الدّين الذَّهَبِيّ لَا أَشك فِي دينه وورعه وتحريه فِيمَا يَقُوله النَّاس وَلكنه غلب عَلَيْهِ مَذْهَب الْإِثْبَات ومنافرة التَّأْوِيل والغفلة عَن التَّنْزِيه حَتَّى أثر ذَلِك فِي طبعه انحرافا شَدِيدا عَن أهل التَّنْزِيه وميلا قَوِيا إِلَى أهل الْإِثْبَات فَإِذا ترْجم وَاحِدًا مِنْهُم يطنب فِي وَصفه بِجَمِيعِ مَا قِيلَ فِيهِ من المحاسن ويبالغ فِي وَصفه ويتغافل عَن غلطاته ويتأول لَهُ مَا أمكن وَإِذا ذكر أحدا من الطّرف الآخر كإمام الْحَرَمَيْنِ وَالْغَزالِيّ وَنَحْوهمَا لَا يُبَالغ فِي وَصفه وَيكثر من قَول من طعن فِيهِ وَيُعِيد ذَلِك ويبديه ويعتقده دينا وَهُوَ لَا يشْعر ويعرض عَن محاسنهم الطافحة فَلَا يستوعبها وَإِذا ظفر لأحد مِنْهُم بغلطة ذكرهَا وَكَذَلِكَ فعله فِي أهل عصرنا إِذا لم يقدر عَلَى أحد مِنْهُم بتصريح يَقُول فِي تَرْجَمته وَالله يصلحه وَنَحْو ذَلِك وَسَببه الْمُخَالفَة فِي العقائد

Asy-Syaikh al-Ḥāfiẓ Šamsuddīn aḏz-Ḏzahabiyy tidak aku syak lagi pada agamanya, kewarakannya dan ketelitiannya pada apa yang orang berkata tentangnya, tetapi beliau terdominan dengan mazhab isbat dan menentang takwil bersama kelalaian terhadap akidah tanzih sehingga terkesan pada tabiatnya pemalingan yang ketara terhadap ahli tanzih dan kecenderungan kuat terhadap ahli isbat. Apabila beliau membiografikan seseorang daripadanya, beliau melebih-lebihkan dalam penyifatannya dengan setiap apa yang dikatakan tentangnya yang berupa kebaikan dan berlebih-lebihan dalam penyifatannya serta bersikap lengah terhadap kerancuannya dan mentakwilkannya apa yang mungkin untuknya. Apabila beliau menyebutkan seseorang dari aliran lain seperti Imām al-Ḥaromayn, al-Ġhozāliyy dan seumpamanya, tidaklah beliau melebih-lebihkan penyifatannya, tetapi memperbanyakkan pendapat yang mencelanya dan mengulangi hal itu, lalu beliau menampakkannya dan beliau menjadikannya sebagai bahagian agama. Beliau tidak mempeduli dan berpaling daripada kebaikan-kebaikan mereka yang melimpah. Tidaklah beliau mengumpulkannya. Apabila beliau memperoleh kerancuan pada salah seorang daripada mereka, beliau menyebutkannya. Demikian perbuatannya terhadap penduduk masa kami. Apabila beliau tidak berkenan terhadap seseorang dengan jelas, beliau berkata dalam biografinya: “Semoga Allah mengelokkannya” dan seumpama itu. Sebabnya adalah penyalahan terhadap pegangan akidahnya. [Ṭobaqōt ašh-Šhāfiʿiyyah al-Kubrō, 2/13].

Setelah itu, beliau berkata :

وَالْحَال فِي حق شَيخنَا الذَّهَبِيّ أَزِيد مِمَّا وصف وَهُوَ شَيخنَا ومعلمنا غير أَن الْحق أَحَق أَن يتبع وَقد وصل من التعصب المفرط إِلَى حد يسخر مِنْهُ وَأَنا أخْشَى عَلَيْهِ يَوْم الْقِيَامَة من غَالب عُلَمَاء الْمُسلمين وأئمتهم الَّذين حملُوا لنا الشَّرِيعَة النَّبَوِيَّة فَإِن غالبهم أشاعرة وَهُوَ إِذا وَقع بأشعري لَا يبقي وَلَا يذر وَالَّذِي أعتقده أَنهم خصماؤه يَوْم الْقِيَامَة عِنْد من لَعَلَّ أَدْنَاهُم عِنْده أوجه مِنْهُ فَالله الْمَسْئُول أَن يُخَفف عَنهُ وَأَن يلهمهم الْعَفو عَنهُ وَأَن يشفعهم فِيهِ

“Keadaan sebenar syeikh kita aḏz-Ḏzahabiyy akan aku tambah daripada yang dia sifatkan. Dia adalah syeikh kita dan guru kita, tetapi kebenaran lebih berhak untuk diikuti. Telah sampai ketaksuban yang melampau sehingga had yang dicela daripadanya. Aku khuatir terhadapnya pada hari kiamat bahawa beliau akan berseteru dengan ulama Muslim dan imam-imam mereka yang membawakan syariat kenabian kepada kita. Sesungguhnya yang dominan di antara mereka adalah golongan al-Ašhʿariyy. Apabila beliau menemukan orang al-Ašhʿariyy, tidak membiarkannya dan tidak mengabaikannya. Orang yang beliau mempercayainya bahawa mereka adalah seteru-seterunya, pada hari kiamat, di sisi orang yang mungkin paling rendah kedudukan di antara mereka di sisinya adalah lebih unggul daripadanya. Allah sahaja yang dipinta untuk meringankan beban mereka dan memberikan kemaafan terhadapnya serta memberi syafaat kepada mereka”. [Ṭobaqōt ašh-Šhāfiʿiyyah al-Kubrō, 2/13-14].

Dari sini, fahamlah kita mengapa ada asasnya golongan al-Ašhʿariyy begitu berjaga-jaga dengannya. Malah, sampai ada yang pergi ke lebih jauh dengan menyuruh untuk menjauhi karya yang lain yang lebih kurang sama dengan hal ini, iaitu al-ʿUluww Li al-ʿAliyy al-Ġhoffār kerana khuatir terjebak dengan fahaman tasybih.

Cuma, saya lihat secara umumnya al-Ašhʿariyy menerimanya dalam kelompok ahli sunnah dan bersama mereka dalam manhaj salaf menurut mereka dalam berinteraksi dengan naṣ yang berkaitan dengan sifat Allah. Malah, al-Ḥāfiẓ aḏz-Ḏzahabiyy juga memasukkan pandangan daripada beberapa ahli ilmu beraliran al-Ašhʿariyy tentang mengisbat sifat al-ʿUluww bagi Allah.

Saya tidak mahu membuat penghakiman apa-apa di sini. Itu terserah kepada pembaca dan penilai. Cuma, saya pesan jangan sampai berlebihan dalam menentangnya meskipun tidak menyetujui atau menyelisihinya. Dia masih imam dalam kepakarannya dan jauh lebih tahqiq daripada kita. Jangan sama-sama menyumbang kepada pemikiran yang ekstrimis.

No comments:

Post a Comment