Persoalan ini pernah saya membawakannya dalam diskusi dengan beberapa kenalan yang ada kemahiran bahasa Arab. Cuma, saya tidak hairan kebiasaan jawapan mereka bahasa Arab jauh lebih sukar berbanding bahasa Inggeris. Namun, yang saya agak hairan adalah apabila ditanya tentang asas-asas tatabahasa Inggeris seperti singular noun, plural noun, singular noun with plural meaning, uncountable noun, mass noun dan bermacam-macam lagi, mereka hanya mampu melompong apabila dengar istilah ini. Jawapan mereka mengapa bahasa Arab lebih sukar daripada bahasa Inggeris, selalu sahaja jawapan yang dikemukakan agak tidak memuaskan hati dari sudut ilmiah.
Sejujurnya, saya sememangnya agak tidak puas hati dengan jawapan semberono sebegini, lebih-lebih lagi hanya sekadar pendapat yang tidak dikaji aspek bahasa yang ingin dibandingkan. Ia seolah-olah sedang membandingkan bahawa objek A lebih berat dari objek B sebelum mengangkat objek B. Bagi saya, ini bukan caranya. Sepatutnya, kita perlu lihat faktor yang menjadikan sesuatu objek itu berat, lalu membuat keputusannya dengan mengangkatnya atau menimbangnya. Begitu juga dengan perbandingan bahasa Arab dan bahasa Inggeris. Sewajarnya, seseorang perlu mempelajari terlebih dahulu bahasa Inggeris, kemudian, cuba aplikasikannya dan semak apa natijahnya.
Elok saya ambil kesempatan ini untuk memberitahu mengapa bahasa Inggeris dianggap jauh lebih mudah berbanding bahasa Arab sehingga orang mudah membuat kesimpulan bahawa bahasa Arab jauh lebih sukar dari bahasa Inggeris.
Pertama, kita sudah biasa dengan bahasa Inggeris sejak dari tadika sampai engkau bekerja. Bahasa Inggeris ini kira bahasa yang engkau hadap setiap hari. Bukannya bahasa Arab langsung tidak pernah menjadi kebiasaan. Bagi yang Muslim, sudah tentu banyak perkataan Arab dilafazkan dalam solat, zikir, pembacaan al-Quran dan hadis serta dalam pembelajaran istilah agama seperti idġhām maʿal ġhunnah, qolqolah, hari tašhrīq, takbiratul ihram dan bermacam-macam lagi istilah. Cuma, cerapan keupayaan untuk difahami pada bahasa Arab berbeza dengan bahasa Inggeris.
Bagaimana bezanya? Katakan setelah seseorang tahu makna perkataan itu dalam bahasa Inggeris, bolehkah dia membuat suatu ayat dalam bahasa Inggeris dengan memasukkan perkataan itu sama ada dalam penulisan atau pertuturan? Sudah tentu. Ia perkara yang mudah. Namun, bahasa Arab? Tahu makna "Qōla" (قَالَ), bukan bermakna seseorang itu boleh membuat ayat semudah sepertimana bahasa Inggeris. Bahasa Inggeris cukup memasukkan perkataan yang seterusnya yang sesuai dengan susunan perkataannya dalam membuat ayat secara independen, lalu ayat itu boleh difahami. Namun, bahasa Arab, jika tidak tahu kaedah tatabahasa, maka dia sukar untuk membuat ayat secara independen yang boleh difahami.
Kedua, kita sebenarnya sudah biasa dengan yang salah. Dengan kata lain, kita baca penulisan atau mendengar pertuturan Inggeris, tetapi tidak faham tatabahasanya atau mengapa betul dari segi penggunaan tatabahasanya. Yang penting bagi kita adalah sedap didengar, tidak rasa janggal dan orang boleh faham, kita tidak begitu prihatin terhadap tatabahasa. Nanti saya tunjuk beberapa contoh yang kita pun susah untuk tentukan yang mana satu betul, mengapa ia betul dan di bawah apa aplikasi hukum tatabahasa. Sebab kita tidak tahu, lalu terus membiasakan apa yang kita rasa betul tanpa mengambil kira sama ada salah atau tidak, inilah sebab kita merasakan bahasa Inggeris itu mudah. Mudah bagi kita sebab kita biasa yang salah atau sebab kita mengabaikan hukum tatabahasanya.
Kalau ditanya saya, mana satu yang lebih sukar, bagi saya -pandangan peribadi- kedua-duanya seperti sama susah dari segi menentukan pengambilkiraan kaedah tatabahasa. Tetapi, dari segi praktikal untuk merealisasikan perkataan itu menepati kaedah tatabahasa, bahasa Arab dilihat lebih mudah. Saya mengambil kira dua faktor ini yang memainkan peranan dalam pembentukan sesuatu ayat mengikut kaedah tatabahasa yang betul :
Pertama : Faktor perubahan lafaz. Oleh sebab bahasa Arab ini banyak bermain
declension,
inflection dan
conjugation yang melibatkan beratus-ratus kaedah, maka untuk selaraskan perubahan lafaz mengikut hukum tatabahasa yang saling terjalin antara satu sma lain memang payah. Mereka yang tidak hafal beratus-ratus kaedah ni, memang payah.
Contohnya, jika subjek menggunakan perkataan tunggal yang maskulin, maka prediket mesti mengikut ketunggalannya dan maskulinnya. Jika ada sifat yang ingin disandangkan sama ada pada subjek atau prediket, maka perkataan yang menjadi sifat itu perlu mengikut ketunggalan dan maskulinnya. Jika pelaku atau kata ganti nama diri itu merujuk kepada lafaz yang sebelumnya, maka ia juga perlu dikekalkan ketunggalan dan maskulinnya.
Sekarang faham bagaimana suatu lafaz bahasa Arab jika ingin diteruskan penyebutanya sama ada berbentuk prediket atau sifat atau perujukan sama ada berbentuk pelaku atau kata ganti nama diri, bentuk lafaz seterusnya akan diambil kira dari bentuk lafaz yang sebelumnya. Ia hampir dengan domino. Satu bentuk lafaz akan memberi kesan kepada bentuk lafaz yang seterusnya.
Bagi yang tidak tahu kaedah tatabahasa, ia akan menjadi rumit. Kemungkinan, apabila subjek itu adalah feminin, maka dikhuatiri predikit akan dimasukkan lafaz yang berbentuk maskulin dan seterusnya. Ini baru sahaja mengambil kira aspek jantina dan bilangan, belum lagi beberapa kaedah yang lain.
Nota : Apa yang saya sebut pada "tunggal" dan "maskulin", ia lebih diambil kira dari segi lafaz, bukan makna bagi lafaz itu. Misalnya, ketiadaan Tāʾ Marbūṭoh di hujung perkataan pada dasarnya ia adalah maskulin. Contoh perkataan adalah "kitāb" (كِتَابٌ) yang bermaksud "buku". Lafaznya yang maskulin, bukan makna bagi lafaz itu adalah maskulin. Dengan kata lain, saya sedang berkata bahawa perkataan "kitāb" itu adalah maskulin disebabkan tiada Tāʾ Marbūṭoh, bukan saya maksudkan bahawa "kitāb" adalah buku kepunyaan lelaki atau khas untuk lelaki. Bezakan baik-baik!
Saya tidak merasakan bahasa Inggeris begitu menyerlah kesukarannya dalam hal ini. Ya, sememangnya dalam kata ganti nama diri dan bilangan perlu diambil kira dari bentuk lafaz yang sebelumnya, cuma ia tidak seluas sepertimana bahasa Arab. Saya tunjuk contoh :
Bahasa Inggeris. Maskulin : {Zayd is an excellent teacher. He loves you}. Feminin: {Fatima is an excellent teacher. She loves you}. Plural : {Zayd, Fatima and Umar are excellent teachers. They love you}.
Bahasa Arab. Maskulin: {زيد مدرس ممتاز. يحبك}, Feminin: {فاطمة مدرسة ممتازة. تحبك}. Jamak: {زيد وفاطمة وعمر هم مدرسون ممتازون. يحبونك}.
Bandingkan kedua-dua bahasa. Lihat perubahan bentukan lafaznya. Harap dapat difahami mengapa bahasa Arab lebih luas dari segi pengambilkiraan melalui bentuk lafaz sebelumnya berbanding bahasa Inggeris.
Kedua : Faktor makna. Maksudnya, pengambilkiraan hukum tatabahasa perlu melihat makna dari perkataan, tidak hanya pada lafaz. Untuk yang ini, bahasa Inggeris sebenarnya agak sukar. Saya tunjukkan contohnya.
(a) imports of European steel
(b) the use of small amounts of nitrogen in making certain steels.
Baiklah. Cuba beritahu yang mana satu betul dan yang mana satu salah. Betul sebab apa dan salah sebab apa?
Ternganga? Tergamam? Itulah respons apabila saya tanyakan orang yang berpendapat "bahasa Arab lebih sukar dari bahasa Inggeris". Sekarang, mereka tidak tahu yang mana satu dan yang mana satu salah, bagaimana mereka boleh kata "bahasa Arab lebih sukar dari bahasa Inggeris" tanpa mengkaji bagaimana tatabahasa bahasa Inggeris?
Ia dianggap mudah sebab orang bantai sahaja letakkan "-s" atau tidak meletakkannya. Dengan kata lain, bahasa Inggeris dianggap mudah sebab orang membelakangkan kaedah tatabahasa. Kemudian, mereka tidak sedar di mana kesilapannya, lalu terbiasa dengan kesilapan. Sebab itulah, ia diambil mudah menjadikan ia dianggap sebagai bahasa yang mudah.
Jawapannya adalah kedua-duanya betul. Namun, betul dari segi bagaimana? Jawapannya adalah mengikut konteks. Ini adalah perkataan mass noun. Untuk hukum mass noun, salah satunya adalah jika jika sedang berbicara tentang keumuman, maka tidak perlu diletakkan "-s" sepertimana (a), tetapi jika ingin kekhususan, maka diletakkan "-s" sepertimana (b).
Saya beri contoh yang lain yang lebih kurang sama :
(a) the rows of willow and cypress which lined the creek
(b) the poplars and willows along the Peshwar Road.
Sekarang, boleh bezakan kenapa (a) tidak diletakkan "-s", tetapi (b) diletakkan "-s"? Ini dalam bab singular noun with plural meaning. Apabila konteks berbicara tentang jumlah pohon atau tumbuhan yang besar yang tumbuh bersama secara umum, maka tidak perlu diletakkan "-s", tetapi jika merujuk kepada angka yang kecil atau merujuk pohon atau tumbuhan secara khusus, selalunya diletakkan "-s".
Apa yang saya tunjukkan ini baru dua. Sebenarnya, banyak lagi kaedah tatabahasa Inggeris yang tersendiri yang berbeza-beza yang kebanyakannya diambil kira melalui makna bagi lafaz atau ayat. Bayangkan satu perkataan itu perlu dilihat sama ada ia adalah collective noun, countable noun, mass noun, plural noun dan lain-lain, barulah boleh aplikasi hukum tatabahasa secara betul. Malah, kadangkala, sukar untuk menentukan batasan dan had untuk menentukan sama ada perkataan itu adalah collective noun atau mass noun sehinggakan ia menjadi bertindan dan saling tertukar. Otak kita ketika ingin berbicara ada masa untuk kategorikan dahulu perkataan itu dan meneliti apa konteksnya? Iklan panadol berkata: "Anda rasa saya ada masa untuk sakit kepala?".
Dalam bahasa Arab, ini tidak menjadi isu begitu besar. Contohnya perkataan "Šhajar" (شجر). Ia bermaksud pohon yang banyak. Kalau dalam bahasa Inggeris, ia akan dimasukkan dalam singular noun with plural meaning. Namun, bahasa Arab, apa perlu peduli sama ada ia singular noun with plural form, countable noun, collective noun atau yang lain? Apa perlu peduli sama ada konteks perbicaraan itu merujuk kepada pohon itu tumbuh bersama secara umum atau angka yang kecil atau merujuk kepada pohon secara tunggal? Cukup lihat bentuk perkataan itu adalah maskulin disebabkan tiada Tāʾ Marbūṭoh dan perkataan ini adalah tunggal, maka lafaz yang seterusnya adalah cukup mengikut bentuk sebelumnya.
Saya tidaklah berkata bahawa tidak wujud pengambilkiraan tatabahasa pada makna atau konteks langsung tidak ada dalam bahasa Arab. Sesiapa yang menelaah perbahasan ḥarf Iḏz (إِذْ) dan ḥarf Ḥattā (حَتَّى) sepertimana dalam kitab Muġhnī al-Labīb karya Ibn Hišhām akan melihat bahawa aspek makna dan konteks ayat pun diambil kira dalam menentukan hukum tatabahasa. Cuma, hal ini tidak begitu signfikan sepertimana yang ada dalam bahasa Inggeris.
Sekarang jelas mengapa merealisasikan perkataan itu menepati kaedah tatabahasa dari segi praktikal. Dalam bahasa Arab, tidak perlu pening kepala untuk kategorikan perkataan itu dalam bahagian apa. Cukup, tengok jantina dan bilangan pada perkataan, lalu aplikaskan sahaja kaedah tatabahasa. Manakala, bahasa Inggeris, kita perlu kategorikan dahulu perkataan atau konteks kerana setiap kategori boleh ada hukum tatabahasa tersendiri, barulah boleh aplikasikan kaedah tatabahasa.
Dari segi hukum-hakam tatabahasa, bahasa Arab lebih banyak berbanding bahasa Inggeris. Namun, sesiapa yang sudah kuasainya, ia tidak menjadi masalah besar untuk menulis dan bertutur dengan bahasa Arab yang betul dari sudut tatabahasa.
Pada bahasa Inggeris pula, hukum-hakam tatabahasa tidak banyak, cuma untuk mengkategorikan perkataan atau meneliti konteks agak rumit. Memerlukan masa dan payah. Sebab itulah ramai yang bantai sahaja atau tahu tetapi letih untuk menggunakan banyak tenaga otak.
Cuma, yang menarik dalam tatabahasa Inggeris dan tatabahasa Arab, banyak topik tatabahasa berkongsi bersama. Sebab itu, kadangkala apabila saya mengajarkan tatabahasa bahasa Arab, saya akan mengaitkan dengan tatabahasa Inggeris kerana wujudnya persamaan. Sebab itulah, sesiapa yang ada pengetahuan tatabahasa Inggeris, ia sebenarnya ada bekalan yang membantu untuk memahami bahasa Arab.
Kemudian, dalam bahasa Arab, untuk mencari makna perkataan yang tidak ada baris kadangkala sangat sukar. Apabila tidak tahu baris, maka tidak tahu sebutan atau fonetiknya dan sudah tentu lagi tidak diketahui maknanya.
Sedangkan, dalam bahasa Inggeris, cukup cari perkataan yang persis dengan perkatan tersebut dalam kamus. Untuk sebutan dalam perkataan bahasa Inggeris atau sistem fonetiknya, ini akan diterangkan kemudian.
Apapun, dalam bahasa Arab, kita perlu mengandaikan beberapa bentuk baris agar dapat dicari maknanya dan ditentukan maknanya sesuai dengan perkataan.
Contohnya perkataan (ألم). Tanpa baris, kita tidak tahu sebutan perkataan ini, apatah lagi maknanya. Ia boleh berbuntyi "Alam" dengan bentuk kata nama yang bermaksud "pedih". Untuk cari perkataan ini dalam kamus, kita perlu pergi ke huruf Alif dengan susunan huruf Alif-Lam-Mim. Ia boleh "Alamma" dengan bentuk kata kerja ṯsulaṯsiyy mazīd yang bermaksud mengerti. Untuk cari perkataan ini dalam kamus, kita perlu pergi ke huruf Lam dengan susunan huruf Lam-Mim-Mim. Boleh jadi ia juga sebenarnya adalah gabungan kata tanya "أ" dan kata nafi "لم".
Dalam masalah carian perkataan, tampak bahasa Arab lebih sukar dari bahasa Inggeris sebab bahasa Arab perlu diandaikan baris bagi sesuatu perkataan sebanyak yang mungkin supaya kita boleh teroka makna bagi perkataan dengan baris yang diandaikan, lalu dipadankan dengan makna dalam sesuatu ayat. Untuk bahasa Inggeris, cukup cari perkataan yang ada ejaan sebegitu, kemudian dapatlah maknanya.
Untuk sistem fonetik, bahasa Arab lebih mudah berbanding bahasa Inggeris. Ini kerana bahasa Inggeris banyak dipinjam dari bahasa-bahasa yang lain. Sebab itulah, templat fonetiknya memiliki lebih banyak daripada bahasa Arab. Kemudian, ia juga mudah dari segi ejaan.
Contohnya, bahasa Arab, apabila disebutkan huruf Tāʾ (ت) dengan baris bawah (kasrah), ia akan berbunyi "Ti" buat selama-lamanya. Tidak akan ada bunyi "Te" dengan bunyi e-taling. Kemudian, apabila masuknya huruf seterusnya atau huruf Tāʾ itu terletak dihujung perkataan, di pertengahan atau di pangkal perkataan, tetap tidak ada akan ada bunyi yang lain seperti "Te" dengan bunyi e-taling. Tidak akan ada pertikaian dari segi fonetik. Sama ada "تلميذ" (Timīḏz) atau "يفتل" (Yaftilu) atau "درست" (Darosti), ia tetap berbunyi "Ti". Tidak akan ada bunyi yang lain.
Berbeza dengan bahasa Inggeris. "Ti" seperti tinder akan berbunyi "ˈtɪ" yang mana sama dengan "Ty" seperti typify ""tɪpɪfʌɪ/. Mengapa typify tidak boleh dieja dengan "tipify" sedangkan fonetiknya adalah sama?
Kemudian, "Ti" seperti tinder akan tidak sama pula fonetiknya dengan "Ti" untuk timbre yang berbunyi "ta". Kemudian, "Ti" seperti tie akan berbeza fonetiknya dengan "Ti" seperti tinder yang mana "tie" akan disebut dengan "tʌɪ".
Kemudian, apabila "Ti" di tengah perkataan seperti petition perlu berbunyi "tɪ", tidak boleh ""ta" seperti timbre. Persoalannya mengapa tidak boleh dieja dengan "petiytion" sedangkan fonetiknya adalah sama?
Banyak pertikaian ini dalam bahasa Inggeris. Apa yang ditunjukkan ini adalah serpihan kecil daripada kebanyakan fonetik yang lain yang memusykilkan. Sedangkan bahasa Arab tidak ada masalah dalam sudut fonetik dan kemusykilan sebegini tidak begitu signifikan.
Kemudian, ada yang berkata bahawa bahasa Arab lebih sukar kerana satu perkataan dalam bahasa Arab boleh memiliki pelbagai makna yang berbeza dan kadangkala ia berlainan dari makna asal mengikut konteks ayat. Saya katakan, ini juga sebenarnya kata-kata orang yang tidak pernah menelusuri kamus bahasa Inggeris, terutamanya kamus ekabahasa. Bahasa Inggeris pun sebenarnya memiliki pelbagai makna yang berbeza dalam satu perkataan dan maknanya akan berubah dengan perubahan konteks ayat. Kalau tidak percaya, cubalah dulu Kamus Dewan Bahasa yang Bahasa Inggeris kepada Bahasa Melayu. Kemudian, nilailah sendiri.
Inilah yang dapat saya bentangkan. Saya simpulkan bahawa bahasa Inggeris sebenarnya lebih sukar daripada bahasa Arab. Ada pendapat? Dipersilakan untuk mengongsikannya.
No comments:
Post a Comment