Tuesday, 1 December 2020

Anti-Vax Buat Apa?

Entahlah.

Anti-vax sembang macam mana pun seakan-akan merekalah jaguh perubatan dan paling sedar terhadap sistem penipuan dunia yang mengelabui manusia.

Bila ada orang terkena polio atau covid-19 (yang mereka kata itu cuma flu sahaja), apa yang mereka boleh buat untuk pesakit ini?

Ada mereka bagi penempatan untuk mengumpulkan pesakit ini? Ada mereka hasilkan ubat sendiri untuk merawat pesakit? Sekarang ini apa progres mereka untuk melawan Covid-19? Baiklah. Kalau ia sekadar flu biasa, apa rawatan yang mereka boleh beri? Adakah dengan sekadar meneruskan cerita tentang Illuminati? Apa yang mereka boleh lakukan untuk melawan polio?

Orang dah sesak nafas. Mati sangat dekat seinci demi seinci.

Masa ini pesakit tidak mahu dengar sembang konspirasi Big Pharma, abang Dajjal, tentera Freemason dan lain-lain.

Dalam kepala pesakit cuma fikir kau ada ubat atau tidak? Nafas sudah semakin tenat.

Apa yang anti-vax buat masa ini? Tengok sahaja menanti kematian pesakit menjemput atau penyakit semakin melarat? 

Akhirnya fahamlah mengapa pesakit tetap ke hospital Big Pharma kelolaan Yahudi yang dia benci.
Sebab untuk terus hidup. Peduli apa Yahudi atau tidak. Asalkan boleh beri kehidupan dan menyembuhkan penyakit. Mereka ada tempat untuk bernaung dan memperoleh penawar bagi penyakit mereka.

Anti-vax? Di mana tempat untuk komuniti anti-vax bernaung bila terkena polio? Di mana makmal untuk mereka bina ubat yang tersendiri untuk merawat penyakit?

Mahu jadi alternatif, tetapi tidak mampu menawarkan apa-apa. Sekadar teori konspirasi dan ulang yang sama.

Orang tidak ada rasa kebolehpercayaan dan kebolehbergantungan terhadap mereka. 

Cerita mereka tampak menarik dan teori mereka mungkin hebat. Tetapi, sekarang anak ini sudah terkena polio atau covid-19? Apa yang boleh mereka bantu? Apa yang mereka boleh tawarkan supaya orang ingin bernaung dan rasa selamat di bawah pimpinan mereka?




No comments:

Post a Comment