Wednesday, 25 November 2020

Apa Yang Terkandung Pada Buku "Siapa Yang Salah" Karya Syed Hussein Al-Attas

 Ini dapatan aku apabila membaca buku ini. Ini bukanlah ulasan buku, tetapi perkongsian apa yang terkandung secara signifikan di dalamnya.
Buku ini isi utamanya mengkritik buku Revolusi Mental (RM), tetapi dalam masa yang sama beliau mengkritik...


Ini dapatan aku apabila membaca buku ini. Ini bukanlah ulasan buku, tetapi perkongsian apa yang terkandung secara signifikan di dalamnya.

Buku ini isi utamanya mengkritik buku Revolusi Mental (RM), tetapi dalam masa yang sama beliau mengkritik Mahathir, terutamanya pada bahagian pendahuluan. Aku tidak tahu apa jadi buku RM sekarang ini, tetapi kritikannya terhadap Mahathir mungkin masih nampak relevan untuk hari ini. Kau orang pun tahu lah kan apa yang sama pada Mahathir dari dulu sampai sekarang pada persepektif masyarakat Melayu.

Fokus kritikan buku ini adalah doktrinisasi tersembunyi dan halus pada RM untuk merendahkan bangsa Melayu. Mungkin niat RM adalah baik untuk mengenalpasti punca masalah, lalu dibentangkan penyelesaian untuk menuju peribadi dan pembentukan bangsa yang lebih baik (well, tak nak ulas lebih-lebih sebab aku pun tak baca buku tu), tetapi sebenarnya, ia satu cara yang tidak baik sebab ia bukan sahaja memberi imej yang salah terhadap bangsa Melayu, tetapi ia akan menjadi punca kepada keruntuhan kaum Melayu dalam membina kegemilangan dan membina maruah.

Aku mula-mula tahu tentang orang yang suka merendah-rendahkan kaumnya sendiri dengan bermacam-macam penghinaan adalah orang yang berminda kapitalis melalui ucapan Isham Jalil tentang Mahathir yang suka berkata Melayu malas dan macam-macam. Rupa-rupanya, penulis buku ini sudah lama cakap benda yang sama. Dan penulis buku ini menambahkan mereka ini juga orang yang terpengaruh dengan perspektif penjajah terhadap sesuatu bangsa. Syed Hussain Alattas kata buku RM ini memang meneruskan legasi minda penjajah, bahkan lebih teruk lagi. Yang inilah penulis dok tibai habis-habisan pada buku ini. Sampai ada satu masa, dia cakap cara untuk menggambarkan peribadi bangsa Melayu telah dilukis berdasarkan cara pemikiran yang sesat!

Bagi aku, buku ini amat menarik dibaca kalau kita belajar praktikaluntuk melakukan kritikan. Antara bentuk kritikan yang beliau aplikasikan dalam buku ini adalah :

(a) Meluruskan kesalahan pendefinisian. Cuba tengok kritikannya pada definisi “Peribadi Nasional” yang dihuraikan oleh RM, nanti pembaca akan mengetahui macam mana dengan salahnya pendefinisian akan menatijahkan gambaran yang salah terhadap sesuatu bangsa. Terus terang, aku mula-mula baca petikan RM itu pun boleh terpedaya. Kalau Syed tidak kritik, kita pun tidak tahu di mana silapnya.

(b) Membantah kesimpulan kurang masak. Yang ini memang banyak juga dia sentuh. Aku tunjuk contoh dua contoh. 

Penulis RM menyatakan bahawa perkataan “disiplin” tidak ada dalam bahasa Melayu, jadi ini menunjukkan sifat ini tidak ada dalam masyarakat Melayu dahulu. Syed pun membantah bahawa ini adalah suatu penyelewengan. Syed berkata bahawa sifat disiplin sangat tertanam dalam masyarakat Melayu dahulu. Perkataan patuh bermakna disiplin. Pepatah “Bagaimana bunyi gendang, demikianlah tarinya” juga menunjukkan disiplin. Jika tiada disiplin, tidak mungkin lahirnya kerajaan Melaka, Johor dan Sri Wijaya. Tidak mungkin Melayu melawan Portugis hingga satu kurun. Tidak mungkin Kerajaan Melaka pada akhir kurun ke-15 menjadi pusat perdagangan terbesar di Asia Tenggara. Beraninya RM mengatakan masyarakat Melayu dahulu tidak mengenal disiplin merpakan suatu keberanian yang hanya timbul daripada keahilan yang luar biasa. Orang lanun pun mempunyai disiplin. Demikian bantahan beliau.

Kedua, dalam buku RM, katanya peribahasa mencerminkan peribadi sesuatu bangsa. Bagi RM, jika peribahasa banyak berkisarkan kerendahan martabat perempuan atau tentang pertanian, maka jelaslah masyarakat itu kuat perbezaan kelasnya, rendah martabat perempuannya atau masyarakat itu ialah masyarakat petani. Menurut RM lagi, pepatah, bidalan atau perumpaan yang terdapat dalam masyarakat itu, kita boleh mengetahui kelebihan dan kelemahan serta tingkatan kemajuan intelektual dan material yang tercapai. Dengan peribahasa yang berupa galakan dan nasihat membolehkan kita meninjau sikap serta falsafah hidup masyarakat.

Tapi, Syed kata “Not so fast, bro!” (Ungkapan aku je ni). Beliau kata dalam bab pepatah ini, sebelum untuk menilai peribadi sesuatu bangsa, kita perlu tahu ada tiga jenis pepatah. Pepatah anjuran, pepatah teguran dan pepatah gambaran. Contoh pepatah “Anjing menyalak pantat gajah”. Pepatah ini menunjukkan kemarahanyang luar biasa, tetapi sia-sia sahaja. Apakah ini sikap menunjukkan peribadi masyarakat Melayu? Tidak! Pepatah ini hanya menunjukkan orang Melayu memperhatikan soal-soal marah semacam ini. 

Nak dapat pengetahuan lebih lanjut, mesti baca buku ini. Agak panjang juga pembentangannya.

(c) Mendedahkan analisis yang tidak menyentuh akar permasalahannya. Yang ini pun antara yang dibahas panjang lebar oleh penulis dalam mengenalpasti masalah yang menghalang kemajuan masyarakat Melayu. Bagi penulis, punca masalah kemunduran dan keterbelakangan masyarakat Melayu adalah disebabkan masalah kepimpinan. Masyarakat akan kekal ditakuk seperti itu jika pemimpin tidak berjuang dan menggiatkan usaha untuk perubahan. Sebab itu, beliau agak marah kenapa asyik salahkan masyarakat Melayu secara umum, sedangkan masalah sebenarnya adalah pemimpinnya. Beliau juga marah penulis RM tidak habis-habis memperpanjang cemuhannya terhadap Melayu, tetapi senyap dalam isu yang ada pada pemimpin. Beliau lihat penulis RM tidak teliti dalam melihat akar masalah yang sebenarnya.

(d) Membongkar kata-kata burung kakak tua. Ini sangat menarik. Sebab ada kata-kata nampak macam ok dan tidak ada masalah, tetapi sebenarnya ia adalah kata-kata kosong yang tidak ada makna apa-apa. Ia adalah ungkapan orang yang main lepas cakap, tetapi tidak tahu apa makna di sebaliknya. Contohnya, buku RM menyarankan agar pelajar perlu meluangkan masa 10 - 12 jam sehari untuk belajar. 

Nampak macam saranan bagus dan boleh diterima. Tetapi, nak tahu di mana Syed kata ini adalah kata-kata burung kakak tua? Kalau kita ambil 10 jam sehari untuk belajar sebagai contoh. Tinggal 14 jam. Tidur bagi mereka yang mud, katakan lapan jam. Tinggal enam jam. Mandi dua kali sehari, buang air besar, buang air kecil dua jam. Tinggal empat jam. Makan tiga kali, dua jam sehari. Tinggal dua jam. Dalam dua jam ini mahasiswa mesti berehat, main olahraga, menggunakan masa jalan dari satu tempat kuliah ke lainnya, pergi balik ke perpustakaan, pergi balik asrama, ada yang ke tempat tinggal. Pendek kata menggunakan masa untuk perbuatan-perbuatan sekitar belajar. Dua jam ini tidak cukup. Untuk berbual pun sudah tidak ada masa! Inilah cadangan hidup mahasiswa yang dianjurkan oleh RM!

Apakah lagi mahasiswa yang belajar dua belas jam sehari, tidur enam jam. Untuk buang air pun mereka mengantuk. Anjuran supaya belajar kuat-kuat memang baik, tetapi bila mencadangkan masa belajar, gunakanlah akal. Sepuluh atau 12 jam sehari melampaui batas. Tidak ada kampus dalam dunia yang mahasiswanya belajar 10 atau 12 jam sehari. Yang belajar lapan jam sehari sudah luar biasa, yakni 56 jam seminggu Mereka ini tidak berolahraga dan tidak cmpur manusia lain. Lukisan hidup mahasiswa belajar 10 jam sehari adalah khayal semata-mata. Itulah penjelasan beliau.

Kemudian, Syed menyuarakan sikap negatif yang ada dalam penulisan buku RM. Antaranya ialah :

(a) Tidak merujuk atau memetik penulisan akademik tempatan atau tokoh sarjana ulung yang telah terdahulu membincangkan tentangnya. 

Syed agak berang mereka yang menulis buku ini langsung tidak mengambil peduli dan perhatian tentang penulisan ahli akademik tempatan sebagai panduan dalam penulisan. Seolah-olah penulisan mereka hanya berasaskan pemikiran sendiri. Segala hasil usaha, terutamanya yang tempatan, termasuklah diirnya sendiri seolah-olah tidak dihargai dan dipinggirkan. Padahal, beliau telah membahaskan isu tersebut jauh lebih ilmiah dan lebih terdahulu sebelum penulisan RM lagi. Syed persoalkan sikap ini dengan berkata: “Adakah ini merupakan contoh kemajuan ilmiah, contoh persaudaraan umat, contoh sifat rasional, contoh tidak berpuak?”. Syed berkata lagi :

“Kita tidak keberatan menggunakan penulis-penulis Barat, tetapi pilihlah yang lebih tepat, pada tempatnya bagi beberapa bahagian huraian masalah luar dari masyarakat Melayu. Janganlah sama sekali mengetepikan pendapat sarjana-sarjana Melayu! Bukankah ini sifat rendah diri, menganggap orang Barat lebih pandai, penjajahan fikiran atau boleh jadi sikap iri hati yang telah ditempelkan pada peribadi Melayu amnya? Adakah pendapat sarjana Melayu ini demikian rendah mutunya, cakap kosong, bual kedai kopi, hingga tidak wajar disebut namanya? Adakah nama mereka itu pantang disebut, macam harimau pantang disebut namanya oleh mereka yang berjalan dalam hutan? Kata-kata yang molek menghiasai Revolusi Mental tidak didukung oleh amal. Lain cita lain soal, lain kata lain amal. 

Sikap inilah yang patut diubah. Yang mengaku hendak mengubah sika masyarakat, mengadakan "Revolusi Mental”, merekalah yang perlu mengubah sikap; sikap merendahkan bangs sendiri termasuk ajarannya! Yang menganjurkan membasmi sikap iri hati, merekalah yang patut membasmi tanda-tanda iri hati. Yang menganjurkan membasmi sikap malas, merekalah yang mesti membasmi malasnya; membaca tulisan-tulisan sarjana Melayu. Yang menganjurkan membanteras kejahilan, merekalah yang harus melenyapkan kejahilan tentang pendapat sarjana dan ahli fikir Melayu. Yang menganjurkan mencari kebenaran, merekalah yang harus mempertimbangkan pendapat orang luar dari puak mereka. Yang menganjurkan supaya masyarakat berfikir kritis, merekalah yang perlu berfikir kritis tentang pengaruh-pengaruh pemikiran kolonial tentang peribadi melayu, tentang dasar-dasar ilmiah, tentang cara-cara menggunakan peribahasa. Yang memerlukan “revolusi mental” ialah penulis-penulis Revolusi mental sendiri!“

Bayangkan, salah seorang penulis buku RM ini adalah anak muridnya. Bayangkan kalau tok guru ungkit pasal benda ni sebab anak muridnya langsung tak ambil faedah daripada gurunya. Fuhh. Malu weh yang jadi anak murid dia!

Beliau juga mempersoal tentang banyak mengambil inspirasi daripada kolonial, tetapi tidak mengambil inspirasi dan menjunjung wira-wira akademik tempatan atau serumpun dalam membuat penulisan buku tersebut sehingga menyebabkan pengimejan yang buruk terhadap masyarakat Melayu. Contohnya, konsepsi tentang sifat malas pada Melayu. Ini adalah ambilan daripada penjajah. Menurut Syed, kalau Melayu malas, sudah lama mereka lenyap dari bumi. Sebetulnya orang Melayu tidak malas. Hanya usahanya membawa pendapatan yang lebih kecil daripada masyarakat lain umumnya. Pegawai-pegawai kerajaan Melayu, soldadu Melayu, polis Melayu, drebar Melayu, peon Melayu, buruh Melayu, peladang Melayu, nelayan Melayu, murid-murid Melayu, mahasiswa-mahasiswa Melayu, kebayakann mereka berusaha dan tidak malas. Menurut beliau, asal usul Melayu dianggap malas adalah pada kurun ke-19, orang Melayu enggan bekerja di ladang-ladang orang putih dan di lombong-lombong timah. Mereka tidak dapat diperalatkan oleh penjajah kapitalis. Demikian halnya dengan orang Jawa yang juga dituduh malas oleh pihak penjajah Belanda.

(b) Sikap terbalik daripada apa yang dicanangkan. Syed juga mengkritik penulis yang cakap, tetapi tidak buat. Beliau berkata :

"Mereka mengkritik sifat peribadi Melayu kononnya tidak teus terang. Mereka sendiri tidak berterus terang. Penulis-penulis empat Bahagian dan 29 bab buku tidak disebut namanya masing-masing hingga kita tidak dapat tahu siapa yang mengarang satu daripadanya. Hanya pengarang mukadimah dan penutup diberi tahu namanya. Ini kembali kepada kebiasaan Melayu lama, penulis bersembunyi. Mereka menyatakan unsur individualisme lebih mustahak bagi kemajuan daripada unsur kolektif, tetapi keluar mereka bergotong-royong walaupun ke dalam sumbangan masing-masing. Kita semua mati, tetapi kubur sendiri-sendiri. Sebagaimana mestinya kubur pun perlu pakai nama. Mereka menganjurkan masyarakat Melayu bekerja teliti dan rapi (efficient), tetapi cara mereka mengarang buku cuai dan tidak teliti. Kata-kata daripada berbagai orang dan penulis dipetik, tetapi sumbernya tidak disebut. Ini adalah satu perbuatan yang cuai dan malas, melanggar cara-cara ilmiah yang mereka anjurkan. Contoh ilmu Hadis dalam Islam yang memberatkan sumber-sumber tidak diperhatikan. Orang Islamlah yang mula-mula mengangkat ke taraf ilmu; kebiasaan menyatakan sumber pendapat orang lain”.

Demikianlah ceritanya. Sememangnya menarik dan berbaloi untuk ditelaah. 

https://www.facebook.com/photo.php?fbid=3146052768778628&set=pb.100001218067654.-2207520000..&type=3&theater

No comments:

Post a Comment