Wednesday, 25 November 2020

Apa Yang Terkandung Dalam Buku "20 Persoalan Asas Tentang Hadis"?

 Pengarang buku ini, ustaz Adlan Abdul Aziz telah pun meninggalkan dunia ini buat selama-lamanya pada pagi tadi.
Beliau adalah ustaz yang faqih dan mahir dalam ilmu hadis. Saya mula-mula belajar dengan beliau semasa beliau menjadi penyampai kuliah...


Pengarang buku ini, ustaz Adlan Abdul Aziz telah pun meninggalkan dunia ini buat selama-lamanya pada pagi tadi. 

Beliau adalah ustaz yang faqih dan mahir dalam ilmu hadis. Saya mula-mula belajar dengan beliau semasa beliau menjadi penyampai kuliah maghrib di masjid tempat saya. Mungkin kira-kira 8 tahun yang lalu. Beliau mengajar Sunan Abu Daud, kemudian Sunan Abu Daud + Sunan at-Tirmizi untuk bab doa. Beberapa lama kemudian, kuliah itu tidak dapat diteruskan. Masa itu, belum ada lagi Tirmidhi Centre yang beliau asaskan.

Kemudian, saya ikuti beberapa kuliah beliau di Youtube dan saya ambil manfaat perkongsiannya di Facebook beliau. Ya, ustaz ini membuat kemunculan dan menonjol beberapa tahun sebelum Dr. Rozaimi dan Dr. Kamilin lagi. Cuma, sampai hari ini, beliau -maafkan saya jika ini menyinggung perasaan- underrated ustaz yang mahir dalam ilmu hadis. Rata-ratanya otai lama sahaja yang kenal beliau ini.

Kalau beliau buat daurah atau kelas untuk ilmu hadis, saya sama sekali berusaha untuk hadir walaupun jauh. Saya memang cerewet untuk hadir kuliah atau daurah walaupun dekat sebab saya sudah muak dengan agamawan murahan dan tidak ada entusias untuk mengembangkan diri. Tetapi kalau ustaz yang berkualiti, saya tidak akan lepaskan peluang biarpun jauh. Beliau antara salah satu orangnya. Kalau bersama dengan beliau, pasti akan mendapat manfaat yang banyak dan ilmu yang segar dan menyeronokkan. Boleh diyakini bahawa beliau memang antara yang berkeahlian dalam ilmu hadis.

Antara buku beliau yang saya baca adalah buku ini. Buku ini antara yang terawal saya telaah untuk memahami ilmu hadis. Sebagai tribut dan penghargaan kepada beliau yang menyumbangkan bakti dan menaburkan manfaat kepada saya, izinkan saya perkenalkan karya beliau.

Buku ini sememangnya bagus untuk mereka yang tersangat kurang dalam pengetahuan asas dunia ilmu hadis. Buku ini memperkenalkan maksud “matan” dan “sanad”, pembahagian "hadis sahih” dan “hadis dhaif”, pengenalan buku-buku hadis, pengenalan kepada ilmuan hadis masa kini, prospek pengkajian ilmu hadis dan sikap kita dengan hadis yang tidak sahih. Buku ini ringkas dan tidak memayahkan pembaca. Mesra untuk para pemula.

Semoga buku ini menjadi saham yang melimpah ruah untuk beliau di sana. Semoga Allah ampunkan dosanya dan rahmati rohnya. 

https://www.facebook.com/photo.php?fbid=3161924810524757&set=pb.100001218067654.-2207520000..&type=3&theater

No comments:

Post a Comment