Saturday, 28 November 2020

Al-Imām as-Suyūṭiyy : Satu-Satunya Orang Dalam Sejarah Islam Yang Mengangkat Dirinya Sebagai Mujtahid

Dalam sejarah Islam, al-Imām as-Suyūṭiyy satu-satunya orang yang mengangkat dirinya sendiri sebagai mujtahid. 

Selalunya jika ingin tahu seseorang itu mujtahid ataupun tidak, ia melalui perakuan daripada ahli ilmu yang lain. Bukan angkat diri.

Namun, al-Imām as-Suyūṭiyy buat kelainan yang tidak pernah dibuat dalam sejarah. Beliau terus menyatakan bahawa dirinya adalah mujtahid tanpa didahului pengiktirafan dari ahli ilmu sezamannya. Katanya :

وقد كملت عندي الآن آلات الاجتهاد بحمد الله تعالى؛ أقول ذلك تحدثًا بنعمة الله تعالى لا فخرًا؛ وأي شيء في الدنيا حتى يطلب تحصيلها بالفخر، وقد أزف الرحيل، وبدا الشيب، وذهب أطيب العمر! ولو شئت أن أكتب في كل مسألة مصنفًا بأقوالها وأدلتها النقلية والقياسية، ومداركها ونقوضها وأجوبتها، والموازنة بين اختلاف المذاهب فيها لقدرت على ذلك من فضل الله، لا بحولي ولا بقوتي، فلا حول ولا قوة إلا بالله، ما شاء الله، لا قوة إلا بالله.

Telah sempurna pada sisiku sekarang alat-alat ijtihad dengan segala pujian kepada Allah Taʿālā. Aku berkata sedemikian kerana menceritakan nikmat Allah, bukan membongkak. Sesuatu yang manakah di dunia ini sehingga boleh dituntut perolehannya dengan bongkak? Namun, semakin cepat waktu keberangkatan, telah tumbuh uban dan telah berlalu sesedap-sedap umur.

Kalau aku mahu untuk menulis karya pada setiap permasalahan dengan pendapat-pendapatnya, dalil-dalilnya yang naqliyy dan qiyāsiyy, cerapan-cerapannya, pertentangannya dan jawapan-jawapannya, pertimbangan antara perselisihan mazhab, pasti aku mampu terhadap itu dengan kelebihan Allah. Bukan dengan upayaku dan bukan dengan kekuatanku. Tiada upaya dan kekuatan melainkan beserta Allah dalam keaadaan apa yang Allah kehendaki. Tiada kekuatan melainkan beserta Allah. [Ḥusn al-Muḥāḍoroh Fī Tārikẖ Miṣr Wa al-Qōhiroh, jilid 1, m/s 339].

Namun, sealim-alim al-Imām as-Suyūṭiyy, bukan semua menyambut baik perakuan dirinya. Ada juga yang menyindir, mengecam dan mencela. Katanya :

شنع مشنع على دَعْوَى الِاجْتِهَاد بِأَنِّي أُرِيد أَن أعمل مذهبا خَامِسًا وَرُبمَا زادوا أَكثر من ذَلِك وَمثل هَذَا التشنيع إِنَّمَا يمشي على عقول الْعَوام وَمن جرى مجراهم

"Pencemuh mencemuh ke atas seruan ijtihad bahawa aku berkemahuan untuk mendirikan mazhab kelima. Kadangkala, mereka menambah cemuhan yang lebih banyak daripada itu. Cemuhan seperti ini sebenarnya berlegar pada akal orang awam dan orang yang sama pemikirannya". [Taqrīr al-Istinād Fī Tafsīr al-Ijtihād, m/s 69].

Rupanya, tuduhan seseorang ingin mendirikan mazhab kelima sudah ada pada zaman beliau. Rasanya kalau kita hidup di zamannya atau jika beliau masih hidup atau orang yang hidup pada zaman ini, kita juga mungkin termasuk orang yang mencemuh dan mengejeknya.

Bayangkan pada zaman itu seperti tidak ada beza zaman sekarang, seolah-olah mujtahid tidak ada dan pintu ijtihad sudah tertutup serta ia mustahil dicapai. "Mengangkat diri" sebagai mujtahid sememangnya akan mencetuskan reaksi geli-geliman daripada orang yang tidak mengerti.

Punyalah al-Imām as-Suyūṭiyy geram dengan orang yang berfahaman seperti ini sehingga beliau karang dua kitab khas untuk menjelaskan bahawa mujtahid masih wujud, pintu ijtihad masih terbuka dan jalan-jalan ijtihad masih boleh dicapai.

Yang pertama adalah Taqrīr al-Istinād Fī Tafsīr al-Ijtihād dan yang kedua adalah Ar-Rodd ʿAlā Man Akẖlada Fī al-Arḍ Wa Jahila Anna al-Ijtihād Fī Kulli ʿAṣr Farḍ (الرد على من أخلد في الأرض وجهل أن الاجتهاد في كل عصر فرض), maksudnya "Sanggahan Terhadap Mereka Yang Hidup Lama Di Bumi Dalam Keadaan Jahil Bahawa Ijtihad Dalam Setiap Masa Adalah Fardu".

Kedua-dua kitab ingin memfokuskan bahawa ijtihad adalah fardu kifayah yang kalau tiada mujtahid dalam kelompok masyarakat mereka, maka kesemua mereka menanggung dosa. Maknanya, perlu ada mujtahid dari kelompok masyarakat. Kemudian, beliau membawakan pendapat ahli ilmu dari pelbagai mazhab dan zaman untuk menyatakan bahawa mustahil untuk suatu zaman yang ketiadaan mujtahid. Perbahasan tentang hal ini ada dalam kedua-dua kitab ini.

Cuma, selepas itu berbeza pula haluan kitabnya. Kalau kitab Taqrīr al-Istinād Fī Tafsīr al-Ijtihād, ia memfokuskan kepada kemudahan jalan ijtihad dengan membahaskan syarat-syarat seseorang itu dikira mujtahid. Kalau sesiapa yang terkial-kial jalan untuk menuju kepada mujtahid, boleh baca kitab ini. Di sini, ada paparan ilmu yang perlu dikuasai bagi seorang mujtahid.

Kalau kitab Ar-Rodd ʿAlā Man Akẖlada Fī al-Arḍ Wa Jahila Anna al-Ijtihād Fī Kulli ʿAṣr Farḍ, bagi saya ia memang seronok dan puas dibaca. Sebab beliau menukilkan pendapat ahli ilmu yang mampu mencecah berpuluh-puluh nukilan untuk setiap bab. Ini menunjukkan bahawa beliau mempunyai pembacaan yang meluas dan bersandar kepada pendapat kebanyakan ahli ilmu. Kalau ragu juga apa yang ditegaskan oleh beliau, susah mahu katakan lebih lagi.

Kitab ini lebih kepada seruan untuk menggalakan kepada jalan ijtihad dan mencela taklid. Eh? Macam kenal slogan ini. Dari siapa eh? Tetapi, itulah yang terkandung dalam kitab ini dalam bab tiga dan bab empat.

Namun, sepertimana biasa. Seteru-seteru beliau memang mahu kekal dalam sentimen sama bahawa mujtahid sudah pupus zaman ini dan pintu ijtihad telah tertutup. Bukan semua akan terima penerangannya walaupun dinukil pelbagai pandangan daripada ahli ilmu dari dahulu hingga sekarang dari pelbagai aliran.

Akan tetapi, setelah 500 tahun berlalu setelah kewafatannya, karya-karya peninggalannya adalah bukti yang kukuh lagi hebat terhadap kewibawaan ilmunya. Karyanya dalam pelbagai bidang ilmu yang menjadi rujukan membuktikan bahawa beliau bukan bermain-main dalam mendakwa, tetapi berdiri di atas ilmu.

Kita sekarang tidak celupar mulut untuk memandang sinis terhadap beliau yang mengaku dirinya adalah mujtahid setelah memerhati karya-karya agung beliau.

Pun begitu, bukanlah penulisan ini ingin menggalakkan sesiapa untuk mengaku mujtahid, lebih-lebih lagi kalau tiada penguasaan ilmu alat yang diperlukan. Yang ingin disampaikan dalam penulisan ini adalah :

a) Katakan kalau selepas ini ada orang mengaku dirinya adalah mujtahid, perkara pertama adalah bukan mempersenda dan mengejek. Lihat dulu kemampuan ilmunya. Bersikap objektif dan kekalkan kematangan ilmiah. Bukan seperti pertelingkahan budak-budak bodoh.

b) Memperkenalkan pendirian ahli ilmu yang terbilang bahawa mujtahid sememangnya ada setiap zaman dan kalau tiada, fardu kifayah untuk kelompok masyarakat untuk melahirkan seorang. Kalaupun tidak dinamakan "mujtahid" atau tidak digelar sebagai "mujtahid, asalkan matlamatnya tercapai.

Penulisan akan datang: Tidak mengapakah "mengangkat diri" sebegini? Tidakkah ini adalah riyak dan kesombongan? Adakah al-Imām as-Suyūṭiyy tidak tahu tentang hal ini dan apa pendiriannya?

Nantikan! InsyaAllah. Jangan ke mana-mana! Teruskan bersama saya, Marzuka Martillo.


No comments:

Post a Comment