Sunday, 29 November 2020

Ada Unsur-Unsur Syaitan Dalam Muzik Rock - Najib


Kuala Lumpur: Kementerian Kebudayaan Belia Dan Sukan (KKBS) menegaskan pengharaman konsert rock 'heavymetal' antara lain kerana mempercayai hiburan jenis itu membawa kepada persembahan berunsur syaitan.

Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan dalam satu persidangan akhbar di pejabatnya di Arkib Negara 9 September lalu, muzik 'heavymetal' akan menukarkan penonton-penonton terdiri daripada muda-mudi menjadi manusia yang tiada kewarasan.

"Persembahan hiburan itu membawa unsur-unsur syaitan. Pertunjukan itu turut membuat remaja menjadi anti-sosial", tegas menteri KKBS itu.

"Di negara luar, konsert rock 'heavymetal' ini telah dipersembahkan dengan unsur-unsur yang sangat buruk dengan mengguriskan tubuh badan mereka supaya keluar darah untuk menonjolkan keghairahan", jelasnya.

Datuk Seri Najib juga menyatakan bimbangnya terhadap muzik 'heavyrock' sekiranya berleluasa kerana ia juga akan meruntuhkan nilai agama, bangsa dan negara.

Katanya lagu-lagu yang dimainkan oleh hiburan jenis ini ialah variasi, improvisasi dan augmentasi daripada tema melodi yang senang. Tetapi melahirnya bunyi yang gamat sekali dan adakalanya melahirkan suara yang gemalai.

"Persembahan itu akan membawa muda-mudi ke alam khayalan terutama mereka yang sedang melangkah alam remaja dan meneroka untuk pengalaman seks".

"Kegamatan bunyi muzik itu akan turut membantu muda-mudi meluputkan rasa segan atau malu untuk melakukan luar daripada resam dan peradaban timur seterusnya juga kepada dadah", jelasnya lagi.

WATAN merupakan media pertama menonjolkan konsert 'Battle Of The Band' diharamkan kerana terdapat artis dari lima kumpulan yang terlibat dalam persembahan itu (Ella & The Boys, Whitesteel, Lefthanded, SYI dan Rahim Maarof) bersikap kurang sopan pada keluaran 19-22 Ogos lalu.

Dalam konsert anjuran Box Office (M) Sdm Bhd itu, zip seluar penyanyi Rahim Maarof telah terbuka, penyanyi wanita memakai seluar pendek di samping beberapa peserta lagi beraksi mendedahkan 'dada yang tidak berbulu' itu.

Menurut Datuk Seri Najib, pihak KKBS tetap memadangkan serius terhadap artis-artis itu kerana tidak mahu budaya sedia ada dicemari dengan sifat-sifat 'haiwaniah'.

"Kerana itu semua jenis persembahan muzik rock berat diharamkan. Sebuah jawatankuasa dalam negeri yang melibatkan jabatan polis, kerajaan tempatan akan diminta bekerjasama menyelaraskan dasar mengenai kebenaran dan kelulusan persembahan".

"Kami juga akan meminta jawatankuasa itu merujuk kepada KKBS di dalam kes-kes permohonan yang menimbulkan keraguan atau percaya ia boleh membawa kesan-kesan negatif", ujarnya lagi.

No comments:

Post a Comment